SURAT | 6 langkah segar jamin kesejahteraan rakyat hadapi 'total lockdown'
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menzahirkan kebimbangan kami berkaitan trend peningkatan berterusan kes positif Covid-19 seluruh negara.
Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan sejak 12 Mei hingga 29 Mei lalu, sebanyak 105,312 kes baru telah dicatatkan. Angka ini menunjukkan pelaksanaan PKP 3.0 masih tidak berkesan dalam usaha Kerajaan menangani gelombang ketiga wabak.
Keputusan kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh atau “total lockdown” seperti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah wajar, namun perlu disusuli segera dengan beberapa langkah segar sepanjang pelaksanaannya.
Sekatan pergerakan penuh ini seharusnya dapat memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan proses vaksinasi secara besar-besaran di samping memperhebat usaha menjalankan ujian saringan di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara, PKPIM mencadangkan agar kerajaan menyediakan keperluan berikut:
- Lanjutan bantuan morotarium secara automatik tanpa syarat kepada golongan M40 dan B40.
- Menyegerakan agihan Bantuan Prihatin Rakyat, bantuan program e-Belia Pemerkasa berjumlah RM150, dan 150,000 komputer riba kepada para pelajar untuk sesi PdPR.
- Menyediakan pampasan buat peniaga kecil dan sederhana yang terjejas.
- Memperbanyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang lebih mudah diakses terutama warga emas di pedalaman.
- Menggerakkan pemberian vaksin dengan lebih proaktif dan agresif dengan menyediakan pengangkutan kepada golongan yang tidak mampu hadir ke PPV dan menggerakkan jentera kerajaan untuk kempen daftar vaksin dari rumah ke rumah.
- Menggesa pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mempergiat kajian berkaitan pengambilan vaksin oleh kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berikutan peningkatan sehingga 64,046 kes melibatkan kanak-kanak setakat 18 Mei 2021.
Akhir sekali, PKPIM bertegas dalam suasana kritikal yang dihadapi negara, amalan musyawarah dan prinsip syura harus ditegakkan terutama dalam konteks Malaysia sebagai negara demokrasi.
Ahli Parlimen harus dibenarkan bersidang bagi memastikan setiap langkah terkait isu pengurusan Covid-19 dapat dibahas secara tuntas dan terperinci.
PKPIM menyeru kepada seluruh rakyat terus berdoa agar negara kita dapat segera pulih daripada wabak ini. Semoga kita dilindungi daripada segala wabak penyakit dan pemimpin yang tidak peduli pada rakyat.
AHMAD FARHAN ROSLI adalah presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai