Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Gelembung keselamatan yang menekan siswa

SURAT | Ini adalah pandangan peribadi saya berkenaan kemasukan pelajar ke kampus universiti bermula Mac 2021 berdasarkan maklumat berkaitan dasar-dasar yang diputuskan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Sebagai pelajar pascasiswazah yang pernah tinggal di kolej kediaman selama tujuh semester (tiga setengah tahun) dan menyewa rumah untuk tiga tahun kemudiannya, saya rasa penting untuk saya bersuara.

Seperti yang dimaklumi, terdapat percanggahan di antara Soalan Lazim (FAQ) Kemasukkan Pelajar IPT ke Kampus pada Mac 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Soalan Lazim Siri 01 yang dikeluarkan oleh UTHM.

Saya faham sekiranya UTHM mengambil arahan yang dikeluarkan oleh KPT menerusi Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH) menerusi surat bertarikh 8 Feb yang menyarankan agar semua pelajar berkeperluan ditempatkan di dalam kampus. Itu bukanlah isu.

Tetapi keputusan untuk mewajibkan setiap mahasiswa berkurung di dalam kampus - itu adalah isu. Dan jika tidak diperjelaskan secara terperinci, ia akan menimbulkan lebih banyak isu mendatang.

Ada baiknya sebelum Mac ini pihak universiti dapat membuat pertimbangan perkara ini dengan sewajarnya.

Pertama, berkenaan mereka yang dikatogarikan sebagai "pelajar berkeperluan" untuk pulang ke kampus (tahun tiga dan empat). Masalah utama mereka bukanlah kesukaran untuk pulang ke kampus.

Ada sebahagian daripada mereka memang gembira untuk kembali tetapi syarat wajib yang memerlukan mereka menetap di kolej kediaman (asrama) menimbulkan masalah. Mereka sudah sewa rumah.

Sebahagian peruntukan mereka sudah dikeluarkan untuk menanggung kos sewa. Jika kontrak dibatalkan, mereka akan kehilangan wang deposit. Kemudian mereka juga harus membayar yuran penginapan kolej pula.

Jumlah wang yang besar

Jika tidak duduk kolej, mereka kena drop. Jika drop yuran semester ini akan hangus. Sudahlah begitu, mereka tetap masih perlu menganggung kos sewa.

Batal kontrak sewa pun ceritanya sama saja: hilang duit deposit. Jika diteliti hal ini, saya harap pihak universiti faham ini bukan isu subsidi yuran kolej kediaman yang sudah cukup murah, dan mahasiswa memang harus mensyukurinya. Ini adalah masalah pengurusan.

Walaupun telah dua semester pelajar balik kampung, persoalan rumah sewa ini tetap sangat wajar. Sepanjang dua semester yang lepas, pelajar belum mengetahui keputusan muktamad atau jelas berkenaan perkara ini.

Atas sebab itu, pelajar tidak mengambil keputusan untuk menamatkan sewa rumah kerana mereka tidak menyangka pihak UTHM akan mewajibkan semua pelajar yang berkeperluan tinggal di dalam kampus.

Anggaran minimum yuran kolej (selepas subsidi) adalah RM700. Anggaran kemasukan mahasiswa pula adalah seramai 6,400 orang. Maka dengan perkiraan itu (RM700 x 6,400 orang) ia adalah jumlah yang besar.

Gambar hiasan

Dan berapa pula anggaran kerugian lain seperti deposit sewa rumah pelajar yang hangus?

Jika ada sesuatu perkara luar jangkaan berlaku, adakah pihak mahasiswa harus menanggung kerugian sekali lagi?

Maka, memandangkan keadaan ekonomi rakyat sememangnya dalam keadaan tidak seimbang ini, keputusan yang benar-benar jelas dan praktikal adalah sangat penting.

Kedua, saya rasa amatlah tidak wajar pihak universiti mengambil pendekatan worse case scenario. Bagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pensyarah dan kakitangan?

Kenapa SOP yang sama tidak boleh diterapkan untuk mahasiswa? Mereka juga menetap dalam kawasan radius tidak lebih 10km dari UTHM.

Berkaitan potensi jangkitan Covid, apa sebenarnya yang membezakan mahasiswa dengan kakitangan universiti?

Kita tidak mahu keperluan membayar yuran kolej dan tanggungan kos makanan sepanjang 10 hari mahasiswa berisolasi menjadi perkara yang meletakkan mahasiswa dalam keadaan lebih tertekan. Seharusnya pihak universiti perlu sebaik boleh mengurangkan kos kerugian yang terpaksa ditanggung pelajar.

Lanjut atau duduk dalam

Kerana kaedah yang lebih baik, lebih sihat dan selamat, ada. Kita juga masih dapat terfikirkan jalannya. Untuk membincangkan secara dalaman juga boleh.

Tidak perlu pihak universiti mengambil tindakan yang nampaknya melulu dan menekan mahasiswa. Tindakan ‘cemas’ sebegitu belum jadi satu keperluan lagi.

Boleh saja UTHM mengambil pendekatan seperti yang dilaksanakan kerajaan: kuarantin 10 hari di rumah sewa, contohnya. Ini akan lebih banyak membantu mahasiswa, pengurusan lebih mudah dan pihak universiti tidak pening kepala.

Apa-apa yang berlaku, mereka ada di rumah sewa, tempat yang lebih selamat untuk semua orang. Proses kuarantin juga akan menjimatkan kos universiti, akan lebih kurang pergerakan, stres akan dapat dikurangkan.

Sebagai mahasiswa, saya fikir kawan-kawan saya yang lain tidak perlulah dikongkong sehingga sebegitu rupa. Lagipun, bukankah mahasiswa itu adalah manusia terpelajar? Maksudnya, mereka adalah orang yang mampu menjaga diri sendiri.

