Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | SAM bimbang penjaja insinerator akan pujuk k'jaan P Pinang

Sahabat Alam Malaysia amat bimbang dengan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang masih marak di bawah tanah walaupun api di permukaan dilaporkan telah dipadamkan dan terkawal.

Asap toksik yang menyelubungi kawasan sekitar telah menyebabkan pemindahan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berhampiran kerana boleh merisikokan kesihatan mereka.

SAM sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan pada 14 Januari meminta kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa berkaitan mengadakan siasatan dan menghebahkan punca kebakaran tapak pelupusan sampah tersebut.

Kami difahamkan tapak pelupusan sampah itu telah terbakar beberapa kali pada tahun lepas dan pada tahun-tahun sebelumnya terdapat aduan air larut resapan yang melimpah dari tapak pelupusan tersebut yang seterusnya mencemarkan perairan di sini dan turut menyebabkan kerosakan pada hutan bakau berhampiran.

Kami sedar ada perancangan bagi Tapak Pelupusan Sanitari Pulau Burung ini untuk dinaik taraf tetapi kami tidak melihat peningkatan dalam operasinya.

Malah dilaporkan oleh media pada Disember 2021 bahawa Majlis Bandaraya Seberang Perai telah menghantar notis kepada syarikat konsesi tapak pelupusan ini untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf di tapak pelupusan tersebut kerana penyelenggaraan lemah.

Gambar hiasan, pencemaran udara.

Daripada rentetan masalah yang dihadapi, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terperinci ke atas operasi syarikat ini.

Pulau Pinang disebut-sebut sebagai negeri dengan kadar kitar semula tertinggi di negara ini tetapi melihatkan kes-kes pembuangan terbuka, salah urus sisa dan prestasi tapak pelupusan Pulau Burung ini, ianya memberi gambaran tidak begitu baik terhadap prestasi pengurusan sisa negeri ini.

Kami kini bimbang bahawa penjaja insinerator akan mula memujuk kerajaan negeri dengan teknologi mereka. Daripada pirolisis kepada loji sisa kepada tenaga, teknologi sebegini telah ditayangkan sebagai penyelesaian kepada masalah pelupusan sisa.

Ada yang mendesak sifar tapak pelupusan dengan menawarkan pilihan insinerator. Tetapi sebenarnya, penunuan atau insinerator juga memerlukan ruang tapak pelupusan untuk membuang abu dasar.

Abu terbang yang lebih toksik dicirikan sebagai sisa berbahaya atau berjadual dan seharusnya menjalani proses penstabilan sebelum distor di tapak sisa berbahaya.

SAM berharap kerajaan negeri Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan gembar-gembur industri dan cadangan untuk pembakaran, pengegasan (gasifikasi), pirolisis dan insinerator terselindung lain, kerana data saintifik telah membuktikan bahawa teknologi ini penuh dengan risiko kepada kewangan, kesihatan, alam sekitar berbanding dengan manfaat yang dinyatakan oleh penggerak teknologi.

Pulau Pinang harus menjadi pelopor dalam menuju ke arah sifar sisa dengan pendekatan berasaskan komuniti bagi meningkatkan usaha pencegahan penjanaan sisa, pengurangan plastik, menggalakkan penggunaan semula, pembaikan dan pengkomposan sisa organik.

Pengasingan sisa mandatori di negeri ini mesti dikuatkuasakan dengan ketat dengan infrastruktur serta sistem pengumpulan yang baik dan kitar semula yang selamat.

Kami menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang dan kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Seberang Perai untuk mengkaji semula prestasi pengendali tapak pelupusan sampah Pulau Burung, dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan sebarang insiden yang membahayakan masyarakat di sini atau mencemarkan alam sekitar berlaku lagi.


MEENAKSHI RAMAN ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.