Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Cabutan judi undang masalah sosial

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyokong pandangan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Senator Ir Khairil Nizam, yang membantah pelaksanaan cabutan khas judi yang ditingkatkan daripada lapan kali setahun pada tahun lepas kepada 22 kali setahun bermula tahun ini.

Kerajaan perlu sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang jelas mengundang pelbagai masalah sosial.

Faktanya, kerajaan BN pada tahun 2018 menetapkan cabutan khas sebanyak 22 kali setahun. Kemudian jumlah ini dikurangkan kepada 11 kali pada tahun 2019 dan dikurangkan lagi kepada lapan kali pada tahun 2020. Seharusnya, kerajaan tidak kembali kepada cabutan 22 kali setahun ketika rakyat dan negara dilanda musibah kesihatan dan ekonomi. Harus diingat, kerajaan mengizinkan syarikat judi mengadakan tiga hari cabutan seminggu, dengan jumlah 156 hari cabutan setahun. Maka, cabutan khas ini adalah tambahan 22 hari, menjadikan jumlah cabutan setahun sebanyak 178 hari.

Majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian merupakan golongan B40 dengan mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan mendapat hadiah besar. Masalahnya, judi menyebabkan ketagihan dan mengakibatkan masalah sosial lain seperti keganasan rumah tangga, kes kecurian dan jenayah lain. Ini tidak termasuk isu hutang hingga mengakibatkan nyawa terancam. Cabutan khas menyebabkan ramai terus mencuba nasib untuk menang. Walhal, syarikat judi yang sebenarnya untung sakan.

Kerajaan boleh menjana pendapatan melalui cukai-cukai lain yang melibatkan perniagaan “yang membina” masyarakat, bukannya melalui cukai perjudian yang mencetus masalah sosial, hasil belian nombor judi oleh rakyat sendiri. Cukai hasil kepada kerajaan boleh dijana melalui cukai perniagaan dan perkhidmatan yang berkaitan Covid-19 kerana kebanyakan syarikat gergasi tersebut mendapat keuntungan berlipat kali ganda melalui penjualan sarung tangan getah, picagari dan lain-lain.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyeru Menteri Kewangan untuk memperhalusi keputusan ini agar rakyat tidak membazir duit mereka untuk berjudi, sebaliknya digunakan untuk perkara-perkara yang memberi manfaat kepada mereka. Kita tidak mahu bantuan tunai kerajaan pada waktu pandemik ini digunakan oleh segelintir rakyat untuk berjudi. Dasar kerajaan perlulah menjadi cerminan halatuju negara dan rakyat. Kenapa kita perlu ambil langkah ke belakang yang tempang? Perkara baik perlu diteruskan walaupun ianya datang dari pihak Pakatan Harapan. Inilah politik matang anak muda hari ini.


SHAHIR ADNAN berkhidmat sebagai Ketua DPIM merangkap timbalan pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.