Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Mansuhkan penubuhan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyambut baik ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 yang berlangsung pada 2 Disember 2021, berhubung persetujuan secara prinsip pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan (ladang monokultur) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun.

Bagaimana pun moratorium ini adalah tidak mencukupi dan SAM mencadangkan supaya dasar berhubung penggalakan penubuhan dan pembangunan ladang monokultur dalam HSK perlu dimansuh sama sekali dan tidak dilaksana lagi.

Pembangunan ladang monokultur dalam HSK memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan secara tebang habis. Pengusahasilan secara tebang habis pula tidak tertakluk kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT).

Malah konsep ladang itu sebenarnya bercanggah dengan konsep hutan dari segi bahasa dan terminologi. Ladang adalah kawasan pertanian secara monokultur berskala besar yang dipenuhi tanaman manakala hutan asal (hutan asli) pula terbentuk secara semula jadi oleh tumbuh-tumbuhan serta mempunyai kepelbagaian hayat yang tinggi dan melakukan pelbagai fungsi ekologi.

Kebiasaannya, justifikasi dan alasan utama sesuatu Pihak Berkuasa Negeri meluluskan projek pembangunan ladang monokultur ialah kerana kawasan yang dikenal pasti ditakrifkan sebagai hutan miskin atau hutan terosot. Namun, hutan seperti ini boleh dibaikpulih dengan menanam pelbagai spesies pokok bersesuaian dan bukannya membangunkan ladang monokultur.

Perlu diketahui bahawa sesuatu kawasan HSK di Malaysia menjadi hutan miskin atau hutan terosot bukan disebabkan oleh faktor semula jadi tetapi disebabkan oleh faktor manusia terutamanya kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram.

Sejak trend pembangunan ladang monokultur berskala besar dilaksana oleh beberapa Pihak Berkuasa Negeri di Semenanjung Malaysia melalui kaedah pajakan kepada syarikat konsesi dalam jangka masa yang lama, SAM berpendirian tegas membantah kerana didapati fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Malah, terdapat kawasan pembangunan ladang monokultur merupakan kawasan koridor hidupan liar terutamanya habitat dan kawasan keliaran mamalia besar khususnya gajah dan harimau belang, kawasan yang melibatkan masyarakat orang asli seperti penempatan dan mendapatkan hasil hutan, kawasan tadahan air serta kawasan Rangkaian Ekologi - ‘Central Forest Spine’ (CFS).

Malah terdapat pembangunan ladang monokultur dalam HSK di Semenanjung Malaysia didapati tidak mengikut kriteria kesesuaian penubuhan kawasan ladang monokultur sebagaimana Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bil 1 Tahun 2010 dan Garis Panduan Penubuhan Ladang Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Antara isu berbangkit berkaitan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK di yang didapati tidak mengikut kriteria penubuhan kawasan ladang monokultur ialah:-

i. Pembangunan di kawasan yang berkecerunan melebihi 25 darjah;

ii. Memusnahkan kawasan rizab sungai / zon riparian,

iii. Melaksanakan projek di kawasan yang bukan ditakrif sebagai hutan miskin / hutan terosot;

iv. Pemilihan spesies pokok yang tidak disenaraikan (contohnya penanaman durian ‘Musang King’); dan

v. Terdapat projek yang pernah beroperasi tetapi tidak mengemuka dan mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) terlebih dahulu (contohnya pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Daerah Hutan Kedah Tengah di negeri Kedah).

Berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian lapangan SAM sebelum ini, didapati kebanyakan pembangunan ladang monokultur dilakukan tanpa kawalan walaupun Pihak Berkuasa Negeri yang berkenaan mengakui mempunyai ‘standard operating procedure’ dan diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Menurut laporan media, Perdana Menteri menyatakan terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

SAM akan terus membantah sekiranya Pihak Berkuasa Negeri tetap meneruskan dasar dan cadangan pembangunan ladang monokultur berskala besar dalam HSK.

SAM berharap dan berkeyakinan, semua pihak berkepentingan terutamanya MTN, Kementerian dan agensi berkaitan di peringkat Persekutuan serta semua Pihak Berkuasa Negeri akan memberi perhatian terhadap pendirian tegas dan bantahan terhadap pembangunan ladang monokultur dalam HSK.


MEENAKSHI RAMAN ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.