Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Patut fikir seribu kali sebelum adakan pilihan raya

Semua pihak yang berkaitan perlu berfikir seribu kali sebelum ingin mengadakan pilihan raya ketika ini, sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri.

Keutamaan harus diberikan kepada aspek keselamatan, kesihatan dan nyawa rakyat di kala negara bergelut dengan masalah pendamik Covid-19.

Fokus seharusnya diberikan bagi mengawal penularan Covid-19 dan membantu rakyat yang terkesan dengan penularannya.

Sebarang panggilan untuk melakukan proses pilihan raya awal perlu dilakukan sebagai langkah terakhir, demi kestabilan politik dan sistem pentadbiran negara kita.

Panggilan pilihan raya boleh dilakukan sekiranya negara ataupun sesebuah negeri tidak memiliki kerajaan yang benar-benar stabil sehingga menjejaskan pentadbiran dengan serius.

Umum telah pun tahu mengenai kemelut politik pada ketika ini. Terdapat banyak cadangan bagi menghentikan kemelut politik.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah dengan membentuk kerajaan minoriti, kerajaan perpaduan, serta membubarkan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi jalan kepada pilihan raya.

Langkah membubarkan parlimen atau DUN perlu dilihat sebagai langkah terakhir kerana implikasi besar kepada rakyat, ekonomi serta keadaan semasa.

Di Malaysia, pembubaran parlimen hanya melibatkan Dewan Rakyat dan tidak Dewan Negara.

Dewan Rakyat dibubarkan setelah mendapat perkenan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan selalunya dibuat atas nasihat perdana menteri.

Tempoh maksimum bagi sebuah penggal Dewan Rakyat di parlimen serta DUN ialah 5 tahun.

Ini membawa maksud bahawa genap lima tahun tarikh pertama persidangan diadakan selepas pilihan raya umum yang lepas, parlimen atau DUN akan terbubar dengan sendirinya.

Baik buruk

Namun pilihan raya awal boleh dipanggil sebelum tamatnya tempoh berkenaan. Ini jelas termaktub bawah Perkara 55 (2), (3), dan (4) Perlembagaan Persekutuan.

Proses yang sama juga untuk peringkat negeri, semuanya bergantung pada budi bicara serta perkenan ketua kerajaan negeri, iaitu sultan, raja, ataupun TYT Yang di-Pertua Negeri seperti yang ditetapkan perlembagaan negeri.

Persoalannya kini, apa kebaikan dan keburukan sekiranya kita mengembalikan mandat kepada rakyat serta melaksanakan proses pilihan raya awal?

Kita baru selesai menjalani proses pilihan raya umum pada bulan Mei 2018 yang lalu.

Kecuali Sabah yang melakukan pilihan raya negeri pada 2020, mengikut perlembagaan persekutuan kita masih memiliki tempoh lebih dua tahun sebelum tarikh pilihan raya umum baru diadakan.

Sama ada pilihan raya ini membawa kebaikan ataupun keburukan, semuanya bergantung pada keadaan semasa.

Sekiranya kemelut politik masih berpanjangan, sehingga menjejaskan pentadbiran dengan serius maka kita tidak memiliki pilihan lain selain mengadakan pilihan raya awal, bagi memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru.

Sekiranya proses pentadbiran negara kita masih berjalan seperti biasa tanpa gangguan serius, maka tidak perlulah kita mengadakan pilihan raya.

Perlu diingati, pilihan raya adalah perkara yang serius dan bukan main-main kerana ia melibatkan banyak perkara.

Pilihan raya bukan hanya sekadar membuang undi ke dalam kotak undi. Peruntukan wang yang besar perlu dibelanjakan bagi menjalani proses pilihan raya.

Proses pilihan raya ini juga menuntut setiap rakyat yang layak mengundi untuk meluangkan masa dan tenaga untuk pergi mengundi.

Keputusan yang diperoleh setelah selesai pengiraan mengundi juga boleh terdedah kepada risiko ketidakpuasan hati oleh mana-mana pihak terutamanya yang kalah sehingga boleh diheret ke mahkamah selama bertahun-tahun.

Proses panggilan pilihan raya awal ini juga boleh menghantar isyarat yang salah kepada ramai pihak khususnya pihak luar negara bahawa negara kita berada dalam keadaan tidak stabil.

Jejas pelaburan

Perkara ini sekali gus menjejaskan kemasukan pelaburan ke dalam negara dan mengugat keadaan ekonomi kita.

Pada masa yang sama, pilihan raya boleh menjejaskan fokus kita untuk membendung penularan Covid-19 serta membantutkan usaha memperbaiki ekonomi negara.

Kita juga tidak seharusnya lupa kesan daripada mengadakan proses pilihan raya di Sabah tahun lalu yang menyebabkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 sehingga kini.

Adakah ini yang kita mahukan?

Oleh yang demikian, semua pihak yang terlibat harus memikirkan dengan mendalam segala kesan akibat daripada panggilan pilihan raya awal ini khususnya terhadap rakyat, ekonomi dan negara.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.