Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 3]

SURAT | Salam sejahtera dan salam perjuangan.

Tuan Guru, bermula pada 1980-an lagi ada beberapa aliran pemikiran terdiri daripada pengkaji sejarah dan penganalisis politik menganggap Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin luar biasa.

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pada awal 1990-an malah menyebut Anwar Ibrahim adalah putera terbaik ummah.

Tuan Guru, masih ingatkah pada sekitar 1984 hingga 1985, Tuan Guru dijemput hadir ke sebuah rumah di Kuala Lumpur untuk pertemuan dengan seorang pemimpin iaitu Sheikh Mustafa Masyhur.

Dia ketika itu merupakan timbalan mursyidul am Ikhwanul Muslimin dan pelarian politik yang dijatuhkan hukuman mati oleh rejim tentera Mesir yang merampas kuasa.

Jauh Sheikh Mustafa datang ke Kuala Lumpur. Dia membuat perjalanan itu dari Frankfurt, Jerman.

Sebagai Pengerusi Tanzim ad-Dawly, tugas Sheikh Mustafa ialah bertemu dengan wakil-wakil gerakan Islam di beberapa negara di Amerika Utara. Antaranya AS, Kanada dan negara Eropah termasuk Jerman, Perancis, Switzerland, Belanda dan United Kingdom.

Sukar ditemukan titik persamaan

Tuan Guru, tujuan kedatangan Sheikh Mustafa ialah untuk mengikat persefahaman di antara Tanzim ad-Dawly dengan PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan sebarang kumpulan yang diiktiraf membawa perjuangan menegakkan kebenaran serta menentang kezaliman dan penindasan.

Tetapi Tuan Guru tidak hadir!

Justeru rakan-rakan Himpunan Belia Islam di Singapura dan Melbourne, Australia secara sinis mengandaikan Tuan Guru tidak hadir kerana ada hal lain.

“Mungkin Tuan Guru tidak begitu selesa mendengar pandangan dari luar, apatah lagi jika pandangan itu mengandungi teguran,” kata mereka.

Rakan-rakan di Melbourne juga berasa tercabar dengan kedatangan hampir setiap bulan Ayatollah Muhammad Rida Mahdawi Kani ke bandar raya itu, selain ke Wellington, New Zealand sebagai wakil khas Ayatollah Sayyid Ruhollah Musavi Khomeini dengan misi menyebarkan doktrin Shiah Ithna-Ashari.

Sejak dahulu lagi - dari akhir 1970-an hingga pertengahan 1990-an - saya cuba memahami jalur fikiran dua orang tokoh gerakan Islam Malaysia iaitu yang bernama Abdul Hadi Awang dan Anwar Ibrahim.

Jelaslah bahawa saya tidak mempunyai skala pengukur yang sama. Abdul Hadi tetaplah Abdul Hadi, manakala Anwar adalah Anwar.

Dengan itu saya telah meletakkan satu kesimpulan awal bahawa Tuan Guru dan Anwar adalah dua entiti yang berbeza. Fenomena yang dibawa memberi dampak yang berlainan dalam konteks pembangunan negara bangsa.

Ada beberapa penyelidik sains politik selesa di menara gading yang digelar sebagai golongan du‘at kerusi sandar dengan suara yang nyaring mengklasifikasikan Anwar sebagai liberal dan cenderung kepada pluralisme.

Tuan Guru pula dikatakan sebagai tokoh antikomunis dan antikomunisme yang pada dasarnya adalah konservatif.

Tuan Guru, dari sudut pandang orang luar, terlalu sukar menemukan suatu titik pertemuan di antara Tuan Guru dengan Anwar.

Apa yang saya perhatikan, aktivis di seluruh peringkat keahlian PAS yang memang suka dan selesa menyokong Tuan Guru adalah kelomok terbesar. Bagi mereka, dengan memiliki mempunyai kad keahlian PAS bermakna mereka adalah orang yang sentiasa betul, manakala selainnya adalah sentiasa salah.

Kesan buruk daripada pemikiran sebegitu ialah munculnya golongan taasub dan memberikan sokongan secara melulu terhadap dengan apa sahaja yang keluar dari mulut Tuan Guru.

Ia malah berlaku ke atas diri saya sendiri.

Selepas Tuan Guru - dalam nada marah - berkata bahawa di dalam PAS (ketika itu) ada bermacam-macam orang termasuk broker dan barua, dalam sekelip mata saja saya dicaci maki oleh penyokong-penyokong Tuan Guru.

Tuan Guru, bagi saya Anwar pula melangkah ke hadapan sambil membina kekuatan budaya, etika dan tatakelola untuk semua rakyat Malaysia. Mungkin itulah sebenarnya yang kurang dilakukan oleh Tuan Guru.

Duduk merenung Kaabah

Pada awal 1980-an Tuan Guru muncul di beberapa media arus perdana sebagai ahli parlimen Malaysia. Beberapa kelebihan Tuan Guru sangat terserlah, seperti segi kefasihan berbahas dan memberi ucapan.

Orang ramai mula mencari dan membeli kaset-kaset ucapan Tuan Guru. Apabila tiba era cakera padat (CD), ia pula yang menjadi buruan. Semuanya cantik dihiasi pelbagai grafik untuk menunjukkan siapa penutur dalam wadah tersebut, iaitu seorang ulama.

Susunan kata-kata Tuan Guru ketika itu memang sarat dengan ilmu dan bayan yang dirindui oleh penduduk kampung yang terpusat kepada Masjid Rusila.

