Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Tragedi Batang Kali: Yang terlibat perlu bertanggungjawab

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali. Ia adalah salah satu tragedi terburuk sejak kebelakangan ini dan perlu menjadi peringatan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah bagi memastikan keselamatan tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi berhampiran lereng bukit.

Tragedi itu berlaku akibat runtuhnya cerun bukit buatan manusia yang jelas berpunca daripada tanah yang tepu air. Kementerian yang berkaitan mestilah menubuhkan satu jawatankuasa pakar bebas bagi menyiasat punca tanah runtuh itu. Ia mestilah meneliti bagaimana cara cerun itu dibina, sama ada ia termasuk langkah keselamatan yang mencukupi, dan sama ada terdapat pemeriksaan dan penyelenggaraan yang kerap dilakukan. Mereka yang bertanggungjawab ke atas tanah runtuh, termasuk pegawai awam mestilah bertanggungjawab.

Sungguh mengejutkan apabila tapak perkhemahan itu dibenarkan berfungsi tanpa lesen yang merangkumi syarat-syarat penyelenggaraan tapak termasuk cerun. Ia adalah pengabaian tugas yang serius oleh pihak berkuasa tempatan yang berkaitan dan kerajaan negeri.

Kejadian tanah runtuh kini menjadi lebih kerap, terutamanya semasa musim hujan dengan kehilangan nyawa dan harta benda. Terdapat 220 kes tanah runtuh yang dilaporkan daripada Januari hingga Disember tahun ini. Pihak berkuasa nampaknya tidak mengambil pengajaran daripada bencana ini dan melaksanakan langkah keselamatan yang mencukupi. Setiap kali tragedi berlaku terdapat banyak perhatian media dan janji oleh menteri dan pegawai tetapi beberapa bulan kemudian ia di luar daripada perhatian mereka. Ia kembali seperti biasa.

Menurut Jabatan Kerja Raya, terdapat 1,045 cerun di sepanjang laluan persekutuan di semenanjung yang dikenal pasti sebagai cerun yang sangat berisiko tinggi. Cerun itu mungkin buatan manusia tanpa memasukkan langkah keselamatan yang sesuai dan menjalankan pemeriksaan secara berkala. Amaran kepada orang ramai mengenai cerun yang  berbahaya adalah perlu tetapi ia tidak mencukupi. Pihak berkuasa mestilah mencari punca sebenar  yang menyebabkan cerun ini berbahaya dan mengambil tindakan untuk memperbaikinya.

Walaupun terdapat amaran daripada saintis dan setiausaha agung PBB, tetapi tiada kesedaran yang mencukupi di pihak pegawai kita dan komuniti perniagaan mengenai kesan buruk aktiviti manusia terhadap alam sekitar. Kita menebang dan membersihkan beribu-ribu hektar hutan dara untuk tanaman kontan dan perbandaran serta memotong bukit untuk membina lebuh raya tanpa mengambil kira kesan aktiviti ini terhadap alam sekitar.

Undang-undang kita mengenai perlindungan alam sekitar juga tidak mencukupi dengan mengambil kira krisis iklim yang dihadapi sekarang ini. Jabatan Alam Sekitar, agensi yang bertanggungjawab untuk melindungi alam sekitar tidak berkesan seperti yang dapat dilihat daripada pencemaran sungai yang berlaku berulang kali di Selangor dan Johor, penebangan hutan di Pahang dan Kelantan yang membawa kepada kejadian banjir besar.

Sehubungan itu, kami menggesa agar kerajaan perpaduan supaya:

1. Menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap punca-punca yang membawa kepada kejadian tanah runtuh di Batang Kali dan memastikan mereka yang terlibat  bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

2. Memastikan satu garis panduan yang komprehensif di tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi untuk memastikan agar ia selamat.

 3. Mengemas kini undang-undang alam sekitar bagi menangani cabaran yang ditimbulkan oleh krisis iklim dan masalah ekologi yang lain.

 4. Melaksanakan komitmen kita i bawah perjanjian antarabangsa mengenai pembangunan mampan dan krisis iklim.

5. Menjalankan kajian mengenai kegagalan agensi berkaitan untuk menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan dan mengambil langkah untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.


MOHIDEEN ABDUL KADER ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.