Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Beragama tanpa akal

Agama dikatakan sebagai keyakinan dan kepercayaan bagi seseorang dalam mengisi ruangan kosong dalam hati manusia tanpa ada rasa keraguan. Setiap agama menganjurkan nilai kebaikan kepada penganutnya untuk membenihkan keharmonian di sesuatu tempat, selaras penggunaan akal untuk berfikir secara rasional.

Penggunaan akal yang waras dalam beragama amatlah penting bagi memastikan agama yang dianuti tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan terkutuk yang mampu memberi penghinaan kepada penganut dan agamanya. Agama juga menggalakkam penganutnya untuk terus menggunakan akal untuk berfikir secara rasional bagi memastikan kelangsungan hidup agama itu terus subur.

Akal tanpa beragama akan membentuk satu masyarakat yang tidak berjiwa serta melahirkan insan yang sombong,bongkak,ego dan tidak mempunyai perikemanusiaan. Selanjutnya agama tanpa akal akan membentuk satu masyarakat yang taksub,tidak bertoleransi dan kolot dalam membuat sebarang keputusan serta hukuman.

Atas dasar itu,wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang mengakui memperjuangkan dan membawa suara agama tetapi melalui jalan keganasan sehingga berlaku pertumpahan darah. Suara agama itu indah, datangnya dengan cara pujukan dengan hati yang lembut dan ikhlas untuk menarik hati setiap manusia. Jika darah menjadi bayaran untuk beragama, maka akal menjadi pertaruhan.

Sama ada agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian atau yang lain semuanya menuntut supaya penganutnya untuk berfikir menggunakan akal  secara waras kerana itu yang membezakan penciptaan manusia dengan binatang.

Keindahan pelangi mampu terlihat tatkala dua unsur cahaya dan air berjaya disatukan sehingga membentuk kepelbagaian warna di langit. Begitu juga hidup dalam beragama, jika nilai kasih sayang dan hormat menghormati disatukan maka akan terbentuk sebuah masyarakat yang toleransi dan saling melengkapi walaupun berbeza dari segi kepercayaan, kitab, kiblat atau ritual.


MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN ialah seorang aktivis NGO.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.