Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Panggil sidang khas, biar rakyat nilai siapa kerajaan cap ayam

Inti pati tuduhan Najib Razak di Konvensyen BN Kuala Lumpur semalam hanyalah ulangan yang telah dijawab oleh pimpinan PH. Beliau cuba mengalih perhatian selepas Pemuda Amanah menggambarkan kerajaan hari ini, kerajaan cap ayam.

Najib Razak berusaha menarik simpati perwakilan BN dan rakyat bagi menggambarkan beliau adalah mangsa ketidakadilan, sedangkan beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan kekal bersalah di Mahkamah Rayuan atas tujuh pertuduhan pecah Amanah dan penyelewengan.

Konvensyen BN sepatutnya diambil kesempatan mengangkat isu permasalahan rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup dan barang keperluan yang naik mendadak. 

Kerajaan hari ini ialah kerajaan BN bersama PN yang gagal mengawal harga ayam, minyak masak dan barangan keperluan harian rakyat. Malah memberikan solusi yang tidak masuk akal. Kerajaan inilah sebenarnya kerajaan cap ayam walaupun terdapat lebih 70 menteri dan timbalan menteri.

Justeru Pemuda Amanah dengan itu menggesa sekali lagi, satu sidang khas Dewan Rakyat perlu diadakan dengan segera, bagi membolehkan ahli parlimen membahaskan isu peningkatan kos sara hidup, krisis keselamatan makanan dan harga barang yang sangat membebankan rakyat sejak kebelakangan ini. 

Sekiranya tiada tindakan tuntas dan segera diambil, Pemuda Amanah tidak teragak-agak untuk menggerakkan rakyat khususnya anak muda bagi menyuarakan kerisauan dan kemarahan kami kepada kerajaan cap ayam ini!


AZAM MEKTAR ialah pengarah Komunikasi Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.