Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Usah selindungi rasuah dengan label sedekah

SURAT | Sedarkah kita, apa saja definisi yang berlegar di fikiran anda sama ada bantuan, sedekah, hadiah, pertolongan atau sebagainya, jika ia tidak kena pada waktunya, mungkin akan dikategorikan sebagai rasuah?

Definisi rasuah boleh ditakrifkan sebagai perbuatan tidak jujur ​​yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kedudukan yang berkuasa untuk mencapai keuntungan peribadi.

Contoh fenomena rasuah termasuk memberi dan menerima hadiah yang tidak sesuai, transaksi politik, manipulasi keputusan pilihan raya, pemindahan wang, pengubahan wang haram, menipu pelabur dan lain-lain.

Islam sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam hidup setiap insan. Islam sentiasa mengajar kita untuk berbuat baik dengan semua orang terutama sesama Muslim.

Tidak sempurna iman seorang Muslim itu jika dia tidak menyayangi saudaranya sama seperti dia menyayangi diri sendiri.

Dalam Islam, sedekah mempunyai maksud yang cukup luas. Secara mudah, ia didefinisikan sebagai pemberian seseorang kepada orang lain dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dengan kata lain, sedekah itu adalah pemberian yang bebas, tiada jumlah atau barang yang ditentukan. 

Sifat mahu memiliki

Penerima pula - biasanya serba kekurangan seperti fakir miskin atau anak yatim - akan berasa gembira dengan pemberian tersebut.  

Maka si pemberi pula tidak mengharapkan apa-apa balasan kecuali pahala yang berlipat ganda serta keredaaan Allah. Dia tidak memikirkan apa-apa lagi sebaik saja pemberian itu bertukar tangan.

Rasuah pula adalah pemberian - sama ada dalam bentuk harta atau manfaat tertentu - dengan bertujuan untuk memperolehi sesuatu balasan. Ia mungkin sepatutnya bukan hak si pemberi, malah dia menzalimi pihak lain.

Rasuah adalah jenayah penyalahgunaan jawatan dan memungkiri amanah untuk kepentingan peribadi, saudaranya atau kroni.

Antara perbuatan rasuah ialah mengemukakan tuntutan palsu, memberi atau menawarkan habuan - dalam pelbagai bentuk - sebagai cara untuk mendapatkan sesuatu di luar saluran sah undang-undang.

Punca utama rasuah ialah ketamakan peribadi. Manusia memang mempunyai sifat semula jadi mahu memiliki. Justeru keinginan terhadap wang dan kuasa milsanya akan mendorong mereka memilih cara yang salah.

Gejala itu juga membiak ekoran rendahnya kesedaran orang ramai, selain ketiadaan keberanian dalam kalangan pihak yang berkenaan untuk benar-benar mengekang rasuah.

Gambar hiasan

Dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jelas diterangkan secara terperinci bahawa sebarang pemberian bagi tujuan mendapatkan balasan - dalam konteks pilihan raya ialah undi - dianggap sebagai rasuah.

Biarlah apa pun takfiran yang mahu diberikan oleh seseorang, namun menurut undang-undang, sebarang pemberian dengan maksud mendapatkan sokongan semasa pilihan raya, ia adalah suatu kesalahan.

Untuk memenangi pilihan raya, memang terdapat segelintir ahli politik memberikan sogokan kepada pengundi dan mereka berselindung di sebalik nama lain seperti hadiah dan sedekah.

Ia boleh berlangsung secara tertutup atau terbuka, atau secara bersumpah.

“Perkara sedemikian adalah tidak baik, bukan sahaja dari segi undang-undang, tetapi dari sudut agama.

"Begitu juga dalam Islam, kita tidak boleh melanggar undang- undang,” kata Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Akhbar Satar.

Tak menjanjikan kesenangan

Justeru apa saja yang diberikan kepada pengundi menjelang pilihan raya dengan mengharapkan balasan sokongan, ia adalah rasuah.

Perlu diingat akan sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kamu adalah jika orang yang terhormat daripada mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya!” (HR Tirmidzi).

Islam menganggap rasuah sebagai salah satu amalan yang merosakkan. Islam melarang keras rasuah, maka hendaklah ditinggalkan ia dijauhi.

Antara kesan buruk rasuah kepada individu ialah kejatuhan maruah, kehilangan pekerjaan, hilang kepercayaan masyarakat dan sebagainya.

Kesan buruk rasuah terhadap masyarakat dan negara pula misalnya ialah mengakibatkan ketidakadilan, menggalakkan jenayah, menjejaskan integriti pentadbiran, mengganggu kestabilan politik, dan sebagainya.

Pun begitu tetap ada orang yang tetap terlibat dalam amalan berkenaan kerana biasanya mereka dikaburi oleh nafsu terhadap harta duniawi, imbuhan dan ganjaran yang banyak.

Begitu juga ia dilakukan akibat tekanan hidup seperti terlalu banyak hutang.

Hakikatnya, mereka yang melakukan rasuah didorong oleh sifat tamak untuk hidup mewah, menjana pendapatan lebih dan ingin hidup senang.

Sesungguhnya rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan yang sebenar walaupun pada mata kasar kita beroleh keuntungan yang sangat besar daripadanya.

Gambar hiasan

Ketahuilah, hasil yang diperolehi melalui rasuah bukan saja jelas haramnya, malah tidak akan berkat.

Sanggupkah kita memberi makan dan minum kepada anak isteri serta keluarga kita menggunakan sumber yang haram? Ingatlah, memakan makanan daripada sumber yang haram akan membawa seseorang itu ke neraka.

Ia selaras dengan hadis Rasulullah: Daripada Jabir Abdullah, bahawasanya nabi bersabda: “Tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh daripada yang haram, api neraka lebih utama baginya.” (HR Ahmad).

Realitinya, rasuah tidak sesekali akan berlaku jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran agama, sentiasa memantapkan keimanan dan ketakwaan serta takut kepada Allah.

“Dan janganlah kamu memakan harta orang lain antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya.” (al-Baqarah: 188)

Islam telah mengharmonikan hubungan sesama manusia melalui pelbagai cara termasuklah dengan pemberian hadiah, derma atau sedekah, namun matlamat tidak menghalalkan cara.

Maka, jangan dibiarkan rasuah berselindung atas nama sedekah atau hadiah sehingga tujuan asal pemberian itu menjadi satu jenayah yang perlu dibanteras dengan sesungguhnya.


ATRIZA UMAR ialah timbalan setiausaha Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakwan Islam Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.