Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Menunggu sinar di hujung terowong

SURAT | Hampir setiap hari ada saja orang yang menghubungi kami untuk mengadu nasib masing-masing. Atau kadang-kadang mereka berhubung sebagai wakil kepada ahli keluarga, jiran tetangga atau saudara yang menghadapi kesulitan.

Sebahagian besar orang yang menghubungi Laskar Temerloh menghadapi masalah hidup yang datang secara mendadak. Misalnya tidak dapat keluar mencari rezeki, dijangkiti Covid-19 atau ada masalah kesihatan.

Tidak mudah untuk memenuhi permintaan mereka. Pada setiap panggilan yang datang ada kesulitan yang dihadapi. Itu belum lagi bercerita mengenai mencabarnya mencari dana untuk menampung harapan orang ramai yang bermasalah.

Namun tidak ada yang lebih membuat Laskar Temerloh berasa puas selain melihat senyuman penerima sumbangan yang kami santuni. Apa yang kami sampaikan sebenarnya adalah sumbangan daripada orang ramai. Kami hanya menyalurkannya saja.

Barangan yang kami serahkan juga sederhana. Ia hanya mampu membuat mereka berasa sedikit lega untuk seketika. Dapur di rumah masing-masing boleh berasap untuk beberapa hari saja.

Setiap kali menghantar barangan bantuan itu jugalah, pelbagai kisah mereka kongsikan kepada kami.

Mereka bukan orang yang mengambil kesempatan, juga tidak daripada kalangan yang malas berusaha. Mereka berdepan kesulitan kerana keadaan.

Misalnya ada peniaga yang tidak dapat berbuat banyak kerana jualan yang bukan saja tidak menguntungkan, malah selalu gagal menampung modal yang dikeluarkan.

Salah satu kes yang kami terima ialah sebuah keluarga sembilan beranak di Bukit Cermin, Mentakab, yang bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Khabar nasib malang itu disampaikan rakan kepada ketua keluarga terbabit.

Ketua keluarga tidak dapat bekerja untuk mengisi perut anak dan isteri, dan pada masa sama dia perlu menjalani pembedahan untuk merawat kanser tiriod.

Pasangan itu tinggal di rumah sewa untuk membesarkan tujuh anak berusia antara lima hingga 18 tahun. Ia adalah tanggungan yang amat besar buat si suami yang hanya bekerja sebagai pekerja am di sebuah kedai menjual barangan binaan.

Ketika ditemui, dengan nada suara yang kurang jelas akibat kesan pembedahan di lehernya, dia menitiskan air mata mengenang nasib keluarganya pada hari-hari mendatang.

Melihat usia anak bongsu dan keadaan penyakitnya, kami fikir kisah kesusahan hidup keluarga masih panjang.

Bagaimanapun apalah kelebihan yang kami ada selain hanya bantuan barang-barang dapur agar mereka sekeluarga tidak kelaparan untuk sementara.

Namun kami meminta supaya jangan segan dan malu untuk menghubungi kami sekiranya memerlukan bantuan lagi sambil meninggalkan mereka dengan kata-kata semangat.

Selain itu, kami juga akan merujuk kepada agensi kerajaan berkaitan agar nasib keluarga ini terbela.

Hari ini mungkin hari mereka, esok lusa mungkin hari kita, saudara-mara atau pun jiran tetangga kita.

Marilah kita bersama menghadapi cabaran pandemik ini dengan membantu antara satu sama lain.

Sekiranya tidak dapat membantu dalam bentuk barangan atau kewangan, bantulah dengan melaporkan kesusahan golongan memerlukan ini kepada agensi kerajaan atau NGO yang ada.

Kita tidak akan rugi dengan membantu. Pastikan tiada yang tertinggal kerana ada sinar di hujung terowong. Apabila cerah menggantikan gelap, ia adalah kemenangan kita bersama.


MUHAYUDIN SALLEH ialah aktivis Laskar Temerloh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.