Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Cabaran ekonomi belia selepas pandemik

SURAT | Laporan kajian yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melibatkan 6,657 pekerja p-hailing untuk 2022 menunjukkan keadaan ekonomi belia yang begitu membimbangkan.

Beberapa dapatan kajian tersebut menunjukkan golongan belia Malaysia yang terlibat dengan industri tersebut bakal berdepan masa depan yang suram jika tiada langkah intervensi dilakukan bagi memulihkan keadaan ekonomi mereka untuk tempoh 30 tahun mendatang.

Jumlah keseluruhan golongan belia yang terlibat dalam industri p-hailing tidak dapat dipastikan dengan tepat namun data pada 2020 yang direkodkan oleh Pertubukan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan hampir 180,000 individu berdaftar terlibat dengan industri tersebut.

Data menunjukkan pola menurun untuk 2021 apabila hanya 145,000 orang berdaftar terlibat.

Sudah pasti jumlah tersebut semakin menurun untuk 2022 apabila kajian terkini menunjukkan industri tersebut kian tepu dengan letusan kemasukan beramai-ramai masyarakat Malaysia pasca-pendemik Covid-19.

Laporan DOSM itu menyatakan 97 peratus pekerja p-hailing di Malaysia terdiri daripada golongan belia. Ini bermaksud 0.01 peratus daripada 15 juta golongan belia di Malaysia terlibat di dalam industri p-hailing.

Keadaan ini tidak begitu membimbangkan kerana pola kemasukan golongan belia ke industri tersebut juga semakin menurun.

Namun fakta yang perlu dirisaukan adalah apabila seramai 73 peratus daripada jumlah belia berkenaan menjadikan pekerjaan p-hailing sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Persediaan hadapi hari tua

Situasi ini sangat berbeza dengan dapatan kajian yang dilakukan oleh The Centre pada 2010 yang menyatakan bahawa pekerjaan ekonomi gig (termasuk p-hailing) hanya boleh dijadikan pekerjaan sambilan.

Pekerjaan ekonomi gig (termasuk p-hailing) tidak mempunyai laluan kerjaya yang jelas, tiada sebarang peluang kenaikan pangkat atau pendapatan yang sistematik.

Belia yang terlibat dalam industri tersebut tidak dapat memperolehi merit tambahan atas kapasiti diri yang mereka ada (gaji mereka tetap sama walaupun menguasai lebih dari satu bahasa atau mempunyai lebih daripada satu lesen kenderaan).

Fakta yang lebih merisaukan adalah 63 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja p-hailing di Malaysia tidak mempunyai sebarang simpanan pada masa kini.

Ini bermaksud golongan tersebut tidak mempunyai sebarang persediaan untuk menghadapi hari tua atau waktu kecemasan (sakit atau kemalangan).

Fakta ini memperkukuhkan tindakan kerajaan di bawah kendalian Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menghalang pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kali ketiga.

Dia sedar kegagalan golongan belia pada masa kini untuk menyediakan tabungan yang mencukupi untuk hari tua bakal membebankan kerajaan pada masa hadapan apabila perlu menanggung dana perubatan dan sara hidup golongan tersebut.

Naratif perlu diperbetulkan semula untuk menghalang golongan belia menjadikan industri p-hailing sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Memang benar pada suatu ketika apabila perintah kawalan pergerakan mula diperkenalkan pekerja p-hailing mampu memperoleh pendapatan yang besar (sekitar RM5,000 sebulan).

Perlu lengkapkan diri

Namun dapatan kajian DOSM mendapati pada 2022 hanya 11 peratus saja pekerja p-hailing yang mampu memperoleh pendapatan sekitar RM2,500 ke atas.

Keadaan ini tidak menunjukkan masa depan yang memberansangkan untuk industri tersebut kerana paras garis kemiskinan terkini menunjukkan individu dengan pendapatan bawah RM2,150 sebulan boleh dianggap sebagai miskin bandar.

Data tersebut menunjukkan sebenarnya majoriti pekerja p-hailing yang menjadikan pekerjaan tersebut sebagai sumber pendapatan utama boleh dianggap sebagai miskin bandar.

Kesimpulannya dapatan kajian DOSM untuk pekerja p-hailing banyak membuka mata masyarakat dan kerajaan berkenaan realiti ekonomi golongan belia dalam industri tersebut.

Kerajaan perlu mula memperkenalkan intervensi dan inisiatif baru bagi memperbaiki keadaan ekonomi pekerja p-hailing di Malaysia.

Golongan belia dalam industri tersebut juga harus melengkapkan diri dengan kapasiti yang secukupnya bagi menempatkan diri dalam kerjaya baru yang lebih menjamin masa depan.


MOHD FAUZI FADZIL ialah timbalan ketua penerangan Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.