Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | K'jaan tambah peruntukan ketenteraan langkah tepat

Pada 5 Januari 2023, media melaporkan bahawa Kementerian Pertahanan telah menambah peruntukan ketenteraan bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata sehingga RM17.4 bilion telah dibajetkan bagi tahun 2023 bagi belanja operasi dan pembangunan Kementeran Pertahanan Malaysia (Kementah), termasuklah RM8 bilion melalui 281 projek perolehan bagi menyelenggara dan memastikan aset Tentera Udara Di-Raja berada di dalam keadaan terbaik.

Saya ingin memuji tindakan menteri pertahanan kerana walaupun di sebalik keadaan ekonomi yang tidak menentu, ditambah dengan kadar inflasi yang meningkat, kerajaan masih dapat memperuntukkan sebahagian daripada bajet bagi keutamaan keselamatan dan kedaulatan negara.

Walaupun jumlahnya tidak setanding dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand serta Jepun yang pada tahun ini menggandakan peruntukan keselamatannya, Malaysia seharusnya mengambil lebih perhatian mengenai perkara ini dan merancang sebaik-baiknya pemulihan dan pembaikian aset tentera negara yang ternyata sudah usang.

Pelbagai laporan media yang menunjukkan tahap keusangan aset tentera yang sudah lama dan terpakai.

Malahan, DYMM Sultan Selangor di atas kapasiti baginda sebagai Kapten Yang Di-Pertua Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) turut menyatakan kegusaran beliau terhadap keadaan aset tentera laut negara.

Komitmen dan kematanga yang ditunjukkan oleh menteri pertahanan di dalam kes berkenaan Kapal Perang Littoral (LCS) juga adalah bertepatan dengan prinsip kerajaan perpaduan, dan pada pendapat saya merupakan langkah progresif bagi negara untuk terus maju ke depan dan meninggalkan sejarah lampau.

Malaysia memerlukan negarawan-negarawan yang berdaya saing dan maju, yang tidak berpolitik merebut untuk kuasa, sebaliknya berkorban masa, tenaga dan harta untuk menggalas tanggungjawab bersama bagi kebaikan dan kebajikan rakyat, serta kemakmuran dan kedaulatan negara.


AZAM O ialah seorang wartawan dan bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Artikel ini pandnagan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.