SURAT | Pastikan ramai keluar mengundi jika mahu kalahkan BN
SURAT | Dalam keadaan semua parti sukar untuk menang, maka siapa menang dalam PRN Johor ini sudah tidak penting.
Yang penting rakyat perlu keluar mengundi beramai-ramai. Ini juga adalah mesej kepada Umno BN bahawa manipulasi mereka untuk menggagalkan usaha parti-parti bukan kerajaan untuk meraih undi, berjaya dipatahkan.
Umno BN ‘gembira’ jumlah keluar mengundi rendah sebagaimana di Sabah dan Melaka, kerana dengan formula ini sahaja akan dapat membantu mereka untuk kembali berkuasa.
Sifir ini sepatutnya sudah jelas buat kita semua sejak PRN Sabah dan PRN Melaka.
Oleh yang demikian, parti-parti bukan kerajaan harus berusaha berkempen bukan hanya untuk lawan Umno semata-mata, tetapi berkempen untuk memastikan rakyat keluar mengundi seramai mungkin.
Sifir kita dari blok bukan Umno BN kena segera berubah. Atau, kita akan kalah dua kali dengan Umno BN. Kekalahan pertama apabila calon Umno BN menang, dan kekalahan kedua apabila jumlah undi di peti undi, rendah. Kita tak harus membiarkan perkara ini terjadi.
Orang parti mahu calon parti mereka menang, itu wajar dan tidak salah. Namun, ia tak semestinya benar dalam kerangka politik yang lebih luas.
Perspektif saya ini jauh dari kerangka politik kepartian – yang hanya mahu calon parti menang, malah perspektif saya ini mungkin tidak popular dan tak digemari oleh mereka yang berparti.
Kita harus melihat bahawa Umno ini bukan sahaja musuh politik kepada parti politik semata-mata. Tetapi Umno BN ini musuh demokrasi.
Kenapa saya katakan begitu? Ini kerana Umno memanipulasi sistem demokrasi dengan cara yang cukup licik hingga menjadikan sistem pilihan raya nyahfungsi (disfunction).
Seperti yang saya utarakan sebelum ini, apabila sistem pilihan raya dipergunakan dengan mengadakan pilihan raya mengejut (PRN Johor) dalam suasana ekonomi, keselamatan, kesihatan yang kritikal, maka kesannya ialah pada jumlah pemilih yang keluar mengundi.
Ini akan merosakkan keseluruhan idea demokrasi iaitu untuk membuka sebanyak mungkin ruang dan peluang kepada pemilih (rakyat) untuk memilih yakni keluar membuang undi. Kerana itu saya katakan, UMNO BN ini bukan lagi musuh politik parti, tetapi musuh demokrasi.
Kita harus kembali kepada rakyat kerana hanya dengan kuasa rakyat terbanyak sahaja yang boleh menumbangkan hagemoni Umno BN ini. Lihat sahaja bagaimana bila rakyat beramai-ramai keluar mengundi pada PRU 18, BN boleh tumbang.
Rekod sudah ada, kita cuma perlu fokus pada kerangka utama politik. Mana-mana parti politik akan berpeluang menang dan berjaya apabila lebih banyak penglibatan politik (undi) dari kalangan rakyat. Ini perspektifnya.
Saya ulang kata, ketepikan sementara perbezaan politik kepartian dan pastikan rakyat keluar beramai-ramai untuk mengundi termasuk melalui undi pos.
Kita harus mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membantu kempen keluar mengundi beramai-ramai menerusi pelbagai cara dan pendekatan. Itu tugas SPR.
Suara saya amat kecil berbanding selebriti politik yang lain, namun saya harap persepktif sini dapat membantu pemimpin parti untuk merumus kembali usaha dalam PRN Johor demi kebaikan rakyat semua.
Inilah masanya untuk kita mengutamakan keluhuran demokrasi demi kebaikan sebuah rakyat, negeri dan negara.
MAHDZIR IBRAHIM, seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai