Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Zionis Israel terus menjarah Palestin

Masyarakat dunia ketika ini terarah kepada Sheikh Jarrah di Timur Jerusalem. Timbul persoalan siapakah dan mengapakah begitu pentingnya penama ini sehinggakan banyak pihak yang tampil menyatakan sokongan terhadapnya.

Malahan turut memeranjatkan ialah isu berkaitan Sheikh Jarrah bukan hanya mendapat perhatian para pemimpin dunia dari Rusia, China, Pakistan, Indonesia serta Norway malahan artis-artis Hollywood seperti Gal Gadot dan Rihanna turut menyatakan pendirian mereka.

Suatu yang pasti Sheikh Jarrah bukanlah individu yang menyebabkan Tebing Barat dan Gaza kembali bergolak bagi suku pertama 2021. 

Ia juga bukanlah Mohammed Abu Khdeir yang diculik pada 2014 seterusnya dipukul dan dibakar oleh enam remaja Yahudi. 

Peristiwa itu telah mengakibatkan meletusnya Perang Gaza 2014 yang telah mengorbankan seramai 2,314 Arab Palestin dan mencederakan lebih 17,125 yang lain. 

Manakala lebih daripada 500,000 orang telah kehilangan tempat tinggal selain diperakui sebagai yang paling ramai mengorbankan nyawa disebabkan oleh penggunaan peluru hidup oleh tentera haram Israel.

Apakah pergolakan terbaru yang melibatkan pejuang Hamas dan tentera haram Israel akan mengulangi peristiwa Gaza 2014, ia masih penuh dengan ketidakpastian. 

Sehingga artikel ini dihasilkan, pergolakan yang memasuki hari kelima telah pun mengorbankan lebih 100 nyawa Arab Palestin berikutan tindakan Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza. 

Situasi yang mencetuskan pergolakan berterusan di Timur Jerusalem ini adalah kesan langsung daripada pendudukan Israel sejak tahun 1967. 

Isu utama yang terus menjadi duri dalam daging kepada penduduk Arab Palestin ialah apabila hak mereka dinafikan dan diusir dari rumah kediaman milik mereka. 

Inilah yang menjadi punca kepada tercetusnya bibit awal yang melibatkan kawasan Sheikh Jarrah (gambar, bawah) apabila cubaan Israel mengusir tujuh keluarga Palestin dari rumah mereka yang telah mereka duduki sejak 1956.

Malahan Israel juga bercadang untuk memusnahkan petempatan Arab Palestin di Al Bustan dengan mengguna pakai undang-undang yang diluluskan pada 1970 yang mengatakan pemilik asal tanah di Palestin sebelum 1948 adalah hak milik orang-orang Yahudi. 

Ini bermakna keluarga Arab Palestin yang kini menduduki Sheikh Jarrah perlu diusir dan kediaman mereka wajib dikembalikan kepada orang-orang Yahudi. Dalam konteks ini “hayunan penipuan” Zionis Israel sudah tidak mampu lagi untuk terus menipu masyarakat dunia. 

Hakikatnya ialah apa yang dilakukan oleh mereka adalah menyalahi dan melanggar Konvensyen Keempat Geneva. Malahan jurucakap kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), iaitu Stephane Dujarric turut menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan yang berlaku serta tindakan pengusiran penduduk Arab Palestin daripada kediaman mereka oleh Israel.

Masihkah Amerika Syarikat penyelamat Israel?

Amerika Syarikat yang selama ini menjadi “payung penyelamat” kepada Israel berkaitan konflik di Asia Barat kali ini mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Presiden Joe Biden yang diketahui akan polisi luar negaranya adalah lebih kepada Indo-Pacific bertindak tidak mengeluarkan kenyataan yang kontroversi seperti bekas Presiden Amerika yang terdahulu iaitu Donald Trump. 

Kerangka dasar luar Amerika Syarikat bawah pimpinan Biden adalah melibatkan kekuatan domestik kelas pertengahannya, kesan globalisasi serta kerjasama global. 

Adalah jelas pentadbiran Biden mengakui akan kedinamikan China dan perlunya Amerika kembali memainkan peranannya secara kompetitif dalam menyaingi China dari sudut ekonomi, politik, keselamatan dan teknologi. 

Hala tuju Amerika Syarikat ini dijelaskan secara terperinci dalam penerbitan Rumah Putih pada Mac 2021 berkaitan dengan Panduan Strategik Interim Keselamatan Negara.

Dalam masa yang sama terdapat lebih 25 ahli Demokrat yang menggesa supaya Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken mengutuk perancangan menjarah tanah dan kediaman Arab Palestin di Sheikh Jarrah yang dituntut oleh Israel. 

Ia adalah sebahagian daripada tekanan politik yang cuba dikenakan kepada Israel oleh kumpulan Demokrat yang diketuai oleh Marie Newman dan Mark Pocan. 

Ia juga adalah usaha menyokong rang undang-undang yang dikemukakan oleh Betty McCollum yang menyatakan bahawa Amerika Syarikat tidak akan membantu Israel sekiranya mereka terus-terusan menidakkan keamanan, melanggar hak asasi kanak-kanak dan memusnahkan penempatan atau secara sengaja merampas tanah milik Arab Palestin.

Mengapakah konflik kemanusiaan yang berlaku di Palestin masih gagal untuk menemui titik penyelesaiannya? 

Salah faham mahupun pelencongan isu oleh golongan inteligensia Zionis terhadap Palestin memerlukan pemahaman yang komprehensif khususnya dari sudut pensejarahan. 

Penelitian dan pemahaman berkenaan adalah penting kerana masalah di Palestin bermula dengan kehadiran Zionis yang menerajui negara haram Israel sejak tahun 1948.

