Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Sebagai PM, Ismail Sabri perlu dipertanggungjawabkan

Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak) sama sekali tidak terkejut dengan skandal rasuah yang menjadi-jadi sekarang.

Sejak awal Gerak tegaskan soal integriti tidak boleh dikompromi. Mengangkat dan mengiktiraf Ismail Sabri sebagai perdana menteri adalah salah walaupun atas nama kestabilan.

Dunia tertawa melihat hanya di Malaysia tidak ada seorang pun pembesar negara dihukum dan dipenjara. Kita hanya riuh rendah seketika dan selepas itu seorang demi seorang lepas bebas.

Terbaru adalah skandal projek kapal tempur pesisir (LCS), itu pun kerana didedahkan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Entah berapa lagi skandal membabitkan bilion ringgit yang tidak sempat didedahkan ada dalam negara ini.

Berapa banyak projek tanpa tender di kementerian-kementerian sejak Ismail Sabri menjadi perdana menteri? Jutaan ringgit disapu kroni dengan nama selective tender (sebenarnya direct nego).

Gerak percaya Ismail Sabri sebagai perdana menteri hari ini sama sahaja dengan perdana menteri-perdana menteri sebelum ini yang tidak pernah dan tidak mahu melihat rasuah sebagai masalah utama negara.

Mereka boleh buat apa sahaja malah pinda undang-undang tetapi tidak dalam soal rasuah, walhal ia masalah nombor satu negara dan akan menjahanamkan negara ini.

Malah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pun sanggup dimansuhkan, tetapi tidak Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana ia adalah pelindung bagi perasuah.

Justeru Gerak putuskan untuk memberi tumpuan bagi memastikan Ismail Sabri dipertanggungjawabkan. Dia mesti diberi penentangan kuat dan sengit apabila dia bertanding dalam PRU15 nanti.

Gerak mahu memberi isyarat jelas kepada siapa sahaja yang menjadi perdana menteri. Mereka mesti serius tangani rasuah atau akan ditentang habis-habisan oleh kami.

Saya menyeru seluruh anggota dan simpatisan Gerak khususnya di Pahang dan Pantai Timur untuk mulakan langkah sekarang.Saya terima saranan rakan-rakan dan saya sendiri akan pikul tanggungjawab mengetuai misi ini.

Sekembalinya ke tanah air akhir Ogos ini, saya akan segera ke Pahang.


MOHAMAD EZAM MOHD NOR adalah pengerusi Gerak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.