Apapun itulah kesan dakwah yang Tuan Guru bawa kepada orang yang membuka dada masing-masing kerana dahagakan dakwah dan islah di negara kita, Malaysia.

Tuan Guru, pada 1979 ketika Anwar dan rakan-rakannya dalam Abim berusaha gigih untuk menempatkan diri dalam PAS, ia bukan hanya disambut dengan baik, bahkan diberikan galakan bersungguh-sungguh oleh pemimpin tertinggi parti itu, Mohd Asri Muda.

Tuan Guru, dalam buku sahabat saya, Lorong Sunyi Media Bebas, tulisan Ahmad Lutfi Othman banyak terkandung kisah yang tersirat. Saya merenung ia dengan penuh fikiran. Akhirnya saya mendapat beberapa pencerahan.

Ketika program jerayawara dengan Mohd Asri Muda masih berbaki hanya tujuh hari lagi, tiba-tiba Anwar berangkat untuk mengerjakan umrah. Ketika duduk merenung Kaabah sambil menunggu detik solat berjemaah dimulakan, Anwar merasakan terdapat satu aliran dalam PAS yang tidak selesa buatnya.

Tiba-tiba datang duduk di sebelahnya seorang menteri kanan dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad iaitu Abdul Samad Idris.

Tengku Razaleigh Hamzah

Peristiwa ini diceritakan kepada saya oleh Salahuddin yang pernah menjawat jawatan warden Malaysia Hall Birmingham pada awal 1980-an. Kami berjumpa selepas lebih 10 tahun saya kembali ke Malaysia kerana tamat pengajian.

Salahuddin itu juga pernah menjadi Ketua bahagian Umno di Malaysia.

Penceritaannya sangat terperinci. Fakta-fakta utamanya bertepatan dengan indikator kronologi yang ada dalam catatan dan memori saya.

Anwar sangat terkesan oleh pertemuan dengan Abdul Samad itu. Semasa berbual, Anwar diberitahu bahawa jika dia benar-benar mahu membawa perubahan, PAS bukanlah wadah yang sesuai.

Dengan penegasan itu, Abdul Samad menasihatkan Anwar untuk bertemu Musa Hitam - yang pada ketika itu menjadi timbalan perdana menteri - dan cuba berjumpa dengan Mahathir.

Miliki gerak hati tertentu

Pada waktu itu, Musa bukanlah orang nombor dua dalam Umno. Walaupun menjadi timbalan perdana menteri, dia masih seorang naib presiden parti. Malah dari seni senioriti, Musa diatasi oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Justeru Musa menasihatkan Anwar untuk bertemu dan berbincang dengan Tengku Razaleigh.

Pun begitu pertemuan yang akhirnya berlaku di antara Anwar dengan Mahathir tidak menampakkan wujud sebarang peranan pihak ketiga.

Sejak dahulu lagi ciri-ciri pemimpin yang istimewa ada terkumpul pada diri Anwar.

Benar, sebelum ini pernah ada persamaan ciri tersebut pada Tuan Guru dan ia memang menggembirakan warga Malaysia yang sedang mencari tokoh untuk diangkat sebagai nakhoda membawa Malaysia agar merdeka dalam erti sebenar.

Bagi saya Anwar adalah tokoh yang mempunyai kecerdikan akal fikir bagi meneroka pelbagai bidang baru mengenai kehidupan dengan segala huluan dan hilirannya.

Kata orang, manusia genius memiliki penguasaan pelbagai cabang ilmu seperti sains, sastera, percakapan dan lain-lain. Dia juga memiliki gerak hati tertentu.

Gerak hati itu bolehlah dikatakan sebagai kemampuan memahami sesuatu tanpa melalui proses rasional dan intelektual.

Sebahagian piawaian gerak hati yang baik bermula dengan keikhlasan dan kejujuran diri. Kesungguhan mahu meletakkan kebaikan serta mempunyai sifat berlumba-lumba melakukan kebajikan sering muncul dari gerak hati yang betul.

Bukankah itulah pati dan inti sari ajaran Islam yang terkandung dalam perintah Allah: fastabiqul khairat?

Adakah Tuan Guru tidak percaya bahawa gerak hati yang tepat dan betul adalah syarat kecemerlangan dalam kepimpinan, politik dan juga tatakelola kenegaraan?

Ada banyak negara maju yang tidak dipimpin oleh orang Islam, tetapi ia digerakkan oleh semangat pemimpin dan rakyatnya untuk gigih bekerja, berkelakuan baik dan terus berlumba-lumba untuk saling membantu dan memperbaiki kelemahan diri, bangsa serta negara.

Tuan Guru, betulkan saya jika saya tersalah dan tersasar!

Bukankah para ulama seluruh zaman telah mengatakan bahawa Allah akan membantu kerajaan yang bekerja untuk memakmurkan negara, bersih daripada rasuah, membebaskan rakyatnya daripada penindasan dan kezaliman dan berharap menegakkan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur?

Tuan Guru, mengapakah Anwar tidak menyertai PAS seperti yang dirancangkan, sebaliknya memilih Umno?

Dalam urusan ini saya ada menceritakan dalam penulisan saya di manakah kelebihan almarhum Ustaz Fadzil Noor berbanding dengan Anwar dan mengapakah Anwar lebih hebat.

[Bersambung]

SURAT 1 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru

SURAT 2 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru


SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang, Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.