Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sektor pelancongan Sabah perlukan pelan pemulihan segera

Muda Sabah menyambut baik pengumuman daripada Perdana Menteri berkenaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Namun demikian, sektor pelancongan yang merupakan sumber pendapatan utama Negeri Sabah dan penduduknya, antara yang paling terjejas teruk sejak tahun lepas dengan ribuan individu telah kehilangan sumber pendapatan.

Realiti dilapangan jauh lebih kritikal sekiranya mengambil kira sub-sektor sokongan yang terlibat dalam rantaian ekonomi tersebut seperti penyedia perkhidmatan sewa kenderaan, pengusaha kraftangan, makanan dan minuman, pengusaha pelancongan desa di luar bandar dan lain-lain.

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh perdana menteri baru-baru ini menyatakan sektor sosial hanya akan dibenarkan beroperasi pada fasa 3 iaitu seawal bulan September nanti atau mungkin sehingga hujung tahun. \

Namun demikian, penyumbang utama kepada peningkatan jumlah positif adalah kluster tempat kerja seperti di kilang dan tapak pembinaan di negeri lain.

Muda Sabah berpendapat adalah tidak adil untuk SOP yang sama digunakan di Sabah sedangkan penularannya adalah dikawasan industri di luar negeri Sabah.

Maka, sebagai langkah pemulihan kepada sektor pelancongan di Sabah, Muda Sabah mencadangkan beberapa perkara sebagai langkah pemulihan segera sektor pelancongan di Sabah seperti berikut:

1. Pembukaan sektor pelancongan secara berperingkat mengikut zon yang kurang berisiko seperti yang dilaksanakan pada sebelum ini.

2. Mengadakan kempen bagi menggalakkan pelancongan domestik antara daerah di negeri Sabah.

3. Memberikan bantuan penambah baikan fasiliti asas seerti tandas, pondok rehat dan papan tanda di pusat pelancongan luar bandar yang disalurkan melalui persatuan pelancongan yang berdaftar.

Muda Sabah percaya, dengan kesungguhan yang tinggi, Sabah berupaya untuk melakasanakan pelan pemulihannya sendiri khususnya dalam sektor pelancongan tanpa bergantung harap sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan.

Kita lebih tahu apa yang terbaik untuk dilakukan di negeri sendiri.


AZIZUL JULIRIN Naib Pengerusi II, Muda Sabah dan Pengerusi, Persatuan Mesilou Atamis Homestay Kundasang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.