SURAT | Hargai jasa bakti pengerusi DAP Johor
Saya mengikuti perkembangan berkenaan hujah rakan seperjuangan saya Yeo Tung Siong, yang beliau dilihat seolah-olah mempersoalkan kepimpinan Pengerusi DAP Johor Sdr Liew Chin Tong.
Perkara pokok yang berbangkit adalah pemerhatian yang pengerusi negeri dilihat mengelak daripada mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri apabila tercetus krisis Langkah Sheraton dan insiden pertukaran menteri besar Johor.
Menyingkap kembali peristiwa rombakan barisan exco susulan pertukaran MB pada bulan April 2019, MB Johor Datuk Osman Sapian meletak jawatan atas sebab-sebab tertentu yang tiada kena-mengena langsung dengan DAP.
Jadi apabila dikhabarkan seorang exco DAP perlu juga diganti ia mengejutkan kami semua ketika itu. Kami tertanya, apa kaitan menukar Tan Hong Pin dengan perubahan menteri besar? Tatkala itu, Cikgu Yeo telah meminta pengerusi mengadakan mesyuarat JK Negeri untuk sama-sama berbincang, enam AJK telah menyokong cadangan Cikgu Yeo termasuk saya sendiri.
Akhirnya Chin Tong mengambil keputusan tidak mengadakan mesyuarat. Saya yakin pengerusi telah membuat pertimbangan yang teliti sebelum mengambil keputusan sedemikian.
Tidak lama selepas itu, berlaku pula peristiwa Sheikh Umar, exco negeri (Adun Paloh – DAP) yang ‘pihak tertentu’ meminta ditukarkan portfolio beliau. Keadaan yang sama berulang apabila tidak ada sebarang mesyuarat di peringkat JK negeri untuk berbincang demi konsensus parti.
Februari 2020 apabila berlakunya Langkah Sheraton, ahli-ahli akar umbi parti turut menimbulkan persoalan yang sama apabila mereka tidak mengetahui apa yang sedang berlaku. Pihak pimpinan yang ketika itu sedang kalut mengurus isu ini di pusat hingga ahli-ahli akar umbi keliru kerana tidak ada apa-apa makluman situasi terkini ketika itu. Sekurang-kurangnya di Johor begitu rupa keadaannya mengikut pemerhatian saya.
Sebelum kita berbicara lanjut mengenai isu ini, semua pihak kena faham dan hargai kedudukan Chin Tong sebagai pucuk pimpinan DAP di peringkat kebangsaan. Beliau seorang tokoh pemimpin hebat dan bervisi yang mampu mengubah nasib negara. Fokus beliau adalah menyusun strategi mempertahankan kerajaan PH di Putrajaya.
Dalam tempoh beberapa hari sebelum Hasni mengangkat sumpah, ada beberapa orang pemimpin parti Melayu ingin bertemu pengerusi DAP Johor untuk berbincang tentang kemungkinan tertentu dalam peralihan ini. Antara lain, Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang yang memang berminat untuk berjumpa. Dia tidak mahu membazir masa jumpa orang lain. Kalau ada kesungguhan untuk menghalang Umno kembali berkuasa di Johor, dia mahu terus berjumpa Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, itu rancangan asalnya.
Namun malangnya, Chin Tong amat diperlukan di Kuala Lumpur. Beliau tidak sempat turun ke Johor. Maka rancangan tersebut tidak berhasil. Pada 3 Mac, 10 hari selepas kerajaan Johor jatuh, Chin Tong meluangkan masa kembali ke Johor bersama-sama Setiausaha Agung Guan Eng untuk memberi taklimat kepada akar umbi parti.
Kepada ahli DAP baru yang belum dapat saya kenali, penglibatan saya dengan DAP sejak tahun 2010 sebagai editor di Roketkini, kemudian penyelaras Sekolah Demokrasi. Bos besar saya adalah Liew Chin Tong. Selepas PRU 13 saya dilantik sebagai setiausaha politik beliau.
Saya diturunkan sebagai calon di parlimen Tanjong Piai dalam PRU13. Antara yang menaruh harapan besar pada saya dan memberi bimbingan adalah Sdr Liew Chin Tong. Akhirnya saya tidak berjaya, namun banyak kenangan pahit manis bermula dari situ. Pada masa itu juga, saya mula berkenalan dengan Sdr Yeo Tung Siong atau lebih mesra ‘Cikgu Yeo’ yang bertanding dan menang di kawasan DUN Pekan Nenas di bawah parlimen Tanjung Piai.
Untuk rekod, ketika itu saya menang di DUN Pekan Nenas lebih 2,000 undi, tetapi melingkup di kawasan Melayu iaitu DUN Kukup.
Saya menyokong pendapat Cikgu Yeo yang menitikberatkan kepentingan mesyuarat JK Negeri bertemu apabila berlaku peristiwa penting seperti Langkah Sheraton. Tetapi saya juga boleh faham bahawa kenapa Chin Tong kurang turun ‘kawasan’ kerana peranan dan tugas yang beliau galas jauh lebih berat di peringkat pusat.
Bukan mudah untuk kita di Johor memiliki seorang tokoh pemimpin yang berpandangan jauh dan begitu berwibawa. Harus kita ingat, Chin Tong anak kelahiran Kuala Lumpur dan mula berpolitik di ibu kota dan kemudian di Pulau Pinang.
Pada tahun 2012, beliau memilih Johor untuk menyemai benih demokrasi DAP di bumi Johor. Kini hasilnya sudah dirasai dan dilihat. Jadi kita patut menghargai jasa bakti Chin Tong.
Selagi beliau masih berhasrat untuk berpangkalan di Johor, kita haruslah bersyukur.
MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai