Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | GRS perlu beri penjelasan projek Empangan Papar

Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan/ Papar (Takad) ingin meminta penjelasan dan menuntut keputusan rasmi dari kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam penerusan projek mega Empangan Papar yang diluluskan kerajaan Warisan sebelum ini.

Perkara ini dirujuk susulan daripada kenyataan pembantu menteri kerja raya Limus Jury semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri pada 22 Disember bahawa kerajaan GRS akan menggantikan Empangan Papar/Kaiduan dengan Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 bagi menyelesaikan masalah bekalan air di daerah Papar dan sekitar Kota Kinabalu.

Kami juga merujuk kepada jawapan kepada soalan tambahan YB Kepayan Jannie Lasimbang yang bertanya mengenai kajian impak alam sekitar dan sosial dalam projek penggantian empangan Papar.

Pembantu menteri menjawab, “Pihak kementerian sudah mengkaji pelaksanaan Kaiduan dam ini untuk menyelesaikan masalah-masalah air di sekitar Papar, Kota Kinabalu dan akan tetap dilaksanakan dengan mengikut assessment yang dibagi kementerian seperti IDS dan juga UMS.”

Takad berpendapat bahawa kenyataan-kenyataan dilaporkan pihak kementerian kerja raya bercanggah serta mengelirukan pihak kami yang bakal terkesan dari pelaksanaan projek ini.

Kami dengan ini menuntut satu jawapan rasmi daripada menteri kerja raya dan timbalan ketua menteri Bung Mokhtar Radin tentang persoalan projek empangan mega Papar yang dirancang oleh kerajaan Warisan sebelum ini akan diteruskan oleh kerajaan GRS dan terkandung dalam projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3.

Kami juga meminta penjelasan spesifik bagi penyelesaian alternatif yang dimaksudkan oleh Pembantu Menteri di Dewan Undangan Negeri sebagai mengganti empangan Papar/Kaiduan.

Keputusan dan kenyataan jelas dan rasmi dari menteri kerja raya adalah sangat penting untuk kami yang dipinggir dari proses konsultasi, perancangan dan kajian selaku komuniti yang terkesan oleh kerajaan sebelum ini.

Kami sebagai orang asal mempunyai hak untuk dimaklum awal dan membuat keputusan yang bebas, dengan izin atau Free Prior and Informed Consent (FPIC) yang termaktub dalam Deklarasi Hak Orang Asal Sedunia (UNDRIP) dan kami harap kerajaan baru ini menghormati hak kami ini.

Takad juga ingin membawa kepada perhatian pihak kerajaan bahawa kami memperjuangkan hak tanah adat serta hak sebagai masyarakat orang asal di kawasan sungai Papar yang hidup dengan sumber alam dan menganggap kawasan sungai dan tanah sebagai warisan dan pusaka bangsa kami.

Takad juga sekali lagi ingin mengingatkan pihak kerajaan untuk mengambil kira cadangan sumber tadahan air semula jadi sebagai alternatif kepada empangan mega yang dikemukakan oleh pakar geologi Universiti Malaysia Sabah Dr Felix Tongkul.

Kami menyeru kerajaan baru Sabah untuk mengambil satu langkah inovatif dan mesra alam dengan mencari solusi lestari dan mesra alam dan orang asal dalam menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar bandar-bandar utama di Pantai Barat Sabah.

Kami hanya menolak projek empangan mega Papar dan sokong alternatif yang lebih mesra alam dan orang asal sebagai satu tuntutan hak kerana skala dan kesan empangan mega bakal membawa mudarat dan melenyapkan kami di bumi pusaka kami sendiri.

Bukan itu sahaja, kami juga berpendapat bahawa kerajaan GRS mempunyai tanggungjawab kepada alam sekitar dan tanah adat orang asal yang menjadi khazanah negara dan dunia.

Kami berharap kerajaan Sabah bersifat terbuka dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan lalu yang tidak peduli suara dan hak tanah adat komuniti di sekitar sungai Papar dalam mencari solusi kepada masalah air di bandar-bandar di Sabah.

Sudah lebih 11 tahun Takad berjuang untuk hak kami dan penggantian yang lestari dan mesra alam kepada empangan mega ini.

Kami berharap satu keputusan dan kenyataan yang jelas dan rasmi untuk mengakhiri kesengsaraan dan ketidaktentuan komuniti sekitar sungai Papar selama sedekad ini.

Kami juga menyeru untuk pihak kerajaan untuk melibatkan masyarakat kampung dalam segala penilaian dan perancangan dalam projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 dan bukan hanya membuat keputusan berdasarkan suara-suara golongan teknokrat dan yang berkepentingan sahaja.

Kami juga sebagai orang kampung mempunyai hak dan suara yang perlu diambil kira.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.