SURAT | Kerajaan perlu cari penyelesaian kenaikan harga bahan binaan
SURAT | Dalam Laporan Indeks Kos Binaan (IKS), Ketua Perangkawan, Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bar keluli meningkat 20 peratus dengan harga purata bar keluli sebanyak RM3,910 setiap tan metrik berbanding RM3,258 per tan metrik pada Mei 2021.
Simen mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus pada Mei 2022 dengan RM20.89/50 kilogram (kg) berbanding RM18.61/50 kg pada Mei 2021. Harga rumah akan menerima kesan langsung akibat peningkatan harga ini.
Kenaikan harga komoditi seperti simen, bijih besi, aluminium dan tembaga adalah fenomena global yang tidak boleh dihentikan.
Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan untuk memikirkan penyelesaian segera di saat bahan-bahan asas pembinaan ini terus menunjukkan peningkatan harga.
Lonjakan ini juga dijangka akan didorong oleh kenaikan kos pembinaan berpunca dari masalah rantaian bekalan bahan binaan dan tenaga kerja.
Pelbagai faktor lain seperti premium tanah yang tinggi, permintaan dari pembeli luar negara dan juga pembeli spekulator turut menjadi faktor langsung kepada pasaran harga rumah.
Berdasarkan kajian dan kenyataan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), jika kos pembinaan terus meningkat dan pemaju tidak boleh menyerap kenaikan ini, kemungkinan besar pengguna yang akan menanggungnya.
Oleh kerana kos bahan binaan menyumbang 50% hingga 60% dari jumlah nilai pembangunan projek, kenaikan kos pembinaan sebanyak 20% akan menyebabkan kenaikan harga rumah sebanyak 10%.
Ini pasti akan menimbulkan kebimbangan tentang kemampuan pemilikan rumah di kalangan rakyat. Keadaan menjadi lebih mencabar akibat ramai yang mengalami tekanan kewangan berpunca daripada pandemik Covid-19 serta kos sara hidup yang lebih tinggi yang telah menjejaskan pendapatan mereka.
Harga rumah jauh terpisah dari pendapatan isi rumah. DPIM menggesa kerajaan untuk terus meningkatkan bekalan rumah mampu milik yang selesa untuk semua.
Kerajaan sebenarnya boleh memperlahan permintaan bar keluli dan simen. Apabila permintaan bar keluli dan simen domestik merosot, harga pasaran domestik dapat dikawal.
Tanpa bekalan tambahan semasa tempoh tersebut dan aktiviti pembinaan yang perlahan, secara teorinya harga domestik keluli akan jatuh.
Namun begitu, disebabkan banyak lagi faktor lain seperti premium tanah dan sebagainya, kerajaan juga perlu melihat kepada penyelesaian untuk membina rumah mampu milik di pinggir kota.
Kita tidak mahu rakyat generasi milenia dan anak muda hari ini hidup tanpa memiliki rumah kediaman.
Shahir Adnan merupakan Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) merangkap pengerusi Ikatan Negeri Kelantan
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai