Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Dafi, boleh pinjam abah awak?

SURAT | Lawak Bapa Dafi tersebar setelah Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai perdana menteri kesembilan.

Ahli parlimen Bera yang menyertai politik lebih 35 tahun lalu itu bukan watak asing dalam Umno. Malahan, dia memang pernah dilihat sebagai bakal memimpin negara.

Ketika negara dihimpit wabak, wibawa Ismail Sabri melonjak apabila dilantik sebagai menteri kanan di bawah Perikatan Nasional (PN). Dia berperanan sebagai menteri penyelaras Covid-19 sekali gus menjadi jurucakap kerajaan.

Peranan ini menunjukkan kecekapan dan kematangan Ismail Sabri berdepan krisis.

Menunjukkan prestasi yang baik, rakyat Malaysia sudah mulai dekat dan mesra dengan Ismail Sabri. Kalau Muhyiddin dikenal sebagai Abah, Ismail digelar Pak Long Mail sebagai tanda dekatnya pemimpin dengan rakyatnya.

Dekat dengan rakyat banyak bukan suatu yang canggung bagi Ismail Sabri. Anak kampung dari Bera itu faham jiwa rasa masyarakat banyak, khususnya luar bandar.

Berpengalaman sebagai anggota kabinet ketika menjadi menteri belia dan sukan pada 2008, kemudian pada 2009 dilantik sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, pada 2013 sebagai menteri pertanian dan industri asas tani.

Kemudian pada 2015 sebagai menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pengalaman Ismail Sabri menunjukkan jurang perbezaan kualiti dan kredibilitinya seorang menteri Umno dengan rakan kepimpinan dari parti yang sama.

Sungguh, Ismail Sabri mengingatkan kita kepada kegemilangan Umno sebelum terpalit dengan pelbagai skandal hingga meranapkan parti lama itu menjadi pembangkang.

Kata pujangga, kepimpinan bermula dari diri dan keluarga. Nilai ini jelas ada pada Ismail Sabri. Sepanjang memimpin dan menjawat sebagai menteri, tidak ada campur tangan dari keluarganya.

Walaupun keluarganya menjadi tumpuan media - anaknya, Dafi merupakan penyanyi, manakala menantunya, Jovian Mendagie seorang pereka fesyen - namun tidak pernah lagi terdengar campur tangan keluarganya ketika Ismail Sabri berkhidmat.

Dafi pernah kata, “Bapa saya dari keluarga susah dan kesusahan ini membuatkannya kerja terus lebih kuat!"

Terima kasih Dafi, kami pinjam abah awak. Insya Allah, Malaysia akan pulih dan kita akan menang bersama. Amin!


Aman Ahmad ialah pembaca Malaysiakini.

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.