Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Kita dan kecamukan moral tanpa pilih kasih

Hari itu, kecoh satu negara tentang isu beberapa tokoh masyarakat dan figura muzik saling mempertikaikan gerak kerja serta urus tadbir perjalanan dana awam melibatkan suatu jumlah besar.

Kita disajikan dengan dalil-dalil emosi, angka-angka penghujahan sebagai fakta dan pelbagai retorika survival. Hampir seluruh rakyat tak kira latar belakang sosial, agama dan jalur fikir mengeluarkan hujah hingga ada yang berbaur pelecehan moral.

Isu pokoknya adalah integriti, amanah dan moral atau bahasa mudah saya; korupsi moral.

Hari ini, melihat semula kenyataan media pihak istana dan segala macam perilaku hujah dalam parlimen sama ada di blok pemerintah atau sebaliknya. Isu pokoknya tetap juga sama iaitu korupsi moral.

Sebagaimana ramai yang menuntut penjelasan berkaitan dana awam beberapa pihak yang bertelagah supaya diperincikan, begitulah juga dengan situasi berlaku pada negara kita ini akibat

kecamukan moral yang kita sendiri membenarkan ia.

Kita lari dari isu pokok iaitu integriti, tak usah petik apa kandungan timbal balas pihak istana kerana semua sudah sedia maklum.

Sebagai rakyat kelas terbanyak; terperangkap dalam permasalahan politik yang berpanjangan dan derita Covid tanpa persediaan. Kita mestilah mempertanyakan setiap sen yang dibelanjakan dan dikeluarkan, atas tujuan serta bagaimana ia diperuntukan.

Ia bukan wewenangnya diperakui tanpa disoal ketika ramai daripada kita sedang menanggung resah bahana wabak dan kekeliruan urus tadbir.

Tapi oleh kerana kita ini terlalu lama diasuh;
harus memihak dari menzahirkan hak.
Ketika mengambil jalan tengah; ditegah.
Untuk mencipta sederhana, dianggap lemah.

Kita memilih untuk memihak dan manipulasi setiap apa yang boleh kita menangkan agar kuasa dan tahta tetap dipertahankan. Bahkan menjadi ghairah serta lihai dengan segala kecanduan keberhasilan yang sementara.

Dan akibat membenarkan kecamukan moral pada akar yang menunjangi ekosistem integriti sesebuah negara, hilang segala akal budi dan ketatasusilaan sebagai manusia.

Kekuasaan bukan segalanya, macam Gus Dur kata. "Tidak ada jabatan di dunia ini yang perlu dipertahan bermati-matian."

Saya teringat Buya Syakur kurang lebih ada kata secara ringkas; orang berpengetahuan tak semestinya berilmu dan orang berilmu tak sempurna tanpa akal. Selamat memprotes keangkuhan manusia!


ARAFAT HAMBALI ialah seorang bekas graduan seni halus yang kini selesa menulis daripada melukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.