Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Beri peluang warga universiti undi naib canselor mereka

Ruang dan peluang boleh diberikan kepada semua warga universiti awam khususnya ahli akademik untuk memilih individu yang difikirkan sesuai menjadi naib canselor atau rektor universiti melalui proses undian.

Ini susulan timbulnya isu kelewatan proses pengisian jawatan berkenaan beberapa buah universiti awam dalam negara kita seperti yang dilaporkan media.

Jawatan naib canselor atau rektor adalah satu jawatan yang paling penting untuk sesebuah universiti kerana mereka yang akan menentukan perjalanan dan hala tujunya.

Individu yang dilantik ke jawatan ini perlu terdiri daripada individu yang benar-benar sesuai, layak dan memiliki kesungguhan untuk membawa universiti ke arah kecemerlangan.

Tidak mudah untuk memikul jawatan tertinggi dalam sesebuah universiti. Seseorang itu perlu dipilih dari kalangan individu yang berkemahiran, berpengalaman dan memiliki kepercayaan tinggi warga universiti yang dikemudi mereka.

Siapakah naib canselor? Menurut Seksyen 2, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 [Akta 30] naib canselor ertinya naib canselor, presiden, rektor atau pengarah universiti, termasuk mana-mana orang, dengan gelaran apa jua, yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif universiti dan timbalan naib canselor hendaklah ditafsirkan sewajarnya.

Berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 [Akta 30] juga, seseorang naib canselor hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan bertanggungjawab bagi keseluruhan fungsi pentadbiran, akademik dan pengurusan serta hal ehwal universiti.

Selain itu, naib canselor juga hendaklah menjalankan pengawasan am ke atas semua aktiviti pengajaran, penyelidikan, kewangan, pentadbiran, kebajikan dan aspek tata tertib di universiti serta boleh menjalankan apa-apa kuasa lain sebagaimana diberikan kepadanya oleh AUKU 1971 [Akta 30] dan mana-mana peruntukkan undang-undang, kaedah dan peraturan sedia ada.

Bagaimana proses lantikan naib canselor untuk sesebuah universiti ini dilakukan? Menurut Seksyen 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 [Akta 30]:

“Bagi maksud memilih orang yang layak dan sesuai bagi jawatan naib canselor atau bagi mana-mana jawatan lain yang menteri mempunyai kuasa untuk melantik di bawah Akta ini, menteri hendaklah, dari semasa ke semasa, melantik suatu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai pelantikan itu”.

Menteri di sini ertinya menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi proses pengajian tinggi dalam negara kita.

Terdapat beberapa proses saringan dan temuduga dilakukan sebelum seseorang individu itu dilantik sebagai seorang naib canselor atau rektor sesebuah universiti.

Terdapat juga beberapa syarat atau kriteria ditetapkan oleh pihak kementerian dan universiti untuk dipenuhi sebelum seseorang itu dilantik sebagai seorang naib canselor atau rektor universiti.

Bagi memastikan individu yang dipilih ke jawatan penting ini benar-benar sesuai dan menerima kepercayaan penuh semua warga universiti, ruang dan peluang perlu diberikan kepada setiap warga universiti yang terlibat untuk melakukan proses pengundian bagi memilih mana-mana individu yang difikirkan sesuai untuk menerajui universiti mereka.

Warga universiti lebih mengetahui individu yang sesuai untuk menjadi pemimpin mereka.

Mana-mana individu yang berkelayakan dalam universiti yang terlibat boleh menawarkan diri mereka sebagai calon naib canselor atau rektor, kemudian proses debat boleh dilakukan antara calon-calon yang menawarkan diri mereka untuk bertanding bagi memudahkan pengundi mengenal pasti calon.

Setiap warga universiti boleh memberi undi mereka terhadap mana-mana calon yang mereka ingini pada tarikh undian.

Dengan adanya proses undian ini, ia dapat memastikan individu yang dipilih menjalankan segala tugas dan amanah yang diberikan kepada mereka dengan lebih baik.

Individu yang dipilih melalui undian juga akan lebih dihormati oleh setiap warga universiti kerana kuasa yang telah diberikan kepada mereka datang terus dari warga universiti yang memilih.

Melalui undian juga, proses demokrasi dapat disemai dalam kampus dengan lebih baik, sekali gus dapat meningkatkan tahap keyakinan orang ramai terhadap universiti itu sendiri serta kualiti produk yang dihasilkannya.

Undian juga dapat meningkatkan lagi tahap kualiti sektor pendidikan peringkat tinggi dalam negara kita.

Cadangan proses pengundian terhadap jawatan naib canselor dan rektor universiti juga perlu dilakukan terhadap jawatan timbalan mereka.

Setiap cadangan yang dikemukakan ada kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri, oleh itu pihak kerajaan boleh mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan di atas dengan lebih teliti.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.