SURAT | Dr M mahu letak calon di 120 kerusi, Gerak akan lawan Pejuang
Gerak ambil maklum kenyataan Mahathir Mohamad akan meletakkan calon Pejuang di 120 kawasan parlimen dalam PRU15.
Mahathir juga menyebut kesemua calon Pejuang adalah Melayu kerana Pejuang parti Melayu.
Ini adalah taktik usang Mahathir - menggunakan politik kaum untuk meraih undi. Kali terakhir beliau gunakan taktik ini ialah di Kongres Maruah Melayu pada tahun 2019, langkah pertama beliau menjatuhkan kerajaan PH pada ketika beliau masih PM7.
Seperti mana kami mula menentang keras Mahathir bermula di Kongres Maruah Melayu itu, kami akan menentangnya sekarang.
Gerak akan meletakkan calon menentang semua calon Pejuang sekiranya tidak ada calon dari parti-parti berasaskan perubahan dan reformasi menentang mereka.
Politik berasas kaum dan sentimen agama adalah bertentangan dengan prinsip perubahan dan reformasi. Justeru menjadi kewajipan kita menentangnya.
Malah, parti-parti politik yang menggunakan kaum dan agama itu pernah bersatu di Kongres Maruah Melayu dengan matlamat menjahanamkan kerajaan dan agenda reformasi. Malangnya kita membiarkan ketika itu. Apakah kita mahu biarkan kali ini? Bagi Gerak, tidak sama sekali!
Malaysia sudah menjunam jatuh. Sebabnya adalah penindasan elit politik yang korup dan rasuah terhadap semua kaum. Tidak ada penindasan kaum dan agama di negara ini.Yang jelas dan semakin terpampang ada di depan mata kita adalah penindasan orang besar yang rasuah terhadap orang kecil tanpa mengira kaum.
PRU15 adalah medan kritikal untuk selamatkan rakyat, orang kecil di Malaysia yang sengsara selama ini. Kita mesti tegas dan tidak boleh kompromi lagi dengan orang besar dan parti-parti politik yang menggunakan kaum dan agama untuk mendapatkan kuasa dan menyalahgunakan kuasa untuk terus menindas rakyat semua kaum.
MOHAMAD EZAM MOHD NOR
Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak)
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai