Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT l Penjelasan Persatuan Jurufalak Syarie mengenai tarikh 1 Syawal

SURAT l Malaysia mengamalkan rukyah dan hisab dalam penentuan 1 Syawal 1443 berdasarkan nas yang sahih; Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban” (Sahih Bukhari).

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) merupakan badan yang berautoriti menghitung kedudukan anak bulan. Data-data akan diperhalusi oleh Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Data rasmi kedudukan anak bulan bagi titik paling barat Malaysia.

Justeru, data jelas menunjukkan kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria imkanurukyah (KIR) Mabims (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Malaysia, Brunei, Malaysia dan Singapura).

Oleh itu, pendapat mengatakan bahawa anak bulan pada 29 Ramadan 1443 telah memenuhi syarat imkanurukyah dengan berpandukan kiraan pihak tertentu membolehkan 1 Syawal 1443 di Malaysia jatuh pada 2 Mei lalu adalah tidak tepat.

Ini kerana mengikut kaedah yang diamalkan di Malaysia, rukyah merupakan kaedah utama dalam penentuan awal bulan Syawal di samping kaedah hisab.

Mengikut hisab, kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria imkanurukyah dan peluang kenampakan tetap ada walupun agak tipis. Sehubungan itu, SS Mufti-Mufti akan mengetuai cerapan anak bulan di 29 lokasi rasmi seluruh Malaysia. Sekiranya anak bulan kelihatan dan disahkan oleh pihak berwajib, maka tarikh 2 Mei diumumkan sebagai 1 Syawal 1443 secara rasmi oleh pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Sekiranya anak bulan tidak kelihatan pada 29 Ramadan 1443 (1 Mei 2022), Malaysia akan menyambut 1 Syawal pada 3 Mei.

Justeru, keputusan muktamad mengenai tarikh 1 Syawal 1443 sama ada 2 Mei atau 3 Mei adalah mengikut pengumuman rasmi oleh pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Marilah kita menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini.

Persatuan Jurufalak Syarie (Jufas) mengucapkan selamat menunaikan fardu kifayah kepada Ahli Jawatankuasa Rukyah Negeri seluruh Malaysia dan semua yang terlibat dalam usaha mencerap anak bulan Syawal 1443. Semoga usaha dan pengorbanan anda semua dibalas dengan sebaik-baik ganjaran dari Yang Maha Esa.


Persatuan Jurufalak Syarie (NGO’s) yang dianggotai oleh kakitangan yang bertugas atau pernah bertugas dalam bidang falak. Juga mereka lulusan universiti awam/swasta atau institusi berkaitan falak/astronomi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.