Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Jangan tegangkan hubungan kaum dengan isu promosi arak 

Walaupun pilihan raya umum ke-15 telah selesai dengan tertubuhnya kerajaan perpaduan sepertimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, bahang politik tidak reda kerana enam buah negeri masih belum mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN bagi negeri-negeri tersebut–Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu–dijangka dibubarkan sebelum Julai 2023.

Maka muncullah watak-watak pelampau agama yang sengaja memainkan api perkauman untuk kemenangan dan mahu meraih sokongan kaum Melayu di negeri-negeri ini.

PAS dengan teknik helah di sosial media (Tiktok) memainkan isu perkauman berkenaan sebuah pusat beli belah di Pulau Pinang yang mempamerkan jualan arak untuk sambutan Tahun Baru Cina tiba lama lagi.

Fawwaz Mohamad (ahli parlimen Permatang Pauh) dari PAS sengaja menaikkan ketegangan kaum apabila membuat video pendek menghantar memorandum kepada pengurusan pusat beli belah supaya tidak membuat pameran arak secara terbuka, kononnya tidak menghormati sensitiviti umat Islam di Pulau Pinang.

Sebagai umat Islam, adakah iman pemimpin PAS begitu lemah sehingga lihat sahaja penjualan arak terus boleh terpesong? Jelas sekali, promosi jualan tersebut adalah kepada kaum bukan Islam. Penjualan juga dalam kompaun persendirian, bukan di tempat awam, taman rekreasi awam atau tepi-tepi jalan. Tidak pula pihak penjual pamerkan apa-apa tulisan atau mesej yang mengelirukan umat Islam di Pulau Pinang untuk membeli arak tersebut.

Walaupun sasaran utama pengundi oleh Perikatan Nasional hanya tumpu pada undi kaum Melayu, namun janganlah menggunakan Islam untuk menghalalkan cara yang salah.


FARID MAULUD ialah penolong setiausaha publisiti DAP Kedah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.