Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Catatan galau pramerdeka

SURAT | Aku menulis catatan ini setelah penat dikejar dan dipagut serba-salah lalu tersadung pada perdu wasangka dan terperosok ke dalam limbah kenyataan. Walau sudah lama disedari bahawa tanah ini sudah kembali dijajah oleh bangsa sendiri, kita masih kesipuan untuk mengakui.

Apabila ketaksuban kepada ras kian berkerak kerana diapi-apikan sampai hangit oleh pimpinan politik, kita pun membiarkan diri sendiri dicucuk hidung untuk diheret ke sana sini. 

Ia diburukkan lagi dengan ketaasuban kepada ketua sehingga menanggalkan akal dari tampuk kepala. Kita pun tergaru-garu lutut apabila mandat rakyat dipijak-pijak.

Betapa lawaknya politik ini. Pihak kalah jadi pemerintah manakala yang menang menjadi pembangkang. Ia kemudian dilengkapkan dengan ketawa pihak yang berjaya memanipulasi demokrasi dengan langkah demi langkah mereka.

Sandiwara demi sandiwara dipertontonkan kepada rakyat dengan skrip yang sama. Islam terancam dan Melayu terancam, padahal pihak yang melaung-laungkan kalimah itulah yang mendapat laba terbanyak apabila slogan itu diulang-ulang.

Lihatlah pula kewujudan kluster mahkamah yang menjadi duri dalam daging kepada parti terbabit. Itu belum dicampur dengan wayang palsu perjuangan mereka yang ‘selop’ bagaikan kambing tertelan plastik selepas kuasa di tangan.

Pantun berkait ini khas kutulis untuk mereka:

TANGISAN SI BUAYA PUTIH

Hujan di hulu kelam cahaya,
Walau gerimis lopak bergenang;
Jangan terlalu mudah percaya,
Buaya menangis di air tenang.

Walau gerimis lopak bergenang,
Becak berair ke rimbun geti;
Buaya menangis di air tenang,
Semua cair tumpah simpati.

Becak berair ke rimbun geti,
Nyamuk bahaya mari bersarang;
Semua cair tumpah simpati,
Susuk buaya disayang orang.

Nyamuk bahaya mari bersarang,
Sudah sedia membiak baka;
Susuk buaya disayang orang,
Dipamer media suci belaka.

Sudah sedia membiak baka,
Sungguhlah malang bila berganda;
Dipamer media suci belaka,
Diulang-ulang corakkan minda.

Merdekakah kita andainya hasil proses demokrasi yang diamalkan, pihak yang kalah jadi pemerintah dan yang menang jadi pembangkang? Betapa lucunya kita tetapi amat malu untuk ketawa melulu. Inilah hasil kerja gerombolan anai-anai yang membuat koloni baru di nusa tercinta.

Mereka miliki mulut amat besar untuk menelan setiap ruang dan peluang tetapi tidak pernah kenyang.

Mereka itulah yang dipuja puji sebagai pembela agama, bangsa dan tanah air hanya kerana mampu membaca doa dalam bahasa Arab dan berpakaian mengikut sunah tetapi tindakan mengalahkan Firaun yang ditelan laut.

Peristiwa pertukaran kerajaan pula hanya menambah lagi lawak jenaka apabila ahli parlimen belum mengangkat sumpah tetapi setiap hari disumpah oleh orang ramai. Peristiwa lawak tersebut kuabadikan dalam sajak mbeling ini:

‘TAK BOLEH KITAR

Langau di mana-mana
menghurung sampah
tatkala berlori dipindah
ke tong besar baru
yang berwarna biru.

Seperti resam ular
usai menyalin kulit
semakin ia membesar
sampah bersalin tong
semakin besar baunya.

Sampah jenis biasa
andai dikitar semula
dapat beri manfaat –
ini jenis ‘tak boleh kitar;
‘tak mereput jadi baja.

Selagi ‘tak dikambus
untuk tebus guna tanah
selagi itulah busuknya
akan terus menghantui
hidup rakyat setiap hari.

Catatan pramerdeka ini kutulis untuk mengingatkan diri sendiri dan semua rakyat di nusa tercinta bahawa kemerdekaan kita telah dirampas oleh petualang dari bangsa kita sendiri.

Hanya kita mampu ‘merebut’ kembali kemerdekaan kita di dalam pilihan raya dan kambuskan mereka buat menebus guna tanah!


SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri adalah seorang penulis kreatif separuh masa yang mencintai alam sekitar sepenuh masa. Dia juga berminat mengambil tahu tentang hal-hal politik semasa.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.