Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Ringgit lemah: Harga kos tunai umrah dijangka naik - Matta

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menjangkakan peningkatan kos bagi menunaikan umrah disebabkan kadar mata wang ringgit Malaysia yang semakin lemah.

Peningkatan kadar penukaran mata wang ini juga berpunca kepada kenaikan harga penginapan dan harga tiket penerbangan ke Arab Saudi.

Hal ini mengakibatkan harga pakej umrah dijangka meningkat kepada 10 peratus ke 30 peratus oleh syarikat pengendali umrah.

Perbincangan bersama Motac antara Matta dan persatuan-persatuan yang berkaitan perlu diadakan segera bagi mendapat persetujuan untuk meletakkan harga lantai baru supaya menjadi garis panduan kepada jemaah dan bagi memastikan pihak pengendali umrah tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga umrah ini.

“Permintaan yang luar biasa setiap tahun mengakibatkan penerbangan ke Arab Saudi tidak mencukupi, dan sebahagian pengendali umrah terpaksa mengatur semula jadual penerbangan jemaah bagi memenuhi setiap permintaan ini,” kata Naib Presiden Umrah dan Haji, Haji Mohd Azri bin Abd Razak.

Permasalahan ini masih berlarutan sehingga Disember 2022 dan kebanyakan jemaah sudah membuat perancangan untuk mengerjakan ibadah ketika cuti sekolah dan cuaca yang lebih sejuk di Arab Saudi.

Azri berkata walaupun Matta telah mengadakan sesi libat urus bersama Motac dan MAS untuk menangani isu ini, tetapi perkara ini adalah di luar kawalan kami kerana pertumbuhan ekonomi pelancongan yg semakin rancak dalam menunaikan umrah.

Matta berharap kepada bakal jemaah umrah untuk membuat persiapan lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan pada masa akan datang.


AHMAD AUZA'IE ROSELAN ialah Eksekutif Komunikasi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.