Imej SPRM tercalar, Azam Baki harus letak jawatan
SURAT | Rakyat Malaysia separuh mati bergelut dengan pandemik, musibah banjir, kos sara hidup yang membebankan sedang ada yang berkedudukan tinggi terus rakus untuk hidup selesa.
Rasuah tidak pernah menjadi instrumen menstabilkan negara, sekiranya penjawat awam boleh didakwa kerana berniaga di perusahaan, perkara sama juga harus dijalankan ke atas penjawat tertinggi SPRM.
Isu saham yang terpalit terhadap Azam Baki terbukti mencemarkan institusi yang seharusnya mengadili jenayah rasuah. Malah kenyataan ‘puas hati’ oleh Pengerusi LPPR yang bertindak menyiasat kes SPRM seolah kisah Pak Pandir bagi menjaga imej SPRM. Bagaimana mungkin isu rasuah yang berat melibatkan kepala SPRM diselesaikan oleh badan di bawah SPRM itu sendiri.
Di bawah seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang di deposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.
Seksyen 29A SICDA itu turut menetapkan semua urus niaga sekuriti itu hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang sah. Jelas alasan Azam Baki mustahil untuk diterima.
Seiring dengan prinsip agenda reformasi PKR, Azam Baki harus bersedia meletakkan jawatan secara terhormat demi menjaga nama baik SPRM yang merupakan sebuah badan yang membudayakan integriti dan memerangi jenayah rasuah.
Perbicaraan kes melibatkan jumlah saham yang melampau ini harus diadili dengan telus tanpa campur tangan pihak lain lebih-lebih lagi yang terkait SPRM itu sendiri.
Orang yang pemikiran cetek sekalipun mampu menilai kemunasabahan alasan membenarkan adik membeli jutaan saham menggunakan akaun dagangan.
Malaysia boleh musnah bukan hanya kerana pandemik, kejadian alam mahupun ekonomi yang merosot. Kita boleh musnah hanya dengan rasuah yang diambil ringan.
Sekiranya rasuah terus diambil enteng, maka ranap sistem pemerintahan, pertahanan, ekonomi dan sosial negara.
_______________________________________________________________________________
Muhammad Kamil Abdul Munim ialah Exco Angkatan Muda Keadilan Perak
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai