Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Baju-baju sumbangan berlebihan di PPS

Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang dilanda banjir yang luar biasa, memusnahkan harta benda dan ada juga kehilangan jiwa. 

Banyak tempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan sementara mangsa-mangsa banjir di tempat yang lebih selamat.

Dalam pada itu, saya memuji individu-individu dan NGO-NGO yang memberi pelbagai bantuan keperluan mahupun sokongan kepada mangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. 

Antara barang keperluan yang diberikan ialah seperti pakaian, makanan, kelengkapan mandi, bantal dan sebagainya.

Namun, ada beberapa PPS mengalami lambakan sumbangan pakaian seolah-olah tidak terurus sehingga mencetus perbalahan netizen di media sosial baru-baru ini. 

Saya yakin kebanyakan pakaian-pakaian tersebut masih lagi cantik dan boleh dipakai tetapi saya kecewa jika ada segelintir pihak yang mengambil peluang ini untuk mengemas rumah dan membiarkan mangsa mengurus ‘sampah’ orang lain. Pemberi perlu usaha untuk tidak berikan pakaian yang sudah terlalu lama, koyak atau kotor.

Ada juga yang memberi cadangan agar bantuan baju lebih baik dimasukkan dalam plastik dan dilabelkan supaya memudahkan mangsa untuk memilih mengikut kesesuaian mereka.

Dengan usaha kecil ini, mungkin dapat mengurangkan isu longgokan baju berlebihan kerana tidak diambil. Saya yang merupakan salah seorang mangsa banjir juga akui lebih gemar menghabiskan masa membersihkan rumah berbanding memilih baju di longgokan.

Justeru, kita perlu berterima kasih atas keprihatinan semua pihak yang terlibat membantu mangsa yang terjejas. Semoga jasa baik pihak yang membantu dimurahkan rezeki dan diberikan berkat sepanjang hidup.


MUHAMMAD TAUFIQ HIDAYAH MOHAMAD KUTURI dari Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.