Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 2]

Salam sejahtera sekali lagi Tuan Guru,

Pada tengah hari selepas surat pertama saya diterbitkan di Malaysiakini pada 15 Dis lalu, saya sempat menelefon Zaihan. Ternyata dia gembira mendapat panggilan daripada saya.

Saya bersyukur Zaihan masih istiqamah sebagai pembantu khas Tuan Guru.

Pernah Zaihan memberitahu saya bahawa Tuan Guru meminta dia membentuk satu sistem sokongan dalam merancang dan melaksanakan urusan presiden.

Sayangnya, kerangka sokongan hanya tertumpu kepada ilmu dan kepimpinan yang memang pun sudah dimiliki oleh Tuan Guru. Sepatutnya perkara paling penting untuk diberikan tumpuan ialah dalam bidang penjanaan sinergi.

Konsep sinergi adalah berdasarkan kepada prinsip ciri-ciri kekuatan keseluruhan organisasi yang juga terdapat di semua peringkat dan lapisan organisasi tersebut.

Kekuatan PAS dalam pentarbiyahan dan pemerkasaan ahli mesti diberikan awlawiyat dalam semua pendekatan tahaluf. Hargai ahli serta rakan tahaluf.

Dasar pandang ke dalam mestilah berjalan seiring dengan pengukuhan dasar ke luar.

Pada ketika itu Tuan Guru dan beberapa ulama PAS terlibat dalam organisasi Islam serta jawatankuasa fiqh dan fatwa bersama ulama lain yang diketuai oleh Syeikh Yusuf al-Qardhawi dan Syeikh Faisal al-Mawlawy.

Pembabitan itu meletakkan PAS dan ulamanya terlibat dalam konteks negara-bangsa dan proses demokrasi.

PAS berada di hadapan

Tuan Guru tentu lebih tahu bahawa tokoh-tokoh besar gerakan Islam seperti al-Qardhawi, Dr Hassan at-Turabi, Syeikh Ibrahim as-Sanusi, Syeikh Rashid Ghannoushi dan al-Mawlawy meletakkan asas-asas hubungan antara muslim dan non-muslim di seluruh peringkat sejak awal 1990an.

Dasar-dasar tersebut melibatkan tatacara pergaulan sebagai warga kepada negara-bangsa di bawah peraturan undang-undang dan kerjasama yang berunsur aku janji dan kesetiaan kepada mereka yang berada di bawah kepimpinan yang sah.

Tuan Guru, kita berkongsi negara ini yang sifatnya dalam sistem demokrasi adalah negara bangsa. Ilmu yang telah dikembangkan adalah fiqh at-ta’ayyush iaitu prinsip-prinsip hidup bersama atau co-existence.  

Bagi saya inilah sistem sokongan yang diperlukan oleh gerakan Islam dalam mengambil pendekatan islah dan tajdid. Pada masa yang sama, kebangkitan ini menghubungkan tahaluf dan kerjasama dengan demokrat, sama ada muslim atau non-muslim di seluruh dunia.

Tuan Guru, itulah yang menjadikan PAS begitu terkehadapan dalam menangani ledakan politik yang berlaku pada 2 Sept 1998. Apakah Tuan Guru masih ingat apa yang terjadi dalam masa 20 hari saja selepas ledakan pada tarikh keramat itu?

Saya sendiri hadir pada malam itu. Bertempat di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang baru beberapa jam sebelumnya dipecat oleh perdana menteri merangkap presiden Umno dan pengerusi BN.

Dahsyat sungguh kunci mati langkah yang digunakan oleh Dr Mahathir Mohamad dengan memecat Anwar dari semua jawatan sama ada dalam kerajaan atau parti.

Tuan Guru, malam itu saya balik sedikit lewat daripada kebanyakan orang yang hadir kerana hendak mengikuti perkembangan semasa.

Ramai rakyat yang bencikan kezaliman dan kejahatan mahu melihat wajah hodoh bila dan bagaimana bermulanya konspirasi peringkat tertinggi tersebut.

Pembantu-pembantu Anwar yang terdiri daripada orang seperti Ruslan Kassim, Zulkifli Nordin, Malek Husin dan lain-lain, masing-masing berpesan kepada saya.

Mereka mengingatkan agar saya bersiap sedia menghadapi suatu yang mungkin tidak pernah dijangkakan. Ketika itu Saya hadir sebagai Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Tuan Guru, sehari selepas itu saya menerima pesanan untuk datang ke Ibu Pejabat PAS di Jalan Pahang.

Rupanya Ustaz Fadzil Noor mahu berbincang dan mendapatkan pandangan saya berhubung kemelut yang sedang memanas ketika itu.

Masih belajar di Birmingham

Saya diminta datang bertemu dengan almarhum bukan kerana ada sesuatu yang keramat pada JIM, sebealiknya pertemuan tersebut menuntut iltizam saya yang padu untuk membela dan melindungi sahabatnya, Anwar.

Katanya Ustaz Fadzil, apa yang berlaku ketika itu hanyalah sisi  yang tersirat.

"Apa yang tersurat, kita tunggu sedikit masa lagi," demikianlah kata-kata orang lama dalam dunia politik.

Detik hitam bertarikh 2 Sept 1998 yang menjadi cabaran besar kepada Anwar sudah pasti tidak menjadi penghalang kepada rakyat Malaysia untuk menggembleng tenaga mereka bagi menggerakkan reformasi yang besar.

Tuan Guru, Anwar ditahan tanpa bicara di bawah ISA pada 1974 dan dia hanya dibebaskan pada 1976. Pertama kali saya bertemu dengan Anwar adalah ketika musim sejuk 1976-77 di Portsmouth, United Kingdom.

Saya mula-mula kenal dan pertama kali bertemu dengan Ustaz Fadzil pula adalah di Manchester pada 1980. Ketika itu saya berada dalam tahun dua di University of Aston di Birmingham.

Kami bertemu dalam suatu mesyuarat yang turut dihadiri oleh Anwar selain Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dan beberapa orang pimpinan Abim dari London, dan pimpinan IRC (Islamic Representative Council) - sebagai tuan rumah - dari Manchester.

Anwar menyampaikan suatu mesej yang meminta agar diadakan pertemuan antara semua aktivis gerakan islah dan tajdid yang terlibat dalam kerja-kerja dakwah atau tarbiyah.

Tujuannya adalah untuk menyediakan saf yang akan membawa perubahan menyeluruh yang sedang melanda Malaysia.

Antaranya adalah perubahan yang diperlukan dalam hala tuju dan hala gerak PAS. Pimpinan tertinggi dalam PAS juga sedar perlunya cara yang lebih terbuka dilakukan oleh parti untuk menuju era baru.

Perubahan yang diperlukan ketika itu termasuklah dari segi nakhodanya sendiri.

Asri Muda

Anwar mencadangkan agar PAS diperkasa dengan penyertaan para ustaz dari Abim. Pada masa sama perbincangan dijalankan dengan presiden semasa PAS, Asri Muda, untuk menentukan masa yang sesuai bagi Anwar mengambil alih teraju kepimpinan parti.

Tuan Guru, saya hadir di jerayawara Anwar dengan Asri yang diadakan di universiti saya belajar.

Namun hidup ini, begitulah. Ketika manusia merancang ke suatu arah, tanpa kita ketahui Allah menghendaki sesuatu yang lain.

Tuan Guru, inilah masanya kita sama-sama kembali kepada hasrat yang telah diasaskan oleh kita bersama.

[Bersambung]

SURAT | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 1]


SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang, Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.