SURAT | 3 langkah untuk industri pertahanan lebih terbuka, kompetitif
SURAT | Penahanan beberapa orang kakitangan sebuah anak syarikat Boustead Holdings Bhd (Boustead) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan untuk projek perolehan kapal littoral combat ship (LSC) atau kapal tempur persisir.
Projek LCS yang sepatutnya melihat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima enam buah kapal tempur bemula 2019 telah diberhentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ekoran siasatan pihak berkuasa ke atas penyelewengan projek bernilai lebih RM 9 bilion itu.
Namun begitu, saya amat bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menyatakan, isu LCS masih belum selesai, walaupun SPRM kelihatan sudah mula mengambil tindakan.
Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan perkara itu tidak berulang lagi, baik dalam projek LCS ataupun projek-projek perolehan lain dalam industri pertahanan.
Lagipun, Ismail Sabri sendiri - ketika menjawat jawatan menteri pertahanan - memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan projek LCS demi kepentingan TLDM.
Nada yang sama turut dimainkan oleh Menteri Kanan kini, Hishammuddin Hussein.
Sememangnya, projek LCS perlu diteruskan kerana ia membawa manfaat yang cukup besar kepada sistem pertahanan negara. Namun, kerajaan perlu bijak mengambil peluang ini dengan melakukan beberapa perubahan untuk memastikan bukan sahaja projek terbabit diteruskan malah masalah yang dihadapi tidak berulang.
Tak perlu orang tengah
Sebagai seorang yang terlibat dalam industri pertahanan, saya amat mengharapkan agar siasatan berkenaan isu LCS ini membuka mata para pemimpin dan pembuat dasar negara tentang perlunya perubahan menyeluruh sistem perolehan yang diguna pakai kerajaan terutamanya yang menyentuh industri pertahanan.
Sebenarnya, industri pertahanan negara mempunyai peluang yang amat besar untuk berkembang sebagai industri utama yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia pascapandemik Covid-19.
Namun, sistem perolehan kerajaan juga perlu ditambah baik untuk memastikan industri berkenaan dapat berkembang dengan terbuka dan sihat.
Saya mencadangkan tiga perubahan yang boleh memastikan industri pertahanan negara menjadi lebih terbuka dan kompetitif.
Pertama, terlalu ramai pemain dalam industri yang sekadar menjadi orang tengah atau broker projek. Ini perlu dihentikan.
Untuk perolehan aset strategik, kerajaan melalui entiti kerajaan boleh berunding terus dengan pengeluar. Tidak perlu menggunakan orang tengah. Budaya orang tengah ini terlalu mudah untuk disalah guna bagi menghalalkan rasuah.
Kedua, untuk nilai projek yang besar - misalnya melebihi RM1 bilion - mekanisme pemantauan oleh badan bebas perlu diwujudkan bagi menjamin projek itu dijalankan dengan telus dan lancar.
Ini amat penting untuk menggalakkan sistem semak dan imbang yang berkesan sambil memastikan KPI yang ditetapkan, dipatuhi sebaik mungkin.
Ketiga, sistem pembayaran oleh kerajaan dalam perolehan aset ketenteraan perlu berdasarkan tahap kesiapan, bukannya bergantung pada garis masa.
Bayaran hanya dibuat apabila tahap kesiapan yang dipersetujui dalam garis masa pengurusan peojek dipenuhi. Misalnya apabila siap 30 peratus projek, 30 peratus bayaran dibuat oleh kerajaan.
Industri pertahanan negara kini dilihat sebagai lubuk emas yang penuh kekotoran dan cukup tidak berintegriti.
Saya percaya jika cadangan-cadangan ini diterima dan diguna pakai kerajaan, imej buruk industri pertahanan negara dapat dibaik pulih. Ini akan menjana pertumbuhan industri pertahanan negara yang seterusnya akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan.
Apa yang lebih penting, kerajaan perlu mengambil langkah yang berani.
Saya merayu kepada Ismail Sabri agar tidak mensia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan industri pertahanan negara ini berada di landasan yang tepat.
Teruskan projek LCS, tapi tambah baik proses dan mekanisme supaya masalah yang sama tidak berulang.
Pastikan kapal-kapal ini siap dan boleh beroperasi secepat mungkin mengawal dan mempertahankan kedaulatan perairan negara. Ini adalah masanya untuk kerajaan menunjukkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.
Memang negara di ambang pemulihan dan banyak wang yang diperlukan untuk proses ini. Tetapi, fikirlah dengan berpandangan jauh dan dengan mendalam. Kalau dihentikan projek ini, kerajaan hanya akan menanggung kerugian serta pembaziran!
Apa pula yang akan terjadi dengan mereka yang berada dalam rantaian bekalan projek terbabit? Adakah mereka akan kehilangan mata pencarian dan gulung tikar?
Apakah impak kepada kebajikan dan moral warga Angkatan Tentera Malaysia? Bagaimana pula dengan keselamatan negara?
Sesungguhnya, tiada harga dan nilai yang boleh diletakkan kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Gunakanlah kuasa yang ada dengan bijak. Saya dengan rendah diri berharap agar perdana menteri berfikiran jauh dan meletakkan kepentingan kedaulatan dan keselamatan negara di tempat teratas dalam apa jua pertimbangan.
MD KASSIM ialah pembaca Malaysiakini dari Kuala Lumpur.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai