Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Dasar luar boleh beri kesan pada penduduk kampung

Acap kali apabila ada perbincangan mengenai dasar luar negara, kita sering memandang enteng atau tidak berminat untuk mengambil bahagian. Kebanyakannya kerana salah tanggapan bahawa sebarang perubahan dasar luar tidak akan memberikan kesan kepada kita secara langsung.

Kita lebih berminat untuk mengikuti isu-isu semasa politik dan ekonomi semata-mata.

Sekiranya kita berpendapat bahawa sesuatu dasar luar tidak memberi kesan secara langsung atau tidak, kita sebenarnya silap.

Mutiara kata diplomatik menyebut: “Foreign policy begins at home”. Dasar luar sebenarnya bermula dari rumah. Bagaimanakah sesebuah dasar yang menjaring seluruh dunia boleh bermula dari rumah kita?

Contoh yang paling mudah ialah apabila ibu bapa menerapkan nilai-nilai sosial ke dalam minda dan jiwa anak-anak mereka mengenai keperluan mengiktiraf hak serta kedudukan orang kurang upaya (OKU) atau wanita, sehingga ke larangan membuang sampah merata-rata dan sentiasa menjaga kebersihan rumah.

Hasil didikan yang berjaya itu maka terlahirlah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) atau Konvensyen Mengenai Hak OKU mahupun Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim.

Sekiranya nilai-nilai baik itu tidak dimulakan dari rumah, sudah tentu ia tidak akan berjaya menembusi jaringan global sehingga menjadi piagam yang diiktiraf seluruh dunia.

Mungkin seorang pengusaha kegiatan selam skuba (scuba diving) di Pulau Perhentian, Terengganu beranggapan bahawa dasar luar yang dipentaskan di peringkat antarabangsa tidak memberi apa-apa makna kepadanya.

Namun dia tidak menyedari bahawa isu kelestarian terumbu karang mempunyai kaitan dengan Perjanjian Paris 2015.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan yang menetapkan kadar had kenaikan suhu global perlu dikekalkan di bawah paras 1.5 darjah Celcius.

Peraturan itulah yang boleh menyelamatkan terumbu karang daripada mati akibat pemanasan suhu laut, sekali gus memusnahkan keindahan dasar laut di Pulau Perhentian. Jika ia berlaku secara tidak langsung terjejaslah tarikan pelancong dan perniagaan pengusaha terbabit.

Begitulah situasi bagaimana dasar luar boleh memberi kesan secara langsung kepada manusia walaupun kita tidak pernah menjejakkan kaki ke Ibu Pejabat PBB di New York itu.

Dalam konteks Malaysia, Wisma Putra memainkan peranan amat penting dalam memimpin kementerian-kementerian lain menerokai peluang dan cabaran rentas sempadan.

Selain mempromosikan jenama Malaysia di mata dunia ia turut membawa nilai kebudayaan dan menjadi cerminan kepada identiti kita sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama yang mengamalkan dasar toleransi sejak kemerdekaannya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menghargai dan meraikan nilai-nilai murni ini. Sebagai ibu bapa pula, kita hendaklah menerapkan nilai-nilai berkenaan kepada anak-anak kerana itulah yang akan membentuk jati diri mereka, dari rumah ke peringkat antarabangsa!


Mohamad Siddiq Azani ialah setiausaha agung Pertubuhan Gerakan Revolusi Anak Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.