Suasana tegang yang bermula sejak akhir April 2021 dengan ratusan golongan ekstremis Yahudi melaungkan “Matilah Orang Arab”. Ia diteruskan dengan isu Sheikh Jarrah serta kepada kawalan ketat dan halangan untuk memasuki kota lama Jerusalem yang menempatkan Masjidil Al Aqsa sepanjang bulan Ramadhan. 

Rentetan tekanan itu hanyalah seperti menuang minyak ke atas api yang sememangnya telah menyala. Kebiadaban tentera haram Israel yang bertindak menceroboh dan menyerang Masjidil Al Aqsa pada 7 Mei lalu dan mengakibatkan kecederaan kepada lebih 200 orang Arab Palestin adalah kemuncak kepada segalanya.

Model penjajahan pendatang

Zionisme sebagai ideologi politik adalah satu struktur dan ia menempati model yang dikenali sebagai “Penjajahan Kaum Pendatang” atau The Settlers Colonialism yang diperkenalkan oleh ahli antropologi Australia iaitu Patrick Wolfe. 

Pada asalnya model Penjajahan Kaum Pendatang adalah digunapakai dan merujuk kepada pergerakan masyarakat Eropah yang dipaksa meninggalkan Eropah disebabkan oleh layanan buruk yang diterima atau bertujuan membina hidup baru dan kekal di tempat berkenaan yang sememangnya telahpun dihuni oleh penduduk asal.

Penghijrahan kaum pendatang itu kelak akan diikuti dengan pertumpahan darah sebagaimana yang melibatkan pendatang Yahudi ke atas penduduk Arab Palestin. 

Ia adalah disebabkan kaum pendatang yang cuba mengubah status mereka kepada penduduk asal. 

Manakala status penduduk asal cuba ditukarkan menjadi kaum pendatang atau tidak bernegara (stateless). Keadaan ini sudah tentu mengundang masalah dari sudut status warganegara dalam jangka masa panjang selain daripada menyamai peribahasa “seperti kacang lupakan kulit”,

Zionis telah mengaplikasikan situasi yang dikenali sebagai “Logik penghapusan penduduk asal” atau The logic of the elimination of the native. Ia telah menghalalkan pembunuhan penduduk Arab Palestin secara beramai-ramai di negara haram Israel menyamai Dasar Apartheid yang pernah wujud satu ketika dahulu di Afrika Selatan. 

Rancangan Zionis itu telahpun bermula sejak tahun 1882 yang menyaksikan seramai 6,000 orang Yahudi meninggalkan Rusia dan menuju ke Palestin. 

Ia dikenali sebagai Aaliyah Pertama atau Pendatang Pertama (1881-1903) yang terdorong oleh desakan kesedaran yang digerakkan oleh pemikir awal Zionisme iaitu Leon Pinsker di dalam penulisannya bertajuk Auto-Emancipation. Penulisan Pinsker itu jelas mengajak orang-orang Yahudi mengubah nasib mereka sendiri tanpa mengharapkan bantuan masyarakat Eropah. 

Lebih-lebih lagi apabila orang-orang Yahudi telah menjadi sasaran pembunuhan dan kediaman mereka dimusnahkan menerusi Pogrom yang diinstitusikan oleh Tsar Alexander III ke atas mereka.

Rancangan jahat Zionis mencapai kemuncaknya pada 14 Mei 1948 yang menyaksikan tertubuhnya negara haram Israel hasil konspirasi jahat Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Britain. 

Ia juga menyebabkan meletusnya Nakba 1948 atau Malapetaka 1948 yang menyebabkan lebih 700,000 Arab Palestin diusir serta menjadi pelarian di tanah tumpah mereka sendiri selain kediaman mereka turut dimusnahkan dan dinafikan hak kewarganegaraan. 

Zionis sebenarnya telahpun lebih awal mengisytiharkan bibit-bibit awal perang menerusi situasi yang dikenali sebagai casus belli pada 1947 yang mengakibatkan lebih 300,000 Arab Palestin diusir sebelum tertubuhnya negara haram Israel. 

Zionis terus memperkukuhkan model Penjajahan Kaum Pendatang apabila Israel memenangi Perang Enam Hari 1967 sekaligus menguasai Timur Jerusalem meliputi Tebing Barat, Bukit Golan dan Semenanjung Sinai (diserahkan semula oleh Israel kepada Mesir pada 1979).

Israel dan penjara besar Palestin

Penguasaan Israel ke atas Timur Jerusalem mengesahkan penguasaan mereka ke atas bumi Palestin walaupun pada asasnya Gaza dan Tebing Barat menikmati autonomi politik yang terhad. 

Namun hakikatnya Israel menguasai sempadan dan keselamatan Timur Jerusalem sekaligus melahirkan apa yang dikenali sebagai penjara besar (Mega-prison) yang diwujudkan pada Jun 1967. 

Ia adalah selari dengan ideologi Zionis yang seboleh mungkin cuba menguasai Palestin dan meningkatkan kemasukan orang-orang Yahudi. Ia akhirnya akan menjurus terhadap penerusan pengusiran dan penghapusan etnik yang dimulakan menerusi Nakba 1948 dan diperkukuhkan menerusi Perang Enam Hari 1967. 

Israel sebenarnya telah mewujudkan penjara besar terhadap Arab Palestin yang memiliki strukturnya sendiri, imun dan tidak tercabar oleh desakan antarabangsa serta berfungsi mengikut acuan Zionis.


MOHD AMIRUL AKHBAR MOHD ZULKIFLI ialah ahli akademik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.