Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Kesatuan pembangkang harapan rakyat

SURAT | Angin bertiup kencang di Johor sejak mantan Menteri Besar Johor, Allahyarham Osman Sapian, meninggal dunia. Angin itu membadai lebih kuat apabila kerusi kerajaan dan pembangkang di dewan undangan negeri (DUN) Johor hanya dibezakan dengan satu kerusi sahaja.

Meskipun kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) saling bekerjasama bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat diatasi di Johor, namun umno sebagai parti utama dalam kerajaan tetap membubarkan DUN pada 22 Jan lalu.

Jelaslah di sini bahawa pembubaran itu bukanlah atas percaturan di antara kerajaan - pembangkang tetapi percaturan pemimpin Umno yang saling berlumba untuk memastikan mereka kekal relevan menuju PRU datang.

Lucu sebenarnya apabila Umno menyatakan pilihan raya negeri (PRN) di Johor itu diadakan bagi mewujudkan kestabilan politik kerana ia berlaku ketika tidak ada sebarang konflik berlaku.

Malah PH sebagai pembangkang di Johor berikrar untuk bersama kerajaan menangani masalah rakyat. Maka apa lagi yang Umno mahu?

Buat dasar untuk menganiaya rakyat hingga mendorong PH tidak menyokong? Atau Umno hanya mahukan kuasa penuh agar mekanisme semak dan imbang di Johor terhapus?

Apa pun Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, menerima surat pengisytiharan pembubaran, justeru PRN perlu diadakan.

Belajar dari Melaka 

Kini masa untuk PH khususnya bertindak dengan penuh strategik untuk memastikan apa jua yang berlaku sesudah ini memberi kesan positif kepada rakyat.

Pastinya memenangi PRN adalah matlamat utama PH di mana-mana pun. Tetapi yang harus dipertimbangkan ialah mengambil pengajaran penuh daripada apa yang berlaku di Melaka.

Hakikatnya, meskipun PH masuk sebagai satu pakatan di Melaka, namun ia gagal menterjemah kemaraan itu sebagai satu pasukan merempuh BN dan PN. Banyak pihak mengemukan kritikan ini selepas PRN itu berakhir.

Di sini penulis menyarankan agar semua pihak mengambil pengajaran di Melaka untuk memasuki gelanggang di Johor. Di Melaka setiap parti bergerak dengan jentera masing-masing, bersama formula masing-masing.

Tiada penyelarasan gerak kerja jentera antara parti. Ia amat mengecewakan para penyokong PH. Hanya beberapa pimpinan PH saja yang turun menyantuni pengundi di kawasan yang bukan partinya bertanding. Yang lain hanya menumpukan kepada kerusi parti masing-masing.

Tambah meresahkan ialah, warna apa yang nak digelombangkan? Putih atau merah? Jika dulu PH mara dengan slogan "Pilih biru yang lebih muda" kini gabungan pembangkang gagal menamakan satu warna standard sebagai strategi pemasaran paling asas untuk mempengaruhi pengundi.

Adakah wujudnya parti yang tidak mahu meredai penggunaan logo PH di Melaka menyebabkan propaganda warna dan logo lagi tidak diperluaskan?

PH punya kelebihan di Johor memandangkan ramai bintang politik pembangkang ada di sana. Misalnya Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, yang menjadi antara susuk sukar dicabar walau dia bertanding di mana-mana kerusi pun.

Dengan kedudukannya itu Lim mampu mempengaruhi pengundi di Johor untuk menyokong PH.

Naratif perlukan anjakan

Tidak ketinggalan, nama seperti Maszlee Malik yang kini menjadi ikon pendidikan dan wajar diberikan peranan bersama mengatur strategi di Johor.

Seterusnya, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir, yang harus diberikan tempat dalam jawatankuasa jentera PH memandangkan dia mewakili suara anak muda dalam PKR.

Amanah juga tidak ada kurangnya. Di Johor ada Salahuddin Ayub. Dengan pengaruhnya dia mampu membantu PH menawan Johor. Timbalan Presiden Amanah itu pernah menjadi menteri pusat dan memiliki kelebihan untuk menarik sokongan pengundi.

Penulis berpandangan, mantan ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Mazlan Aliman, wajar ditarik semula untuk bekerja bersama pasukan PH. Dia berpengalaman memimpin NGO yang memantau perjalanana Felda dan isu perladangan yang boleh membantu mendapatkan undi di kawasan sedemikian.

Naratif PH pula harus diberikan sedikit anjakan dengan memastikan tema Melayu dan bumiputera tidak diabaikan. Walaupun PH mengamalkan budaya politik sederhana, progresif dan demokratik, janganlah sampai isu Melayu Islam tidak langsung disentuh.

