Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Di mana hati dalam getaran nafsu krisis politik di Melaka?

Dunia politik negara yang kita duduki ini sesungguhnya telah dikuasai oleh kekuatan tenaga nafsu, yang lalu-lintasnya adalah kesenangan. Jika tidak berpuas hati dengan kepemimpinan yang ada kumpulan ahli politik boleh bertindak lompat parti atau meninggalkan kesetiaan kepada parti. Jika tidak pun boleh berkhianat dan bertindak berhenti memberikan sokongan dengan menarik diri daripada sesebuah pakatan atau perikatan dengan penuh kesenangan.

Langkah yang diambil adalah pertukaran hawa nafsu. Paradigma perkembangannya adalah paradigma kecepatan dalam erti tidak sabar lagi di mana keputusan harus dibuat umpamanya bertindak menjatuhkan kerajaan dengan komplotan, pakatan dan merobohkan kerajaan yang membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Itulah dunia politik negara dan budayanya yang sarat dengan beraneka ragam keaneragam tenaga, kegairahan, pergerakan, perubahan dan perkembangan tanpa henti.

Pergerakan tenaga nafsu dan luapannya menjelajah dengan sesaknya ke seluruh ruang gerak naluri politik, baik yang terbuka mahupun yang tertutup rapat sekalipun. Dalam hal ini perkembangan masyarakat politik di negara ini dipengaruhi oleh dua logika, iaitu logika pelepasan tenaga nafsu yang meluap-luap dan logika kecepatan, yang keduanya berperanan besar dalam menggugat kestabilan dan kesejahteraan kesihatan dan ekonomi rakyat seperti PRN Sabah. Adakah ia diulangi di PRN Melaka nanti?

Keadaan yang sama berlaku dalam sistem ekonomi pasaran bebas yang mengalir dari satu pasaran ke pasaran yang lain, tidak hanya sekedar produknya melainkan juga kesenangan, kegairahan, kecabulan, kemabukan, dan keterpesonaan di sebalik yang ditawarkan.

Demokrasi sejagat sudah tidak lagi berkaitan dengan memberikan ruang untuk lebih ramai rakyat mengundi melainkan lebih berkaitan dengan pengembangan arus kecepatan dan mengembang-biakan getaran nafsu. Getaran ini menjadi sangat masif ketika medsos melatarinya.

Perputaran nafsu dalam politik dengan kecepatan dunia medsos mengesahkan gejolak pelepasan nafsu secara bebas dan logika hawa nafsu menjadi paradigma dari keberlangsungan sistem politik di negara ini biarpun dalam sebuah kerajaan Keluarga Malaysia.

Bahkan perbincangan agama pun kini sudah tidak lagi berkaitan dengan pencarian jati diri manusia dan makna hidup yang abadi, dalam perenungan mendalam tentang Tuhan, melainkan telah dirumuskan menjadi program pertandingan realiti dengan iklan ustaz-ustaz di skrin televisyen. Bertudung pun sudah tidak lagi bertumpu kepada akhlak dan ketakwaaan dalam menuju kedekatan kepada Tuhan tetapi telah dicemari dalam suasana kecepatan dan histeria gemerlapan sorak sorai kecantikan dan keceriaan lampu lip lap.

Berpelitup sudah tidak lagi untuk memenuhi tuntuan menjaga diri daripada serangan virus Covid-19 tetapi bermain politik nafsu di sebaliknya dalam apa yang saya konsepkan sebagai Kovidtokrasi. Inilah era politik di sebalik pelitup yang melitupi massa dengan keagamaaan yang miskin makna.

Demi rakyat

Dalam konteks ini, politik di negara ini sama ada benar atau tidak banyak dimaknai sekadar kenyataan seorang munafik yang diucapkan secara lisan. Formaliti untuk rakyat, demi rakyat atau mengutamakan rakyat sekadar penting bagi seseorang untuk mendeklarasikan diri sebagai seorang sang politikus yang mewakili sesebuah parti atau kerajaan.

Namun, perenungan dan pemaknaan mendalam akan membantu kita menemukan sisi terdalam daripada formaliti yang dilakukan iatu daripada Langkah Sheraton, PRN Sabah, PRN Melaka (?) bahkan sehingga ke kerajaan Keluarga Malaysia yang harus diperhatikan atau tidak lebih daripada seolah-olah seperti perlaksanaannya sholat, jika dilakukan tidak lebih daripada sekedar gerakan dan bacaan tetapi dalam realitinya ambil rasuah dalam pengurusan jenazah atau berkhianat kepada rakyat yang telah memberikan mandat.

Dalam krisis politik di Melaka anehnya yang mendapat nama buruk ialah pihak pembangkang yang kononnya telah merobek MoU dengan kerajaan Keluarga Malaysia?

Apakah yang dicari daripada langkah politik nafsu dalam krisis politik di Melaka ini dan di mana hati dalam getaran nafsu ini.


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.