Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Adakah perlu jadikan Felda sebagai modal setiap kali pilihan raya?

Sudah jelas setiap kali pilihan raya, modal berkempen oleh Barisan Nasional adalah Felda antara tumpuan utama bagi meraih undi.

Saya tidak melihat permainan menuding jari antara satu sama lain mengenai masalah Felda di antara bekas Perdana Menteri Najib Razak dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali sebagai sesuatu yang sihat.

Saya percaya para pengundi terutamanya di 72 tanah rancangan Felda di Johor merangkumi 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah lali dan jemu dengan modal politik ini semenjak bertahun-tahun di kala demam pilihan raya.

Saya sedar bahawa modal kancah Felda dengan usaha bertali arus ke dalam lubuk fikiran generasi peneroka Felda sewaktu berkempen pilihan raya, tidak kira samada, pilihan raya umum atau pilihan raya kecil mahu pun pilihan raya negeri seperti yang kita lihat dengan PRN Johor kini, tidak akan membantu memulihkan atau menyelesaikan masalah Felda dengan kadar segera mahu pun meningkatkan kualiti taraf hidup mereka dalam sekelip mata.



Sebaliknya, saya mengharapkan pengundi Johor mendesak jawapan untuk soalan-soalan berikut:

i) Berapakah jumlah peneroka Felda di 72 Tanah Rancangan Felda di Johor?

ii) Daripada jumlah tersebut, berapakah jumlah peneroka Felda yang hidup selesa dan beroleh kejayaan sehingga ke hari ini termasuk generasi ke-2 dan ke-3?

iiI) Daripada jumlah tersebut, berapakah jumlah peneroka yang masih lagi dibebani hutang dan hidup di bawah paras kemiskinan termasuk generasi ke-2 dan ke-3?

Berani untuk menjawab?

Seharusnya, fakta dan data perlu dijelaskan kepada para pengundi Johor khususnya warga Felda untuk mereka membuat keputusan yang terbaik pada hari mengundi.

Pemimpin Barisan Nasional dan Perikatan Nasional amat bijak kerap mengulangi retorik lama tanpa menyentuh fakta atau data terkini untuk menjelaskan masalah yang dihadapi oleh warga Felda.

Seribu satu pelan atau program pemulihan Felda, mahupun seribu satu kertas putih tidak akan mengubah nasib dan masa depan peneroka Felda.

Hanya kerajaan yang jujur, yang berani mengakui kelemahan dan kesilapan, yang akan mampu mengubah nasib peneroka Felda.

Sehingga masa itu tiba, pemimpin politik akan terus mempolitikkan isu Felda setiap kali pilihan raya demi kepentingan diri sendiri dan kuasa.


MANIVANAN GOWIN ialah Timbalan Ketua Penerangan Pusat Parti Keadilan Rakyat

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.