Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Kerajaan perlu tubuhkan RCI PenjanaKerjaya

Kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat lebih terperinci dan mengambil tindakan terhadap pihak terlibat dalam skandal Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) tidak kira sama ada daripada kementerian, agensi, syaraikat dan individu yang menyalagunakan wang rakyat.

Pada bulan lepas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggantung bayaran Program PenjanaKerjaya berjumlah RM423 juta susulan kes penyelewengan dana oleh syarikat berstatus sendirian berhad.

Pada 14 Julai 2022, pasangan suami isteri direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dana insentif program PenjanaKerjaya bernilai lebih RM1.2 juta. 

Apakah tindakan selanjutnya oleh pihak SPRM selepas mereka direman untuk membantu siasatan? 

Pada 15 Julai 2022 SPRM berkata seramai 37 individu yang dipercayai menggunakan platform PenjanaKerjaya untuk membuat tuntutan palsu sehingga RM100 juta.

PenjanaKerjaya bertujuan merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari kerja tempatan. 

Kementerian Sumber Manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini melalui Penyedia Perkhidmatan Pekerjaan Negara, Perkeso.

Menteri yang bertanggungjawab perlu ada sikap akauntabiliti serta membentangkan segala laporan di parlimen dan nyaklasifikasikan segala dokumen yang melibatkan PenjanaKerjaya untuk pengetahuan umum.

Kes yang melibatkan rasuah, penyelewengan, ketirisan serta penyalagunaan kuasa tidak boleh ditolak ansur oleh mana-mana pihak, wajar didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman berat.


R YUNESWARAN ialah anggota Majlis Pimpinan Pusat merangkap ketua PKR Tebrau.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.