Sesudah itu, takkan tidak mampu untuk memutuskan sesuatu untuk dirinya sendiri? Takkanlah untuk "manusia terpelajar" hanya ada dua pilihan iaitu memperpanjang pengajian (extend) atau "duduk dalam"?

Percayalah, kedua-dua pilihan ini akan sangat mengganggu kesihatan mental mahasiswa.

Jika mahasiswa UTHM adalah manusia terpelajar, yang sedang mengasah kesedarannya, maka kaedah pengurusan yang cuba-cuba mengatur mahasiswa boleh dilihat sebagai satu penghinaan.

Jika mahasiswa UTHM memang perlu diatur sehingga begini, adakah itu layak dipanggil mahasiswa? Yang dalam bahasa kasarnya, yang perlu diternak dan diatur seperti mereka ini tidak mampu apa-apa?

Bukankah mahasiswa UTHM ini rata-ratanya bakal jurutera, yang kerja mereka adalah adalah untuk "memahami dan mengenal pasti masalah" serta "menemukan formula" seterusnya "menyelesaikan masalah" agar kehidupan/sistem/mesin dapat beroperasi dengan lebih efektif?

Jika prinsip pihak universiti kekal untuk mengatur mahasiswa ini secara kerahan, maka ya, ianya satu penghinaan buat bakal jurutera. Untuk jangka panjang, keputusan sebegini sedang melatih pelajar untuk tidak bertanggungjawab atas setiap masalah yang bakal mereka hadapi.

Ketiga, apakah pertimbangan sebenar UTHM? Penjelasan yang tuntas dan terperinci perlu dinyatakan. Adakah UTHM tidak mempertimbangkan isu rumah sewa pelajar? Pergerakan kakitangan di luar universiti yang tidak boleh dikawal? Kesan gelembung keselamatan (safety bubble) terhadap kesihatan mental dan motivasi pelajar?

Ramai pelajar faham dasar gelembung keselamatan yang pihak universiti ingin terapkan. Ianya untuk memastikan universiti berada dalam keadaan yang selamat, pergerakan pelajar terkawal, dan untuk mengelakkan perkara yang tak diingini.

Saya setuju itu merupakan langkah yang sangat baik. Tetapi adakah pihak universiti benar-benar memperhalusi seberapa praktikal untuk ianya dilaksanakan? Saya khuatir kualiti pelaksanaannya nanti jadi sangat rapuh, serapuh buih atau gelembung.

Kakitangan universiti dan orang lain seperti pekerja pembersihan tetap menggunakan tandas yang digunakan pelajar. Makmal penyelidikan yang dikelola oleh petugas makmal juga digunakan pelajar. Pensyarah tetap akan berjumpa dengan pelajar.

Terap SOP sama untuk semua

Mereka semua yang - bukan mahasiswa - tetap akan keluar dari gelembung keselamatan ini, dan tetap akan berhubung dengan pelajar. Apakah yang memastikan mereka tidak akan keluar masuk kampus bersama Covid-19?

Bagaimana kalau gelembung itu 'pecah'? Apa alasan munasabah untuk mengatakan pelaksanaan gelembung keselamatan itu benar-benar cekap?

Andai kata worse case scenario terjadi, Covid-19 terlepas dan gelembung terbabit meletup, ketika itu masalah akan jauh lebih serius. Untuk memastikan gelembung tidak pecah, setiap kakitangan juga tidak boleh keluar dari gelembung berkenaan.

Tetapi untuk mengurung pekerja, staf dan pensyarah bersama-sama di dalam gelembung itu adalah sesuatu yang mustahil. Pihak universiti pun tahu itu langsung tidak praktikal.

Maka perkara yang paling baik ialah penerapan SOP yang sama buat semua orang, sesiapa saja yang melepasi pagar universiti.

Sebagai contoh, sekiranya mahasiswa itu tidak dikategorikan sebagai pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus, tetapi tidak mahu duduk di kolej, adakah pelajar itu perlu melanjutkan semester itu dan harus mengulanginya semester hadapan?

Ini menambah beban mahasiswa dan mengakibatkan kebanyakan mahasiswa akan mengambil keputusan untuk berhenti belajar.

Adakah pihak MPP hanya akan mengeyakan segala keputusan universiti? Adakah mereka tidak mempertimbangkan apa-apa semenjak FAQ pertama keluar pada 9 Feb?

Saya fikir MPP pastilah jelas dan sedar, ramai pelajar yang merungut tentang pekara ini. Dan sesuatu yang jelas harus dilakukan MPP berdasarkan keputusan Kaji Selidik Pelajar Tanpa Asrama yang baru saja diedarkan 18 Feb lebih kurang pukul 10 malam itu.

Dan keputusan kaji selidik haruslah diketahui oleh setiap pelajar. Harap pihak MPP yang mewakili pelajar dapat bertindak selaras dengan kepentingan dan suara setiap pelajar.

Akhirnya adakah kita boleh katakan keputusan pihak universiti itu sebagai keputusan yang melulu? Tidak, pihak universiti boleh menunda setiap keputusan, menyemak semula data-data berdasarkan keperluan utama pelajar.

Tunggu jawapan kaji selidik daripada MPP, putuskan sesuatu dengan seadilnya. Tanamkan dalam diri mahasiswa untuk tidak takut menyatakan apa yang sejujurnya, agar keputusan yang terbaik dapat diputuskan pihak universiti.

Jika tidak, setiap keputusan sehala yang menekan hanya akan cenderung untuk menimbulkan penindasan dan ketidakadilan terhadap mahasiswa.


Hafizuddin Hassan ialah penuntut UTHM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.