SURAT | Berkenaan kalimah Allah...
Pada mulanya, saya enggan terlibat dalam kontroversi berkenaan penggunaan kalimah Allah dalam Alkitab.
Ini kerana sudah pun begitu banyak penjelasan diberikan oleh orang ramai. Bukan orang Kristian saja, malah kebelakangan ini, yang bukan Kristian juga.
Baru semalam, 64 NGO mengeluarkan kenyataan mereka berkenaan dengan kontroversi ini untuk menyokong keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dengan kes Jill Ireland, seorang anak Sarawak yang membawa balik buku-buku dan CD yang dibelinya dari Indonesia ke Sarawak.
Kebanyakan kenyataan akhbar yang dikeluarkan itu semuanya dalam bahasa Inggeris dan tidak banyak yang dibuat dalam Bahasa Melayu, demi memberi pemahaman serba sedikit kepada orang-orang Melayu yang beragama Islam.
Pada pendapat saya, sekiranya perselisihan faham dalam isu kalimah Allah ini perlu dijelaskan dengan baik kepada orang Melayu Islam.
Sebarang kenyataan yang dikeluarkan juga perlulah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Setakat ini, artikel yang paling lengkap dan mudah difahami adalah oleh seorang cendekiawan Islam bernama Dr Moaz Nair, tetapi malangnya ia tidak ditulis dalam Bahasa Melayu.
Oleh kerana inilah saya, dengan rendah hati, cuba memberi serba sedikit pemahaman saya secara ringkas kepada rakan-rakan Islam saya berkenaan dengan isu kalimah Allah selama ini.
Saya amat memahami perasaan orang Melayu yang tidak ingin nama Allah digunakan dalam sebarang agama selain daripada Islam. Dalam pendekatan, orang Kristian juga tidak ingin nama Tuhan kami dipersendakan oleh orang bukan Kristian.
Bagaimanapun, dalam kontroversi ini perlu difahami bahawa nama Allah tidak dipersendakan dalam Alkitab, malah nama Allah disanjung tinggi dalam gereja.
Sejak penterjemahan Injil Matius ke dalam Bahasa Indonesia dibuat pada abad ke17, nama Allah telah pun digunakan.
Oleh yang demikian, apabila seluruh Alkitab diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia, dan kemudiannya ke dalam Bahasa Malaysia, nama Allah juga dikekalkan, walaupun ada orang Kristian yang tidak senang dengan penggunaan nama Allah dalam Alkitab.
Ini juga pendirian saya pada waktu muda. Tetapi apabila saya mula memahami pandangan kaum Dayak dan Kadazan-Dusun, serta orang orang Asli di Semenanjung yang selama ini telah menggunakan nama Allah dalam Alkitab mereka, saya juga terpaksa menerima hakikat ini.
Jikalau selama lebih 300 tahun ini nama Allah telah digunakan dalam Alkitab di rantau Nusantara ini, takkan mudah untuk nama ini ditukarkan begitu saja, walau secara paksaan.
Apabila saya terbaca satu penerangan bahawa tidak ada nama Allah dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Inggeris, mahupun dalam Perjanjian Lama dalam Bahasa Ibrani atau Perjanjian Baru yang ditulis dalam Bahasa Greek, saya terpaksa meneliti teks asal.
Perkataan Greek untuk Tuhan adalah θεος (Theos) memang jauh berbeza dengan perkataan “god” dalam Bahasa Inggerisnya. Tetapi, Bahasa Ibraninya adalah אֱלָהּ אֱלָהִין Elah Elahin (dalam ayat Daniel 2:47) yang membawa maksud “Tuhan kepada segala tuhan”.
Patutlah lagu “Puji Tuhan, syukur kepada Ilahi” dapat kedengaran di gereja juga, kerana perkataan אֱלָהּ dalam Bahasa Ibraninya ada pelbagai gabungan (conjugation) dan antaranya adalah Elahi, Elohim, Elohai dan Eloi.
Oleh kerana Bahasa Ibrani, Bahasa Aramai dan Bahasa Arab adalah bahasa serumpun iaitu bahasa berbentuk Semitik, banyak perkataan perkataan yang saya pelajari dalam Bahasa Melayu juga sama dengan Bahasa Ibraninya.
Ini dapat difahami secara ringkas kalau kita bandingkan kedua-dua Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia yang hampir mirip.
Baru-baru ini, apabila saya mempelajari Bahasa Ibrani, baru saya faham bahawa perkataan seperti Senin (Isnin atau hari kedua) yang sudah lama dilupai adalah angka kedua (שֵּׁנִי) .(Ahad itu, jikalau dalam Bahasa Ibraninya, adalah דחֶא (ek’had).
Kata zakar untuk jantan juga sama maknanya dalam Bahasa Ibraninya, זָכָר (zakar). Nabi dalam Bahasa Ibraninya adalah נָבִיא (navi), dan salam atau Bahasa Ibraninya, שָׁל֑וֹם (shalom).
Jadi tidak begitu besar bezanya Bahasa Melayu yang banyak perkataan asalnya dari Bahasa Arab dengan Bahasa Ibrani yang saya pelajari.
Ini membawa saya kepada satu pengalaman dengan seorang rakan sekerja saya dari Indonesia yang melawat ke Malaysia. Kerana beliau dapat membaca Bahasa Malaysia, selepas membeli-belah, beliau menaiki teksi.
Pemandu teksi menanyakan beliau, “Ke mana nak pergi?”
Rakan sekerja saya lantas menjawab, “Ke jalan mati.”
Apabila saya mendengar cerita ini, saya ketawa terbahak-bahak. Beliau terbaca petanda jalan yang dibacanya tanpa memahami penggunaan perkataan Bahasa Malaysia walaupun beliau faham maksud perkataan “mati”.
Beliau terus memberitahu saya bahawa semasa mencatitkan “jalan mati” dalam buku notanya, beliau juga pelik kenapa ada nama jalan sedemikian di Malaysia.
Moralnya, bahasa serumpun memang banyak perkataan yang sama, tetapi berlainan ertinya kerana penggunaan dan konteks perkataan sedemikian yang berbeza.
Banyak lagi perumpamaan yang menggunakan perkataan yang hampir sama. Oleh kerana ketiga-tiga agama berasal dari Timur Tengah, maka suka tak suka, perlu difahami bahawa banyak perkataan asalnya adalah lebih kurang sama.
Inilah hakikat sebenarnya kenapa Alkitab, apabila pada mulanya diterjemahkan sejak abad ke17, telah pun menggunakan Nama Allah, saya juga turut menyanyikan lagu pujian kepada Ilahi tanpa ragu-ragu lagi di dalam gereja.
STEPHEN NG adalah rakyat biasa yang mengikuti perkembangan politik negara dan sekali-sekala memberi pandangan dan suara hati nurani terhadap isu korupsi.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai