Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Ketamakan Zahid memakan BN

Inilah padahnya kalau tidak reti belajar dari kesilapan dan sejarah. Menyelak kamus keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-15 semalam, segala hal tentang BN menunjukkan takrif “memalukan”. 

Teringat ketika hujung hayat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu. PH diserang kiri, kanan, depan, belakang oleh pembangkang, antaranya tentulah oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 

Presiden parti paling otai di Malaysia itu menyambut kedatangan Bersatu yang keluar dari PH, menyebabkan gabungan itu tumbang di Putrajaya pada Feb 2020. Bersatu, Umno bersama PAS (dan yang lain-lain) akhirnya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), diterajui Muhyiddin Yassin daripada Bersatu. 

Tetapi ego tak pernah kenyang. Zahid dan konco-konconya berasa ‘tidak cukup’ dengan perkongsian kuasa – lebih-lebih lagi dengan Bersatu – maka serangan berlaku lagi. Zahid antara yang lantang tidak berpuas hati dengan agihan jawatan dan kuasa dalam PN, dan (banyak kali) mengugut mahu menarik sokongan. 

Maka Zahid dan konco-konconya pun menyerang PN, walhal mereka itu ibarat satu badan. Ibarat tangan kiri menumbuk kepala kerana tidak puas hati fungsi tangan kiri itu beristinjak, sedangkan di kepala ada mulut yang dapat menerima makanan. Ketika Muhyiddin dan PN diserang ekoran pergelutan ekonomi rakyat akibat Covid-19, antara yang lantang turut serta membantai adalah Zahid dan konco-konconya. 

Tumbanglah PN pada Ogos tahun lepas, dan turunlah Muhyiddin, digantikan dengan naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, sebagai perdana menteri baru kepada kerajaan Keluarga Malaysia, yang anehnya, turut mempunyai Bersatu sekali lagi sebagai sebahagian dari kerajaan. Ibaratnya, tangan kiri memenggal kepala untuk menjadi kepala baru, kemudian kepala yang terpenggal tadi dijahit semula sebagai tangan kiri.

Di sinilah Zahid kelihatan sangat tidak bijak. Dia tahu, dua tahun lepas adalah waktu yang sukar buat Malaysia. Negara tidak pernah berdepan konflik seperti Covid-19, maka tiada jejak lampau untuk diikuti. Pendek kata, kita dalam eksperimen – kitalah tukang ujinya, kitalah tikus makmalnya. Apa-apa tindakan sekalipun, pasti tetap ada ‘tidak puas hatinya’. 

Dan Zahid tersalah faham satu perkara. Membangkang itu mudah. Kita hanya perlu mempersoal untuk nampak bijak, walaupun mungkin persoalan kita tidaklah bernas mana dan tidak membawa kepada buah penyelesaian. Mudah untuk tampak bijak ketika membangkang. 

Berbeza dengan kerajaan yang bukan hanya perlu menjalankan dasar, tetapi juga perlu mempertahankan dasar yang menerima serangan dari semua arah. Susah untuk tampak bijak menjadi kerajaan.

Memanglah mudah untuk Zahid tersalah faham, kerana meski BN itu kerajaan sekalipun, dia berlagak seolah-olah dia itu pembangkang. Mungkin sebab itu Zahid terasa bijak kerana setiap masa hanya membangkang sahaja.

Tergaru juga kepala apabila Zahid dan konco-konconya masih tidak berpuas hati meskipun perdana menteri sudah di tangan mereka. Kali ini mereka mahu berkuasa penuh. 

Dia terlupa, sejak tahun lepas, mereka dominan dalam kerajaan, mereka jugalah perdana menteri. Maksudnya, walaupun bernama Keluarga Malaysia, orang melihat kerajaan itu sebagai BN. 

Makanya, kerajaan BN yang baru itu telah menggantikan PN dalam menerima kecaman demi kecaman apabila Malaysia masih merangkak untuk pulih dari kesan pandemik. Ismail Sabri yang menggantikan Muhyiddin itulah yang menjadi susuk disangkutkan segala tanggungjawab atas tidak puas hati orang dan pembangkang. 

Tahun lepas, boleh sahaja Zahid membiarkan Muhyiddin dan PN (Bersatu terutamanya) menjadi kambing hitam terhadap segala masalah. Kalau ikut baki penggal, tarikh luput PRU15 pun bukannya lama lagi dari jadualnya. Dia hanya perlu bersabar, dan BN mampu menjadi pesaing bergaya apabila tiba PRU. 

Tetapi, entahlah kerana tamak haloba, atau semata-mata kerana tidak cerdik, tindakannya mahu BN segera menjadi ‘kepala baru’ pada tahun lalu seolah-olah sengaja menggantikan Muhyiddin dan PN untuk berbaring di atas papan cincang, menadah kepala di atas alas penggal. 

Akibatnya, BN dan Ismail Sabri terus mengalami defisit keyakinan, dan Muhyiddin dan PN diam-diam mengaut untung percuma. 

Dan setelah semua itu, Zahid masih ada muka untuk menggesa PRU disegerakan. 

Keputusan semalam itu bukan salah siapa-siapa, melainkan salah Zahid dan Zahid sendiri. Dia selaku presiden Umno, nyawa-nyawa ikan menang di kawasan sendiri (Bagan Datuk) dengan majoriti hanya 348 undi! 

Ketika bekas presiden Umno Najib Razak berdepan maha-konflik 1MDB yang menyebabkan BN dihukum kekalahan besar pada PRU-14 yang lalu pun, dia masih berjaya menang di Pekan dengan majoriti hampir 25,000 undi. 

Ketidakcerdikan Zahid akhirnya telah makan diri. Tindakannya telah memakan BN dan dirinya sendiri. Ketamakan Zahid, telah memakan BN.

Itupun, entah-entah Zahid belum kenyang lagi.


FARRHAN ABDUL ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.