Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Jika orang politik cakap soal dasar, masjid tak akan dicemari 

Semalam saya mewakili DAP ke majlis taklimat perundangan dan pentadbiran agama islam negeri Johor di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor. Dalam majlis tersebut, menteri besar Johor menyampaikan kata-kata aluan.

Pada sesi taklimat yang dibentangkan oleh Mohamad Ridzuan Zainudin - penolong penasihat undang-undang (syariah) negeri berkaitan pentadbiran masjid dan surau Johor. Antara perkara disentuh ialah berkaitan larangan mencemarkan masjid dan surau di negeri ini dengan dakyah politik.

Bagi saya, ini bukan perkara baharu. Johor memang unik. Tuanku Sultan Johor sendiri melarang keras masjid atau surau di negeri ini digunakan untuk berpolitik dan memecah belahkan masyarakat.

Semalam saya telah lontarkan dua perkara. Pertama, orang politik tidak wajar lagi terus menggunakan senjata sempit perkauman dan keagamaan. Orang politik harus bercakap isu-isu dasar dan politik nilai. 

Kebiasaannya, orang politik menggunakan platform masjid atau surau untuk mengatakan “Aku lebih islamik berbanding sipolan sipolan”. Orang lain itu kafir, tidak islamik, jahil dan sebagainya. Ini contoh politik sempit keagamaan yg sering digunakan.

Jika ahli politik bertukar kepada percakapan tentang dasar, polisi dan politik nilai, insya-Allah masjid atau surau terhindar daripada menjadi medan caci maki, adu domba dan lebih teruk lagi sebagai medan takfiri. Mengatakan “Aku / kumpulan kami lebih Islam berbanding yang lain”.

Perkara kedua, unsur pemantauan mesti dijalankan. Sesiapa yang bercakap di masjid atau surau perlulah diberi garis panduan, harus dipantau dan mesti ada pematuhan.

Dari sudut pemantauan, pihak berwajib boleh menerima aduan sekiranya ada sebarang pelanggaran SOP yang ditetapkan. Dari aduan tersebut, perlu ada pendekatan tabayyun sebelum sebarang tindakan hukuman diambil.

Tanpa pantauan, mustahil untuk kita hentikan mereka yang tidak bertanggungjawab yang seringkali mengambil kesempatan menggunakan pentas-pentas kuliah dan ceramah di masjid dan surau untuk menyebarkan kebencian, perpecahan dan dakyah politik sempit keagamaan yang memecah belahkan masyarakat.


SHEIKH UMAR BAGHARIB BIN ALI ialah ahli jawatankuasa tertinggi pusat DAP (CEC) merangkap naib pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.