Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Apa salah tudung Hannah?

Hangat isu ahli parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengenakan tudung berwarna biji kundang di perkarangan masjid di dalam kawasan beliau. Ramai yang menyelar tindakan Hannah mengenakan tudung itu. Ada yang mengatakan Hannah mempersendakan kesucian dan kemurnian kain pelitup kepala itu. Ada juga yang menyelar tindakan Hannah dan mempersoalkan ketulusan hati Hannah mengenakan tudung itu kerana kepercayaan yang dianuti Hannah.

Saya hanya memerhati dan membaca setiap komen dan artikel yang diterbitkan mengenai hal ini. Namun saya rasa saya kini tidak mampu lagi berdiam diri. Terlalu ramai yang bersuara bagi pihak saya. Jujurnya saya, seorang wanita muslim yang mengenakan tudung sebagai pakaian harian saya untuk menutup rambut dan kepala saya seperti yang dituntut oleh agama dan kepercayaan jiwa dan rohani saya, rasa sangat tersentuh dan berbesar hati dengan kesudian Hannah mengenakan tudung dan menghormati rumah ibadat yang agung menurut kepercayaan yang saya anuti. Saya juga tertanya-tanya apakah silap yang dilakukan oleh Hannah dan salah kain yang berwarna biji kundang yang digunakan Hannah untuk menutup kepala dan rambut beliau pada hari itu sehingga beliau dikecam dengan hebatnya.

Saya tertanya-tanya juga ketulusan mereka yang mempertikaikan ketulusan hati Hannah yang mengenakan tudung sebagai simbol menghormati kepercayaan orang lain. Adakah mereka benar-benar tersinggung kerana tindakan itu atau mereka tersinggung kerana ia dilakukan oleh Hannah - seorang wanita yang taat kepada kepercayaan yang dianuti olehnya.

Saya, yang mungkil jahil pada sesetengah orang, tidak faham kenapa perlu kita marah dan tersinggung apabila ada orang yang sudi menghormati kepercayaan dan kesucian agama serta rumah agung yang kita anuti. Namun pada masa yang sama segelintir kita yang menyelar Hannah menyokong sekumpulan manusia yang menggunakan agama sebagai tunggangan untuk meraih keuntungan. Kenapa tidak mereka berasa tersinggung?

Jika menghormati itu salah, adakah tidak menghormati dan bersifat jahil itu baik?

Pada diri saya keharmonian itu bermula dengan saling menghormati. Tidak kira apa jua cara, menghormati itu adalah kunci perpaduan dan kesamaan. Jadi apakah salah tudung berwarna biji kundang di atas kepala Hannah jika ia adalah simbol beliau menghormati?

Mungkin ada yang mengatakan ia adalah satu langkah yang bersifat politikal. Namun jika politikal itu membuahkan rasa hormat antara satu sama lain, lebih-lebih lagi jika ia terkait dengan kepercayaan rohani, adakah ia masih tetap salah?

Kita perlu bersifat terbuka dan sentiasa berlapang dada jika kita mahu hidup harmoni dan bahagia. Tidak semua orang mempunyai niat jahat dan ingin mengancam keindahan agama kita. Kita juga sebenarnya sedar atau tidak kadang kala menindas kepercayaan orang lain dengan merasakan bahawa kepercayaan kita ini sahaja yang agung dan suci. Saya percaya perbezaan ini terjadi adalah kerana ciptaan dan dengan izin-Nya. Jadi siapakah kita, yang kerdil dan yang berstatus hamba kepada-Nya ingin berasa tersinggung dengan perbezaan ini?

Jadi sekali lagi, dengan merenung dan menyelami nurani serta menginsafi diri sendiri, saya bertanya kepada kalian, apakah salah tudung berwarna biji kundang yang disarungkan Hannah? Apakah salah Hannah jika dia ingin menghormati kepercayaan rohani kita?


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.