Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 7]

Salam ukhuwah dan mahabbah, Tuan Guru.

Semoga Tuan Guru berada dalam kesejahteraan iman dan kekuatan iltizam menerajui gagasan kemanusiaan yang unggul dari segi keimanan dan kemanusiaan.

Rasulullah SAW dalam khutbah terakhirnya berpesan bahawa kita semua mempunyai hak yang sama terhadap semua muslimin dan muslimat, serta bukan Islam akan hak-hak yang setara di segi kemanusian.

Rasulullah juga berpesan bahawa tiada lebih mulia orang yang berkulit hitam daripada berkulit putih, tidak lebih mulia seorang yag berkulit putih daripada yang berkulit hitam.

Tidak lebih mulia seorang Arab berbanding seorang Ajam, dan tidak lebih mulia seorang Ajam daripada seorang Arab.

Dalam kehidupan kita, yang perlu diberikan perhatian bersunguh-sungguh adalah kepada ta‘ayyush dan mu‘ayasah berserta keragaman dan kerencaman kepercayaan, budaya dan etika.

Justeru kita lihat bahawa permasalahan kemanusiaan dan ketuhanan menjadi suatu yang sangat meruncing.

Hubungan sesama Muslim

Seorang ilmuan Nusantara, Muhammad Quraish Shihab, menyatakan langkah untuk mendamaikan konflik dalam kalangan individu atau kolektif adalah amat penting,

Ia menjadi lebih utama apabila melibatkan politik dan kuasa, ekonomi dan identiti.

Sering kali dalam bidang politik dipertikaikan kuasa secara de jure atau secara de facto.

Konflik biasanya muncul atas sifat mahu, dan kadang-kadang ia tidak dapat dihindarkan. Namun tidak ada manusia yang ingin kekal berada dalam pertikaian seumur hidupnya.

Perdamaian dan ketenangan hati sering jadi impian dalam kehidupan, sama ada secara bersama-sama atau individual.

Rasulullah mengasaskan sebuah masyarakat yang teguh memberi komitmen untuk saling membantu dan mempertahankan antara sama lain di atas perjanjian dikenali sebagai Sahifah al-Madinah.

Setiap butiran perjanjian itu ditulis satu persatu.

Kesan daripada perjanjian itu warga Mekah bertambah ramai, manakala kegiatan pendidikan menjadi bertambak rancak serta maju.

Tidak lama selepas itu bidang tersebut menjadi punca pendapatan bagi sesetengah orang yang menjalankan kegiatan berkaitan seperti menulis, membaca, menyemak, menyalin dan meminda mana-mana peruntukan yang ditulis dalam sahifah tersebut.

Kandungan sahifah merupakan suatu himpunan perjanjian yang menyatakan hubungan sesama umat Islam (Ansar dan Muhajirin) seiring dengan hubungan mereka dengan sekutu-sekutu masing-masing.  

Berpandukan peruntukan tersebut itulah Abu Talib berpesan kepada orang yang dilantiknya menjadi amir, wali atau qadi agar melayan semua orang dengan setara dari segi kemanusian.

Abim mainkan peranan

Tuan Guru, perkara yang saya bangkitkan pada penghujung surat saya kali ini ialah: mengapakah Anwar Ibrahim tidak menyertai PAS seperti yang dirancang, sebaliknya memilih Umno?

Tidak mungkin saya lebih tahu daripada Tuan Guru.

Tetapi saya tetap berasa sedikit hairan: kenapa dalam perbincangan isu kemasukan Anwar ke dalam PAS, tidak pernah Tuan Guru hadir bersama?

Bukankah ketika itu Tuan Guru adalah sebahagian daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)? Bahkan Tuan Guru adalah Yang Dipertua Abim Terengganu.

Atas inisiatif mengukuhkan PAS, Tuan Guru telah menyertai parti itu pada 1978 dan ia disambut baik. Pada 1981 Tuan Guru dipilih dalam jemaah pimpinan PAS sebagai Naib Yang Dipertua Agung.

Langkah Abim menggerakkan beberapa orang barisan pimpinannya adalah dibuat oleh syura dan jawatankuasa pimpinan. Anwar telah mengalih haluan fikiran kerana PAS pada masa itu telah berubah.

Mula-mula disangkanya bahawa perubahan itu adalah gelombang yang dibawa dalam corak kepimpinan dari dalam.

Pada masa itu Anwar, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Razali Nawawi, Siddiq Fadzil, Osman Bakar, Idris Jauzi, Ustaz Nikmat, Anuar Tahir dan ramai lagi tokoh Abim cuba memainkan peranan tersebut.

Membaca dua buah buku memoir tulisan Ustaz Razali, jelaslah apa yang saya fahaman langkah bekas pemimpin Abim itu ialah untuk mewujudkan platform buat aktivis yang bukan belia lagi.

Sejak dahulu lagi ciri-ciri pemimpin yang istimewa terkumpul dalam diri Anwar. Pada peringkat awal terdapat persamaan Anwar dengan Tuan Guru dan ia sudah tentu menggembirakan ahli-ahli dan penyokong PAS serta gerakan Islam di negara ini.

Tetapi ke mana perginya rasa hormat dan persahabatan di antara dua orang tokoh besar itu pada hari ini?

SURAT 1 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 2 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 3 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 4 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 5 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 6 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru


SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang, Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.