Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Menteri perumahan hipokrit, patut letak jawatan

Dalam satu laporan media, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming menyatakan bahawa cadangan pilihan raya kerajaan tempatan bukan keutamaan beliau selaku Menteri yang bertanggungjawab.

Kenyataan beliau ini jelas suatu pembohongan politik kerana agenda untuk mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan ini termaktub dalam buku perlembagaan parti DAP untuk dilaksanakan.

Jika merujuk kenyataan menteri bahawa cadangan pilihan raya kerajaan tempatan ini bukan lagi keutamaan, bermakna beliau membelakangi agenda partinya sendiri. Ini tindakan yang tak bertanggungjawab kerana pemimpin DAP sendiri tidak melaksanakan agenda parti mereka.

Atas kenyataan yang terang dan nyata ini, wajar Nga meletakkan jawatan sebagai menteri kerana beliau jelas tidak mampu melaksanakan agenda partinya sendiri malah cuba berbohong kepada rakyat dengan mengatakan pilihan raya kerajaan tempatan bukan keutamaannya, sedangkan agenda itu tertera dalam buku perlembagaan partinya sendiri.

Dan, jika agenda itu memang bukan lagi keutamaan, maka parti DAP harus menggugurkan agenda tersebut dari matlamat dan dasar parti di dalam perlembagaannya kerana ia sudah tidak relevan lagi.

Apa yang berlaku ketika ini menunjukkan bahawa DAP bukanlah sebuah parti yang konsisten dengan matlamat perjuangannya sendiri. Parti DAP bukan lagi sebuah parti yang walk the talk.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat untuk tidak lagi meletakkan kepercayaan dan harapan kepada pemimpin dan parti yang penuh dengan hipokrasi dan tidak lagi mematuhi agendanya sendiri.


MAHDZIR IBRAHIM ialah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air (GTA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.