Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Felda perlukan reformasi menyeluruh

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) difahamkan, pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak 80 peratus (RM8.3 bilion) yang diumumkan kerajaan pada tahun 2021 adalah kekal. Ini bermakna, kutipan baki hutang 20 peratus berjalan seperti biasa mengikut terma dan perjanjian yang dipersetujui peneroka atau waris (pentadbir).

Kekeliruan timbul dari perbahasan Usul menjunjung kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh YB Ustaz Kamal Ashari, Ahli Parlimen Kuala Krau, yang menggesa baki hutang peneroka dilupuskan sepenuhnya.

Apa yang penting dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan dalam konteks Felda ialah reformasi menyeluruh mengambil kira usia Felda yang telah ditubuhkan sejak 1956. Antaranya:

1. Memberi insentif khusus kepada peneroka atau generasi baru Felda yang berkorban menguruskan sendiri kebun mereka. Amalan masa lalu, golongan ini dipinggirkan kerana dianggap tidak bersama Felda walhal mereka inilah wira yang tidak didendang.

Mereka tidak mendapat kemudahan jalan pertanian yang baik, pakej rangsangan anak muda dan insentif input pertanian sebagai galakan.

Mereka ini yang menyahut seruan Tun Abd Razak agar suatu hari nanti masyarakat Felda berdikari supaya tidak lagi bergantung kepada Kerajaan semata-mata terutamanya menangani masalah pekerja yang sukar diperolehi. Kesannya produktiviti menurun akibat masalah tuaian hasil.

Melalui keluasan tanah sekitar sejuta ekar, Felda seharusnya menerajui usaha meningkatkan pendapatan peneroka sawit dan getah melalui inovasi/kreativiti yang ada pada golongan pakar bukan statik dengan kaedah lama yang menyebabkan hasil tidak meningkat walhal kos sara hidup terus mencanak naik.

2. Beberapa tahun lalu, ANAK pernah mencadangkan agar proses tanam semula diintergrasikan dengan tanaman nenas MD2 atau pisang (tanaman bersesuaian) sebagai usaha mengurangkan beban kos tanam semula yang mencecah RM150,000 bagi 10 ekar yang dimiliki peneroka. Kaedah profit sharing ini hampir dilaksanakan di Felda Sg Tengi, Selangor sebagai pilot projek tapi gagal akibat pertukaran kerajaan. Ini selari dengan dasar untuk projek berskala besar dan tujuan eksport.

3. ANAK juga pernah mencadangkan agar pertanggungjawaban pengurusan kebun peneroka dibawah Technoplant dikaji segera. Adalah lebih Felda dan Koperasi Peneroka sendiri menguruskannya tanpa perlu pihak ke-3 agar manfaat daripada pendapatan lebih baik dirasai sendiri oleh peneroka.

Pengiktirafan dan kepercayaan harus diberikan generasi baru Felda dalam merancang hala tuju Felda khususnya berkait pembangunan ekonomi setempat.

4. ANAK secara konsisten mengharapkan agar Felda diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diterajui langsung oleh YAB PM, agar proses mengembalikan Felda ke era kegemilangan, selaku institusi pembangunan tanah terbesar di dunia ini menjadi realiti.

Korupsi dan urus tadbir yang lemah selama ini, cukuplah menjadi pengajaran.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2023 oleh YAB Menteri Kewangan semalam, ANAK menyedari fokus kerajaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan menyokong segala usaha yang dilakukan, sama ada melalui pelan pemulihan dari Kertas Putih Felda pada April 2019 mahupun pembaharuan terkini.

ANAK dan NGO-NGO Felda komited membantu Kerajaan dengan pelbagai ikhtiar, Insha-Allah.


MAZLAN ALIMAN ialah Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.