Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Desakan bubar MPN bukti ada pemimpin hanya pentingkan politik

Baru baru ini terdapat desakan daripada pemimpin-pemimpin politik supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh mantan perdana menteri, Muhyiddin Yassin dibubarkan.

Desakan yang dimulakan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan disambut mantan perdana menteri dan penasihat BN Najib Razak turut disokong oleh seorang lagi mantan perdana menteri iaitu Dr Mahathir Mohammad.

Desakan untuk membubarkan MPN ini jelas membuktikan bahawa tokoh-tokoh politik ini tidak mengendahkan nasib dan masa hadapan negara dan sebaliknya hanya sibuk untuk berpolitik.

Pandemik Covid-19 telah memberi tamparan yang besar kepada ekonomi Malaysia. MPN yang ditubuhkan ketika Muhyiddin masih menjawat jawatan perdana menteri telah merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah berjaya membawa negara ke luar daripada kemelut pandemik dengan jayanya melalui empat fasa, dengan nilai-nilai ambang yang transparen dan mudah difahami rakyat termasuk kadar vaksinasi yang begitu cemerlang.

Hasilnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari suku keempat 2021 apabila negara berada pada fasa keempat PPN berada pada tahap positif dan memberangsangkan. Ini dipandu oleh peningkatan aktiviti ekonomi dalam beberapa sektor utama seperti pembuatan dan peningkatan eksport negara selari dengan pembukaan penuh sektor-sektor ini.

Namun demikian, seperti mana yang kita sedia maklum, cabaran ekonomi global pada tahun 2022 ini amat berat. Perang di Ukraine, lockdown yang berpanjangan di China meningkatkan tekanan inflasi domestik berikutan gangguan rantaian bekalan terutamanya untuk bahan makanan. Untuk meredakan tekanan inflasi global, bank pusat seperti Federal Reserve (Fed) di Amerika Syarikat, telah menaikkan kadar faedah mereka untuk menundukkan tekanan inflasi. Langkah Fed ini menyebabkan banyak bank pusat di negara negara lain termasuk Bank Negara Malaysia mengambil langkah yang sama. Apabila kadar faedah naik, kos pinjaman juga naik, maka aktiviti ekonomi mungkin menjadi lemah terutamanya jika perniagaan menjangkakan bahawa bank pusat akan menaikkan lagi kadar faedah.

Sebagai negara berdagang, Malaysia turut terasa tempias cabaran ekonomi global hari ini. Seperti yang kita lihat dan rasai, harga barang naik mendadak. Semua ini memberi risiko kepada proses pemulihan ekonomi Malaysia.

Dalam negara berhadapan cabaran seperti ini adalah tidak wajar untuk sesetengah pihak mendesak agar MPN dibubarkan. MPN befungsi sebagai badan penasihat kerajaan yang dianggotai menteri kabinet, ahli parlimen dari pembangkang, pakar ekonomi, tokoh korporat dan pakar sosio ekonomi. Pemikir-pemikir ini mempunyai pengalaman dan kepakaran yang diiktiraf dalam bidang masing-masing. Dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis ekonomi yang begitu berat, majlis seperti ini memberi keyakinan kepada komuniti perniagaan dan pelabur tentang halatuju ekonomi negara.

Jika dilihat kepada cadangan cadangan yang diutarakan oleh MPN setakat ini, seperti desakan mempercepatkan pembukaan sempadan negara, penyelesaian masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor sektor kritikal, masalah kekurangan pembiayaan dalam sektor perniagaan mikro kecil dan sederhana (PKS) serta masalah keciciran pelajar generasi pandemik, kebanyakkan cadangan ini diterima kabinet dan dilaksana untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara. 

Nilai tambah untuk ekonomi

Dengan mengetengahkan isu isu seperti ini dan juga mengadakan sesi dialog dan turun padang, MPN berjaya menunjukkan bahawa perbincangan di peringkat majlis mempunyai nilai tambah yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Namun demikian,  isu-isu penting seperti ini memerlukan penyelesaian jangka masa panjang dan sederhana, dan segala cadangan MPN itu perlulah dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan bagi memastikan hasil kelihatan dan ekonomi terus berkembang kukuh.

Proses pemulihan negara daripada pandemik bukan sesuatu yang mudah dan akan mengambil masa yang panjang. Adalah amat naif jika pemimpin pemimpin politik berpendapat bahawa MPN perlu dibubarkan hanya kerana kita sudah masuk ke fasa endemik Covid dan kabinet telah menubuhkan jawatankuasa jawatankuasa lain seperti Jihad Menentang Inflasi.

Pada hemat saya, MPN itu adalah untuk pemulihan negara untuk jangka masa yang panjang. Jadi apabila ada desakan supaya ia dibubarkan sekarang, ini membuktikan bahawa pemimpin yang berpendapat sedemikian hanya mementingkan politik dan bukan hala tuju masa hadapan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Berhentilah bermain politik. Negara sudah kerugian besar dengan ketidakstabilan politik dan politiking antara pemimpin. Ingatlah kata pujangga, ahli politik hanya memikirkan solusi untuk kitaran pilihan raya, namun seorang negarawan berfikir untuk jangka masa yang panjang ke hadapan. Jadi hentikanlah berfikiran untuk pilihan raya seterusnya dan berikanlah keutamaan kepada menyelesaikan masalah di masa hadapan. Pandemik ini memberi peluang kepada kita untuk menyusun semula ekonomi negara untuk membina keupayaan dan kecekalan ekonomi yang lebih baik untuk masa hadapan. Ketepikan pemikiran sempit dan desakan berbaur politik dan jadilah pemimpin yang berjiwa besar dan mengutamakan agenda negara dan rakyat.


DR M JOHARI ialah pembaca Malaysiakini dari Kuala Lumpur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.