Menyentuh isu Melayu Islam tanpa memainkan isu perkauman adalah kaedah yang perlu dimainkan oleh PH dalam politik. Biar agenda memperkasa Melayu bumiputera dan kemakmuran saksama menjadi naratif kempen kali ini.

Di Johor peranan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak boleh dikesampingkan kerana setiap mereka mempunyai seorang ahli parlimen di Johor.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ada di Muar, manakala Bendahari Agung Pejuang, Shahruddin Md Salleh, di Sri Gading. Mereka tentu boleh memberi kesan dan pengaruh kepada pengundi Johor.

Penyokong PH pula perlu menerima bahawa kekuatan Muda dan Pejuang diperlukan bagi memaksimumkan kekuatan merempuh BN dan PN. Pada masa sama penyokong Muda dan Pejuang juga perlu meraikan hakikat bahawa mereka juga memerlukan PH jika mereka mahu menumbangkan BN dan PN.

Jika niat hanya mahu menjatuhkan BN dan PN tetapi tidak mahu bersama dalam kesatuan pembangkang, maka ia seumpama niat yang tidak disusuli dengan usaha.

Bergerak sebagai satu pasukan

Kenyataan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, yang menyatakan gabungan itu mahu bersama-sama dengan pembangkang dan NGO untuk memasuki PRN Johor adalah salam permulaan kepada perbincangan yang lebih lanjut antara mereka.

Jika sebelum ini PH sudah bereksperimen dengan berpadu bersama tiga parti saja, di Johor bolehlah dicuba bersama semua parti pembangkang dan melihat hasilnya.

Penyokong Anwar jangan gusar. Eksperimen ini tidak akan menggugurkan nama Anwar selaku calon perdana menteri. Malah hasil PRN Johor boleh menjadi bahan untuk menyusun gerak kerja untuk PRU akan datang.

Menamakan seorang calon menteri besar dan diangkat sebagai poster boy perlu dibuat sebelum PRN bermula. Walaupun ia akan mewujudkan pertikaian dalaman, menjadi tanggungjawab parti untuk menguruskannya.

Lebih penting, menamakan seorang calon menteri besar akan memberikan keyakinan kepada pengundi selain gerak kerja pakatan dapat diolah secara berpasukan.

Kedua, selesaikan agihan kerusi dan calon yang bertanding lebih awal. Elakkan perubahan pada saat-saat akhir. Bergeraklah sebagai satu pasukan yang jitu atas satu warna.

Jika kemenangan mampu dibulatkan sebagai fokus, maka separuh daripada kejayaan sudah digapai.

Kita mengakui jentera PH ramai yang hadir di Melaka, tetapi gerak kerja tidak seleras. Ramai di tempat tertentu tetapi lompong di tempat lain. Bayangkan untuk satu DUN hanya ada tiga atau empat orang saja petugas yang membuat culaan secara talian, sebaliknya di lapangan petugas melimpah-ruah.

Sebab itu agihan tugas mesti disusun sebaiknya.

Jawatankuasa khas yang diwujudkan dalam PH juga perlu diberi tanggungjawab mengatur bahan kempen berkaitan isu nasional. Contohnya, Jawatankuasa Pendidikan PH boleh menyediakan bahan kempen berkaitan kecurangan dan kelembapan kerajaan menguruskan sistem pendidikan negara.

Sekurang-kurangnya ia membantu dari aspek penyelarasan. Jangan kata isu nasional tidak berguna dalam PRN. Segala isu - selagi tidak memudaratkan - bangkitkanlah.

Akhirnya perlu diakui bahawa PH dan pembangkang perlu bekerjasama kali ini. Ia adalah rayuan dan ajakan ikhlas daripada mereka yang jelek dengan politik Umno serta pengkhianatan PN.

Rakyat pula perlu tahu bahawa PRN kali ini menentukan kedudukan BN dan PN dalam kerajaan.

Rakyat harus mengundi PH-pembangkang sebagai amaran dan protes rakyat kepada kegagalan BN dan PN. Jika PH-pembangkang menang di Johor, percayalah BN dan PN tak akan bertindak sesuka hati selepas ini.

Ia juga adalah peluang keemasan kepada rakyat untuk merasai kembali gelora reformasi yang digerakkan oleh PH selama 22 bulan tapi dibantutkan oleh Langkah Sheraton.

Wajar rakyat memberikan peranan kepada PH dan pembangkang pula menangani pandemik Covid-19 secara total atas peranan mereka sebagai kerajaan negeri.

Lihat keberkesanan kerajaan Selangor dan ayuh lakukan di Johor. Buat pemimpin pembangkang, selamat berpakat. Semoga Allah memberikan keberkatan.


SYAZMIR HN ialah pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.