Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Usah dicemar rezeki gelembung pelancongan

Sehari selepas gelembung pelancongan Langkawi dibuka, saya, isteri, dan enam orang rakan mengambil peluang yang diberikan. Kami berangkat ke Langkawi dengan pesawat AirAsia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Urusan daftar masuk di lapangan terbang sangat ketat berbanding dengan pengalaman penerbangan domestik sebelum pandemik  Covid-19 melanda.

Hal ini kami terima dan fahami kerana kerajaan tentunya tidak mahu pembukaan sektor pelancongan menyebabkan penularan Covid-19 kembali tidak terkawal.

Kami berada di Langkawi selama tiga hari dua malam. Pada hari kedua, kami telah melanggan perkhidmatan ATV (all terrain vehicle). Kami dikenakan bayaran sebanyak RM180 untuk sebuah ATV. Oleh itu, kami perlu membayar sebanyak RM720 untuk empat kenderaan tersebut.

Kami melanggan perkhidmatan ATV atas cadangan ejen pelancongan yang menguruskan kedatangan kami ke pulau peranginan berkenaan. Dia dan pembantunya turut menggunakan sebuah ATV.

Bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada ejen terbabit menggunakannnya secara percuma atau berbayar.

Pada sebelah petang, semasa kami menaiki pelayaran di Langkawi, salah seorang penumpang menyatakan bahawa dia hanya membayar RM80 untuk sebuah ATV di tempat yang sama, serta tempoh juga sama. Menurutnya, harga tersebut ialah harga yang diiklankan oleh pengusaha tersebut di Facebook.

Tiga harga yang berbeza

Salah seorang rakan menghubungi pengusaha ATV terbabit untuk mendapatkan kepastian. Daripada penjelasan yang diberikan, pengusaha berkenaan menyatakan bahawa harga untuk seunit ATV yang disewa secara jumpa terus (walk-in) ialah rm110.

Apabila ditanya sama ada ejen kami itu menggunakan ATV secara percuma, dia menjawab: tidak tahu.

Waktu itu masih belum jelas tentang sebab harga sebuah ATV ialah RM180. Hal ini dikatakan demikian kerana jika harga jumpa terus ialah RM110, jumlah yang perlu kami bayar sepatutnya RM440 dan bukannya RM720.

Setelah kembali ke rumah, saya memberikan komen pada iklan di Facebook berkenaan ATV tersebut dan menulis status di Facebook saya berhubung dengan perkara berkenaan. Bagaimanapun, kedua-duanya telah dipadamkan atas permintaan pengusaha ATV tersebut.

Saya telah melanjutkan pertanyaan tentang harga perkhidmatan ATV melalui aplikasi Messenger dengan pengusahanya. Melalui respons pihak pengusaha terbabit, saya memahami bahawa terdapat tiga harga yang berlainan untuk perkhidmatan yang sama, iaitu sebuah ATV untuk penggunaan satu setengah jam.

Pertama, harga iklan di Facebook sebanyak RM80; kedua, harga pelanggan jumpa terus iaitu RM110; dan ketiga, harga melalui ejen pelancongan RM180.

Saya berpendapat bahawa perbezaan harga ini tidak sepatutnya berlaku kerana butiran berkenaan tidak dinyatakan langsung dalam iklan di Facebook disiarkan pengusaha ATV terbabit. Lagipun, pengusaha ATV itu sama sekali tidak menjelaskan perbezaan harga berkenaan semasa urusan pembayaran dilakukan.

Perbezaan harga yang begitu besar itu berlaku kerana harga ATV yang kami tempah termasuk komisen kepada ejen.

Asalnya harus ambil komisyen

Melalui perhubungan di Messenger, saya mendesak pengusaha ATV terbabit memulangkan jumlah wang yang tidak sepatutnya kami bayar. Bagaimanapun, pengusaha ATV ini meminta saya menghubungi ejen pelancongan kami untuk mendapatkannya.

Saya menolak untuk berbuat demikian kerana pembayaran untuk perkhidmatan ATV ini dilakukan terus kepada pengusaha berkenaan, bukan melalui ejen. Resit juga dikeluarkan oleh pengusaha ATV itu terus kepada kami.

Oleh yang demikian, dia mesti bertanggungjawab untuk menjernihkan urusan pembayaran kami, bukannya ejen pelancongan.

Seterusnya, pengusaha ATV  menghubungi ejen pelancongan untuk menyelesaikan urusan pemulangan wang ini. Akhirnya, ejen pelancongan menyerahkan sebahagian wang komisen yang diterimanya daripada pengusaha terbabit kepada kami.

Pun begitu sebelum wang berkenaan dipulangkan saya kesal kerana perlu berdepan dengan sikap yang tidak sepatutnya. Dia seolah-olah mahu meletakkan semua kesilapan dalam urusan kami kepada ejen pelancongan, yang tidak dinafikan turut terlibat dalam kes ini.

Saya telah bertanyakan hal tentang harga yang termasuk dengan komisen kepada seorang ustaz. Dia memberikan pandangan bahawa secara umum, pengambilan komisen adalah harus kerana termasuk dalam kategori upah perkhidmatan.

Bagaimanapun, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi dalam pemberian komisen. Antaranya termasuklah pelanggan perlu mengetahui sebab perbezaan harga, dan bayaran tidak melampau daripada bayaran yang sepatutnya.

Saya berpendapat bahawa di sana ada berlaku manipulasi harga dalam urusan kami. Oleh itu, saya menulis perkara ini kepada umum dengan dua tujuan yang utama.

Pertama, pengguna sewajarnya berhati-hati sewaktu menempah apa-apa perkhidmatan atau membeli apa-apa barangan semasa melancong. Bukan saja di Langkawi, sebaliknya di mana-mana.

Masa untuk pulangan halal

Sebaik-baiknya pengguna melakukan perbandingan harga dengan menyemak pelbagai sumber sebelum membuat tempahan atau pembelian.

Langkah tersebut dapat mengelak pengguna berurusan dengan penjual atau pemberi perkhidmatan yang memanipulasi harga. Kelalaian kami seperti yang saya jelaskan mestilah dielakkan.

Kedua, para peniaga dan penyedia perkhidmatan tidak wajar mengambil kesempatan memanipulasi harga dengan jumlah yang melampau atau tidak sepatutnya. Perniagaan sebagai sumber pendapatan mesti dijalankan dengan jujur, telus, dan berintegriti.

Pengusaha pelancongan sepatutnya bersyukur kerana sektor pelancongan kini mula dibuka dan mereka kembali boleh menjana pendapatan. 

Sebaik-baiknya, pembukaan sektor pelancongan ini menggembirakan pengguna dan memberikan pulangan yang halal kepada pengusaha pelancongan.

Kepada pengusaha pelancongan khususnya di Langkawi, pembukaan sektor pelancongan ini harus disambut dengan layanan yang bersih, telus, dan terbaik kepada pelawat.

Kerja kotor dan bejat dalam perniagaan - jika pernah diamalkan sesiapa pun sebelum ini - mestilah ditinggalkan.

Marilah kita berdoa agar virus Covid-19 ini segera diangkat oleh Yang Maha Kuasa dari bumi Malaysia agar kita dapat menjalankan urusan harian seperti biasa. Semoga ujian yang kita hadapi semasa pandemik ini menginsafkan diri kita untuk membaiki perbuatan dan amalan diri.

Selamat sembuh, Malaysia.


PAUL KELI ialah seorang peminat kegiatan pelancongan.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.