SURAT | Sidang Parlimen Wanita Muda kemuka 2 usul pada k'jaan
Perwakilan Wanita Muda merupakan program yang menghimpunkan seramai 222 perwakilan berumur 15-30 tahun daripada seluruh negara. Keunikan Parlimen Wanita Muda ini ialah dengan bersifat “inclusive dan diversity” dalam mengangkat martabat kaum Wanita di Malaysia, dengan mengetengahkan peserta dari kalangan OKU serta Orang Asli.
Parlimen Wanita Muda melibatkan Ahli Parlimen dan bekas senator seperti Izzah Anwar, Suraya Yaacob, Mas Ermieyati Samsudin, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yeo Bee Yin dan Heng Seai Kie menerusi program “mentoring” bersama ahli barisan perwakilan Parlimen Wanita Muda.
Pengarah Program, Dr Shatesh berkata ini adalah usaha mengarusperdanakan wanita dalam arena politik Negara serta membaiki jurang gender yang terlalu tinggi di Malaysia.
Sambutan baik dan sokongan dari segenap segmen wanita muda dapat menzahirkan bahawa wanita muda di Malaysia turut tidak ketinggalan dalam menghayati demokrasi berparlimen, arena pembuatan dasar serta usaha mengangkat kesamarataan dan kesaksamaan gender.
Senator Ras Adiba yang menyampaikan ucapan penggulungan turut menyatakan bahawa program seumpama ini harus diteruskan lagi bagi memastikan ramai wanita dapat diangkat sebagai wakil rakyat dan kagum dengan perbahasan yang disampaikan oleh perwakilan OKU pendengaran.
Persidangan dua hari secara dalam talian ini membahaskan usul dan gesaan agar kerajaan segera membentangkan rang undang-undang serta dasar khusus menangani jenayah gangguan seksual yang kita harus akui pada hari ini, semakin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat.
Perwakilan turut menggesa agar kerajaan bertindak serius dalam menangani isu keganasan rumah tangga yang terus meningkat dalam kalangan masyarakat serta yang juga berkadar terus dengan sifat misoginistik dan budaya patriarki.
Raja Nuradriana daripada Parlimen P085 Pekan yang mewakili Orang Asli merasa sangat berbangga dapat turut serta dalam membahaskan usul keganasan rumah tangga dan dia berharap agar isu-isu keganasan rumah tangga dan keruntuhan institusi keluarga dalam golongan masyarakat Orang Asli dapat ditangani dengan bijaksana dan berhemah.
Mewakili golongan OKU, Shoba Sathiaseelan (Parlimen Pandan) turut menzahirkan pendapat bahawa “kerajaan perlu memperkenalkan subjek pendidikan awal rumah tangga di peringkat institut pendidikan rendah, menerusi sekolah-sekolah menengah yang ada di Malaysia dalam membentuk keperibadian dan personaliti mereka untuk memahami kesaksamaan jantina dan institusi kekeluargaan”.
Wakil Bayan Baru, Nuramirah pula membangkitkan gangguan seksual dalam talian seperti pengintipan (stalking) dan pendedahan maklumat peribadi (doxing), yang menurutnya semakin membarah dan perlu diambil serius.
Baginya, akta sedia ada tidak cukup untuk membendung isu itu dan menyatakan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual sebagai penyelesaian terbaik.
Dalam persidangan ini juga, perwakilan menekankan kepentingan agar kerajaan menyegerakan pembentangan RUU tersebut dengan beberapa cadangan.
- Ia perlu bersifat menyeluruh dan tidak terhad untuk sejumlah kesalahan tertentu dan tiada limitasi pada gender.
- Ia perlu memberi perlindungan kepada mangsa serta meningkatkan kuota lantikan pegawai polis wanita.
- Hukuman yang lebih efektif perlu diwujudkan agar isu ini ditangani dengan serius.
Dalam pada itu, perwakilan turut membangkitkan keperluan menggiatkan lagi advokasi dan pendidikan untuk melawan budaya lucah, jenaka rogol, sikap menyalahkan mangsa. Ia perlu dipergiat dalam setiap lapisan masyarakat dan tidak hanya menjurus kepada jantina tertentu.
Sekretariat Parlimen Wanita Muda mengharapkan agar semua ahli parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dapat meneliti segala cadangan dikemukakan oleh perwakilan program ini dan usaha ini harus dilakukan merentas perbezaan idelogi dan parti, supaya isu gangguan seksual dapat dibanteras melalui akta rang undang-undang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai