Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Tidak jejas hubungan baik Tok Mat-Najib

Semalam (Selasa, 5 Julai) heboh timeline media utama di Malaysia selepas disiarkan temu bual eksklusif antara Tok Mat (Mohamad Hasan, timbalan presiden Umno) dengan agensi media Asia Times.

Dalam temu bual berkenaan, Tok Mat antara lain memberikan pandangan dan komentar mengenai prosiding mahkamah yang dihadapi oleh bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Najib Razak berkenaan isu SRC International dan 1MDB.

Adalah lumrah dalam politik apabila banyak pihak akan membuat macam-macam tafsiran mengikut kehendak dan selera masing-masing, terhadap pandangan dan komentar yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin.

Musuh sudah tentulah menangguk di air keroh memainkan isu ini mengikut naratif jahat mereka untuk melemahkan Umno dan cuba memainkan sentimen adu domba dalam kalangan pemimpin.

Apa yang mustahak adalah perkara ini tidak dijadikan sebab untuk menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pemimpin, sekaligus alasan untuk mewujudkan perpecahan dan kestabilan dalam parti.

Pimpinan dan orang parti perlu terus dan kekal fokus untuk berdepan dengan PRU-15.

Sebagai pimpinan dalam sayap Umno, saya yakin apa jua pandangan dan komentar Tok Mat seperti yang dilaporkan dalam temubual berkenaan tidak akan menjejaskan hubungan akrab serta persefahaman baik antara Tok Mat dengan Najib.

Keakraban dan persefahaman baik mereka berdua juga telah terbukti dan diterjemahkan dalam banyak kejayaan Umno/BN dalam siri PRK & PRN.

Saya juga percaya kedua-dua susuk pemimpin ini sentiasa meletakkan kepentingan dan masa depan parti lebih daripada segala-galanya, tanpa menjadikan laporan Asia Times ini sebagai alasan untuk memulakan sengketa peribadi dan berdusta sesama mereka.


NOOR AZLEEN AMBROS ialah exco Pemuda Umno merangkap ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.