Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Langkah lebih terarah Selangor wajar diteladani

Saya mengalu-alukan dan memuji langkah proaktif kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dalam menangani pandemik Covid-19 di negeri itut.

Ini adalah susulan sidang media yang dibuat oleh Exco Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengerusi Selangor Task Force (STF)Covid-19 Dr Dzulkefly Ahmad pada 19 Mei lalu.

Saya menyimpulkan ada tiga perkara besar boleh diambil daripada pendekatan kerajaan Selangor memerangi Covid-19 iaitu:-

(i) Menjalankan program saringan Covid-19 secara percuma di seluruh 56 kawasan DUN bagi mencapai sasaran saringan berkelompok dan pengesanan awal bagi tindakan susulan segera;

(ii) Mengenal pasti sasaran yang jelas mengikut keutamaan bagi melaksanakan program vaksinasi yang terdiri daripada kumpulan barisan hadapan, kumpulan berisiko tinggi, warga emas, buruh, golongan terpinggir dan seluruh rakyat di Selangor; dan

(iii) Menempah sebanyak 2.5 juta vaksin bagi tujuan program vaksinasi tersebut.

Saya juga sependapat dengan kerajaan negeri bahawa tidak ada keperluan untuk mengenakan "total lockdown" secara semberono di seluruh Selangor kerana dibimbangi akan menjejaskan ekonomi negeri yang menyumbang sebanyak 20 peratus daripada KDNK negara.

Ia juga akan memberi kesan kepada kesihatan mental rakyat terbanyak termasuk peniaga-peniaga kecil.

Jika "total lockdown" tersebut adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, maka tindakan tersebut hendaklah dilakukan dengan lebih bersasar dan berkesan tetapi hanya selepas saringan berkelompok dijalankan.

Saya akhirnya menggesa kerajaan persekutuan supaya mencontohi pendekatan Selangor menangani pandemik Covid-19 hari ini yang dilihat lebih jelas dan terarah tanpa mengetepikan kepentingan membangunkan semula ekonomi serta memelihara kebajikan rakyat.

Kerajaan persekutuan juga hendaklah bersikap terbuka dan telus dengan berkongsi data yang diperlukan dengan kerajaan Selangor dalam mewujudkan sinergi bersama memerangi Covid-19 secara keseluruhan.


WAN ANWAR WAN IBRAHIM ialah Pengarah Komunikasi Amanah Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.